Pasang sasaran cipta masa bawah 12 saat bagi 100 meter tahun ini
LEBIH lapan tahun ratu pecut negara, G Shanti mengundurkan diri dan dalam tempoh itu masih belum ditemui pengganti yang dapat menandingi kehebatannya dalam acara 100 meter.
Usahkan meraih emas di Sukan Sea, mencapai masa bawah 12 saat tampak begitu sukar dilakukan pelari pecut wanita selepasnya.
Bagi Norjannah Hafiszah Jamaluddin, kejayaan yang dicapai G Shanti dengan memenangi emas di Sukan Sea Jakarta 1997 menjadi penanda aras buatnya dalam menentukan hala tuju bagi acara itu.
Sedar akan kesukaran untuk melepasi masa bawah 12 saat, Jannah membuat perancangan satu demi satu bagi memastikan matlamat yang diusahakannya tercapai. Antara sasaran terdekatnya buat masa ini ialah mencapai sasaran catatan masa sekitar 11.80 saat tahun ini.
Baginya, catatan 11.50s yang dilakukan Shanti adalah sukar dan sebagai pelari remaja dia menjadikan satu motivasi untuk meningkatkan mutu lariannya.
Berdasarkan catatan tahun lalu, Jannah yang bermula dengan 12.40s berjaya meningkatkan catatannya kepada 12.22s di Sukma Kedah dan 12.10s di Kejohanan Universiti Asean di Vietnam Disember lalu.
Andai latihan lebih agresif dilakukan, dia percaya akan dapat memperbaiki catatan itu.
“Untuk mencapai kejayaan dalam acara olahraga, seseorang pelari tidak boleh memanjakan diri, sebaliknya perlu bersikap agresif bagi mendapat lebih tenaga.
“Ketika ini, saya sedang menjalani latihan untuk membentuk rangkaian 4x100m bagi menghadapi Sukan Sea, Korat pada hujung tahun ini,” kata remaja berasal dari Pulau Pinang itu.
Katanya, untuk acara 4x100m itu, dia bergandingan dengan Siti Fatimah Mohamad dan Azizah Ibrahim, manakala satu lagi tempat masih belum diketahui milik siapa.
Sepanjang menyertai acara 100m, Jannah mendapat bimbingan daripada empat jurulatih berbeza bermula dengan Ithnin Mahadi, jurulatih Russia, K Jayabalan dan sekarang J V Jayan. Sebagai persiapan untuk acara 4x100m, Jannah sekali lagi akan bertukar jurulatih.
Mengimbas pembabitannya dalam acara 100m, cita-citanya terbit selepas melihat rakan senior ketika di sekolah rendah melangkah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).
Peluang menyertai SSBJ membulatkan tekad Jannah untuk memanfaatkan kelebihan latihan yang ada bagi meningkatkan prestasinya untuk mencapai cita-cita bergelar ratu pecut baru negara suatu hari nanti.
DATA
Norjannah Hafiszah Jamaluddin
TARIKH LAHIR: 23 Mei 1986
ASAL: Pulau Pinang
ADIK BERADIK: Ketiga daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Pra Universiti, Sekolah Sukan Bukit Jalil
PENCAPAIAN: 2006 - Emas dan Perak - Sukma Kedah
Gangsa - Kejohanan Olahraga Kebangsaan
Emas 200m dan Keempat 100m - Terbuka Hong Kong
2005 - Dua Emas - Sukan Wanita Kebangsaan
Emas - Masum
Perak - Terbuka Perak
Gangsa - Terbuka Negeri Sembilan