Haslisa bidik rekod baru


Sudah melepasi syarat kelayakan Sukan Sea acara prune dan kini menumpukan kepada air raifal


PEMBUBARAN kelab bola sepak wanita yang disertainya ketika di tingkatan tiga kira-kira enam tahun lalu membuka lembaran baru dalam pembabitan sukan Haslisa Hamed.

Menyedari bakat dan kebolehan sukan yang ada dalam diri Haslisa, pegawai di Majlis Sukan Negeri Perak ketika itu, Normala Rashid memperkenalkannya dengan acara menembak iaitu sukan yang asing buat dirinya.


Kerana tidak pernah mengimpikan untuk memegang senjata juga membuatkan Haslisa begitu teruja dan sekali gus membuatkannya ingin menguasai acara itu.

“Pertama kali memegang senjata memang saya gementar tetapi saya cuba kerana sukan ini amat berlainan dan memerlukan kesabaran, ketenangan dan konsentrasi.

“Sepanjang enam tahun menyertai acara ini pengalaman menyertai kejohanan kebangsaan 2005 begitu manis buat saya kerana berjaya mencipta rekod baru final dengan catatan 499.0 mata.

“Kejayaan itu tanpa diduga memandangkan ketika itu saya beraksi dalam keadaan kurang sihat kerana demam dan tidak meletak sebarang sasaran.

“Mungkin disebabkan tiada tekanan membuatkan saya senang melakukan bidikan,” kata penembak yang beraksi dalam acara rifle dan mengakui sukar untuk melakukan catatan itu selepas kejohanan itu.

Apapun Haslisa menyimpan cita-cita untuk mengulangi pencapaian itu dan gigih menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di Subang, Selangor.

Haslisa yang baru saja menyertai skuad kebangsaan sudah melepasi syarat kelayakan untuk ke Sukan Sea dalam acara prune dan tumpuannya kini terarah kepada acara air raifal.

Andai catatan mata diambil kira, Haslisa sudah melepasinya namun catatan yang lebih baik dilakukan penembak senior membuatkan atlit berasal dari Ipoh itu berusaha lebih gigih melepasi pencapaian terbaik milik rakan sepelatih yang lain.

Selain itu, Haslisa yang memiliki catatan terbaik peringkat kelayakan iaitu 396 mata berhasrat membaikinya dan mengidam untuk melebur rekod terbaik milik Muslifah Zulkifli iaitu 399 mata.



NAMA: Haslisa Hamed

TARIKH LAHIR: 16 Oktober 1986

ASAL: Ipoh, Perak

ADIK BERADIK: Anak ketiga daripada empat beradik

PENDIDIKAN: SPM

PENCAPAIAN TERBAIK: 2007 - Dua emas, satu perak dan satu gangsa - Kejohanan Menembak Selangor

Satu emas - Trofi Ally T H Ong

2006 - Satu perak, satu perak dan satu gangsa

Sukma 2005 - Dua emas - Kejohanan Kebangsaan


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768