Amirul tekad rejam Thailand


Kekalahan dua kali di peringkat Sekolah Asean bakar semangat pemain remaja Melaka

TEWAS dua tahun berturut turut kepada Thailand di final Kejohanan Sepak Takraw Sekolah-Sekolah Asean pada 2005 dan 2006 membakar semangat perejam negara Amirul Azhar Roslan 18, untuk mengecewakan Thailand di kejohanan sama pada 2007 di Kemboja.

Sekalipun kecewa di final 2005 di Vietnam dan 2006 di Kuala Lumpur, Amirul Azhar sudah mengutip banyak pengalaman berharga dalam kedua-dua detik menghampakan itu, sambil bingkas memperkasa diri menjelang kejohanan tahun ini.

Paling cemerlang kehebatannya menyerlah pada kejohanan Terbuka Piala Ketua Menteri Melaka 2007 untuk meletakkan skuad Kampung Balai Panjang yang diwakilinya menduduki tangga keempat bersama rakan seregu, Shukri Jamal dan Shaharudin Salim.

Menurutnya, dia memang berazam penuh untuk meletakkan Thailand dalam keadaan berputih mata dalam mana-mana kejohanan yang disertainya bersama pasukan negara.

Katanya, rasa sakit hati dan geram sentiasa melingkari dirinya sebaik berdepan musuh tradisi berkenaan, berikutan penguasaan negara jiran itu sebenarnya diyakininya mampu disekat.

“Saya tidak melihat kelebihan skuad terbabit ketika kami beraksi berdepan mereka. Malah kami mampu melakukan dan saya berazam untuk meletakkan mereka sentiasa berputih mata apabila berdepan dengan kami selepas ini.

“Berikutan itu saya sentiasa mengharapkan kekuatan dan kekentalan jiwa saya akan berterusan untuk membolehkan impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Amirul Azhar berkata, galakan berterusan daripada bapanya Roslan Mahpol dan ibunya Hamimah Mat Atan sentiasa mendorongnya mengejar cita-cita tingginya untuk beraksi di peringkat tertinggi pada masa depan.

Walaupun sukan terbabit dilihat tidak menjanjikan pulangan lumayan atau mampu meletakkannya sebagai jutawan sukan, demi negara dia sanggup melakukan apa saja agar skuad Malaysia tidak diperlekehkan pada masa depan.

Pelajar Sekolah Menengah Simpang Bekoh, Jasin dan Sekolah Kebangsaan Chabau itu tidak akan menoleh ke belakang untuk mengintai peluang lebih besar bersama pasukan senior negara selepas ini.

Malah kehidupan Amirul Azhar hanya bertemankan bola takraw menerusi latihan tersusun daripada jurulatihnya Basrah Ahmad serta latihan sendiri di rumah dengan merejam dan melibas bola takraw yang digantung pada pokok mangga.

Kehebatannya merejam dengan teknik `gulung' membolehkan dia membantu sekolahnya menjuarai Kejohanan MSS Negeri Melaka, Jasin buat tahun ketujuh berturut-turut selain membantu daerah Jasin menjuarai empat tahun berturut-turut MSSNM, dan turut membantu Melaka muncul juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2005.

“Saya kagum dengan legenda sepak takraw termasuk Adnan Saidin, Zabidi Sharif dan Shaari Hashim namun malang tidak pernah melihat aksi mereka,” katanya yang mengakui teknik rejamannya dipelajari sendiri kerana minat dengan idolanya yang juga bekas pemain negara kelahiran Melaka Khairul Anuar.

DATA

NAMA: Amirul Azhar Roslan
USIA: 18 Tahun
ADIK BERADIK: Anak keempat dari empat adik beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
SEKOLAH: Sekolah Menengah Simpang Bekoh, Jasin
SUKAN: Sepaktakraw

PENCAPAIAN:
Juara Bawah 21 tahun Piala Belia Melaka 2005
Sukma 2006 (Kedah)
Juara MSSM 2006 di Perak, Naib Juara MSMM 2005 di Kedah
Naib juara Kejohanan Sepaktakraw Sekolah-Sekolah Asean 2005 dan 2006
Juara tujuh tahun berturut-turut MSSNM Jasin
Juara empat tahun berturut-turut MSSNM (wakil Jasin)
Keempat Kejohanan Terbuka Piala Ketua Menteri Melaka 2007


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768