Membantu kebangkitan Gergasi Merah Kuning dalam Liga Super musim iniNAMA Fazildin Khalid mungkin kurang dikenali di kalangan peminat pasukan ‘Red Giant’ Selangor tetapi pemain tengah berusia 21 tahun ini telah pun mempamerkan kematangannya menjana jentera tengah dalam tiga aksi perlawanan persahabatan bersama skuad Liga Super Selangor setakat ini.
Fazildin atau lebih dikenali sebagai ‘Bob’ di kalangan rakan sepasukan adalah antara pemain Bawah 23 Tahun yang diketengahkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) musim baru ini.
“Bagi saya menjadi satu kebanggaan menyarung jersi negeri kelahiran dan saya tidak sabar untuk beraksi dalam Liga Super musim ini. Saya tidak berasa kekok kerana ada pemain senior seperti Shukor (Adan) dan Amri (Yahyah) untuk membimbing pemain muda seperti saya,” katanya.

Fazildin yakin dia dan rakan sepasukan muda yang lain mampu menggalas cabaran Selangor musim ini tetapi mereka memerlukan lebih banyak perlawanan pra musim bagi mematangkan permainan.
Fazildin mengakui kekalahan 4-0 kepada Perak dalam perlawanan persahabatan minggu lalu sedikit sebanyak memberi pengajaran berguna dalam karier mudanya bersama skuad Selangor yang dianggap antara pasukan elit dalam Liga-M.
Pemain kelahiran Bangi hasil produk pembangunan belia FAS ini mula mewakili Selangor sejak Kejohanan MSSM Bawah 12 Tahun sebelum beraksi di Piala Nike, Piala Coca Cola dan kejohanan Bawah 19 tahun.
Fazildin menamakan ketua pasukan Selangor, Mohd Shukor Adan dan legenda Perancis Zinedine Zidane sebagai pemain pujaannya.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor Dollah Salleh menyifatkan Fazildin sebagai antara pemain berbakat yang mempunyai gaya permainan seperti pemain Chelsea dan England, Frank Lampard.
“Saya amat berpuas hati dengan aksi Fazildin dalam tiga perlawanan persahabatan setakat ini, dia juga menunjukkan keserasian beraksi bersama Shukor di barisan tengah,” kata Dollah.
Begitupun, Dollah mengakui sebagai pemain baru yang bakal beraksi di musim pertama, masih banyak yang harus dipelajari Fazildin dari rakan-rakan senior.
DATA
NAMA: Fazildin Khalid
TARIKH LAHIR: 3 Mac 1985
ASAL: Bangi, Selangor
PEMAIN DIMINATI: Zinedine Zidane dan Shukor Adan
PENDIDIKAN: SPM (Sekolah Menengah Seksyen 11Shah Alam)
PENCAPAIAN: 2002 - Juara Piala Coke Bawah 17 Tahun
2003 - 05 Skuad Piala Presiden Selangor
2006 - Skuad Liga Super Selangor