Raimi kutip ilmu berguna Zidane


Pengalaman beraksi bersama legenda Perancis itu mahu digunakan untuk tingkatkan mutu permainan sendiri

IBARAT mimpi menjadi kenyataan apabila diberi peluang berdepan dengan pemain yang menjadi idolanya selama ini dan pertemuan dengan bintang legenda Perancis, Zinedine Zidane menjadi satu kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayat Mohd Raimi Md Nor.

Raimi adalah antara empat pemain dari Malaysia yang diberi peluang Adidas untuk bersama Zidane di Chiang Mai, bulan lalu. Turut bersamanya ialah tiga rakan skuad Piala Presiden Selangor, Mohamad Lukhman Noor Hakim Jaafar, Mohd Fauzan Dzulkifli dan Wan Mohd Hoesni Wan Hussain.

“Ketika mula-mula dipanggil pihak Adidas untuk mengikuti program itu saya sangat terkejut dan terlalu gembira hinggakan tidak sabar untuk terbang ke Chiang Mai.

“Walaupun masa sangat singkat iaitu tidak sampai dua jam bertemu dengan Zidane, banyak yang saya pelajari dan boleh dimanfaatkan dalam meningkatkan mutu permainan saya di masa akan datang.

“Ini kerana aktiviti di sana terlalu padat dan masa bersama Zidane terlalu singkat, saya hanya sempat bergambar saja dan tidak berpeluang untuk mendapat tandatangannya.

“Kecewa juga tetapi dari awal lagi kami sudah dimaklumkan bahawa Zidane perlu segera bergegas menuju ke destinasi berikutnya,” kata pemain sayap kiri itu.

Raimi berkata, dalam tempoh tidak sampai dua jam itu, dia dan peserta lain mendapat tunjuk ajar asas permainan bola sepak di samping mempelajari kemahiran dan teknik kawalan.

Berdasarkan asas permainan yang diperoleh itu, dia mendapati masih banyak kelemahan dalam corak permainannya yang perlu diperbaiki.

Raimi yang memanfaatkan pengalaman dalam corak latihan hariannya bagaimanapun tidak dapat menggunakan kemahirannya pada perlawanan pertamanya sebaik kembali dari Chiang Mai tatkala mewakili Selangor bertemu Terengganu, disebabkan keadaan padang yang kurang baik.

Pemain itu yang meminati corak permainan Lionel Messi dan Ryan Giggs juga berkongsi pengalaman diperoleh dengan adiknya Mohd Rizzat Md Nor yang turut bermain untuk pasukan Piala Presiden Selangor.

DATA

NAMA: Mohd Raimi Md Nor
TARIKH LAHIR: 4 April 1986
ASAL: Kuala Lumpur
PASUKAN : Piala Presiden Selangor
POSISI: Sayap kiri
PENCAPAIAN TERBAIK: 2006 - Separuh akhir Piala Presiden
2005 - Naib juara bawah 19 tahun
2003 - Juara MSSM
- Pemain terbaik MSSM



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768