Najwa cemerlang dalam paksaan
Bertukar ke angkat berat selepas sukar mendapat tempat dalam pasukan silat olahraga Pahang

SUATU ketika dulu, Sharifah Inani Najwa Syd Anuar pernah melalui detik mengecewakan apabila usaha gigihnya dalam acara silat olahraga masih belum mampu untuk menyenaraikan namanya sebagai wakil negeri berikutan terlalu banyak persaingan.
Bangkit daripada kekecewaan itu, Najwa mencuba acara sukan lain dan secara kebetulan bapanya mengenali pengurus angkat berat negeri Pahang yang menjadi titik mula buatnya menceburi sukan itu.
Berbeza dengan latihan silat yang memerlukannya melakukan banyak pergerakan berbeza, latihan angkat berat bagi Najwa mungkin membosankan kerana dia perlu melakukan rutin yang sama saban hari.
Begitupun, rasa bosan itu hanya dialami seketika saja apabila dia mampu memperoleh keputusan baik pada kejohanan peringkat awal.
“Peringkat awal menyertai acara angkat berat, saya rasa sangat bosan kerana melakukan teknik yang sama. Tetapi bapa saya memaksa untuk meneruskan latihan.
“Mungkin jika tidak kena paksa, saya tidak akan meneruskan sukan ini sehingga sekarang. Saya mula rasa seronok apabila melihat keputusan yang sentiasa meningkat.
“Kerana keputusan yang baik juga saya kemudiannya terpilih menyertai latihan di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan di sini saya dibimbing William Yeo,” kata remaja yang menyertai acara 52 kilogram itu.
Menceritakan detik awal pembabitannya dalam acara angkat berat, anak kepada jurulatih silat itu berkata, dia berulang setiap hari selama tiga bulan ke Pusat Latihan Rompin yang tidak terlalu jauh antara rumah dan pusat latihan.
Untuk memudahkannya menyertai latihan secara sistematik dan teratur, Najwa kemudiannya mendapat peluang untuk tinggal di asrama.
Berdasarkan pencapaian semasanya, remaja yang menyertai angkat berat sejak usia 15 tahun itu kini sudah mampu membuat perancangan dalam memajukan dirinya untuk beberapa tahun akan datang.
DATA: Sharifah Inani Najwa Syd Anuar TARIKH LAHIR: 1 Januari 1990
ASAL: Pahang ADIK BERADIK: Keenam daripada tujuh beradik PENDIDIKAN: Tingkatan Empat, Sekolah Sukan Bukit Jalil PENCAPAIAN TERBAIK: 2006 - Tiga Emas - Sukma Kedah - Tiga Emas - Kejohanan Antarabangsa Danga Bay - Dua Perak dan Satu Gangsa - Remaja Asean - Emas - Sirkit Remaja peringkat pertama hingga ketiga 2005 - Juara - Sirkit Remaja peringkat ketiga -Keempat - Kejohanan Sekolah Sukan Thailand
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|