Kecil Durah penuh berisi



Gadis Kuala Lumpur tanam tekad beraksi di Sukan Olimpik

ORANGNYA kecil molek, petah berbicara dan sentiasa tersenyum. Itu kelebihan pelapis gimnastik negara yang kian menyerlah, Durah Jasmin Abu Din, membuatkan sesiapa yang berbual bersamanya berasa selesa.

Bakat gadis yang baru genap usia 12 tahun pada 23 Mac lalu, terserlah dalam liuk lentuk badan dan aksi lincah yang dipertontonkan dalam setiap pertandingan gimnastik berirama yang disertainya.

Malah, beliau merangkul juara individu keseluruhan kategori pra-remaja dalam Pesta Gimnastik dan Kejohanan Gimrama Antara Bandaraya di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 7 April lalu, dengan memperoleh 82.075 mata.

“Saya ingin menyertai Sukan Olimpik,” kata pelajar tahun enam, Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nenas 1, Kuala Lumpur yang bakatnya mula dicungkil gurunya iaitu Pengerusi Teknikal Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Patrina Low Hai Hun, ketika beliau berusia tujuh tahun.

Menjalani bimbingan intensif oleh jurulatih Russia, Yulia Ivanor dan Svetlana Mekantsishrili selain Rosniza Abu Bakar, Durah Jasmin tidak pernah mengeluh penat meskipun sentiasa `berkejar’ bagi mengisi jadual padat belajar dan berlatih setiap hari.

Berulang ke sekolah di pusat bandar setiap hari dari Rawang, Selangor, beliau yang mengakui sukar bergiat aktif di dalam kegiatan kokurikulum di sekolah, hanya akan pulang semula ke rumah pada jam 8.30 malam setiap hari.

Mana tidaknya, sebaik sesi persekolahan tamat, beliau perlu menjalani kelas tambahan di sekolah sebagai persediaan menghadapi Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) pada penghujung tahun ini.

Sebaik kelas tamat, beliau bergegas pula menjalani sesi latihan gimnastik di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, sehingga jam 7 malam.

Malah, latihan di MSN juga tidak terkecuali pada Sabtu dan Ahad yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 6.30 petang.

“Tetapi, jika kelas tambahan di sekolah tiada, maka, saya dapat pulang ke rumah pada jam 6.30 petang,” katanya.

Bagi Durah Jasmin, selain sokongan semua pihak untuknya melakar kejayaan di dalam sukan gimnastik ini, kesetiaan ibunya, Khuzaiman Taib yang bertugas sebagai pembantu tadbir Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LLPKN), menghantar beliau menjalani latihan dan kelas tambahan, setiap hari, hanya mampu dibalas melalui kejayaannya.

DATA

Durah Jasmin Abu Din

Umur: 12 tahun
Asal: Kuala Lumpur
Lahir: 23 Mac 1995
Adik beradik: Bongsu daripada tiga beradik
Pendidikan: Kebangsaan Convent Bukit Nenas 1, Kuala Lumpur

Jawatan di sekolah:
1 Ketua Pengawas
2 Pemimpin pasukan koir
3 Ahli Tunas Puteri
4 Ahli Kelab Kebudayaan

Pencapaian:
2005, 2006, 2007:
Juara individu keseluruhan kategori pra-remaja - Kejohanan Gimnastik Artistik dan Gimrama Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bagi 2005, 2006, 2007.

7 April 2007: Juara individu keseluruhan kategori pra-remaja - Pesta Gimnastik dan Kejohanan Gimrama Antara Bandaraya di MSN, Kuala Lumpur.



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768