Elizabeth debar menanti Doha


Harap dapat membuat terjunan baik bersama Leong Mun Yee untuk raih pingat

KEJAYAAN meraih pingat emas dalam acara 1 meter papan anjal di Kejohanan Terjun Remaja Dunia di Kuala Lumpur Ogos lalu ibarat menambahkan rezeki buat karier Elizabeth Jimie apabila terpilih mewakili negara ke Sukan Asia Doha 2006.

BANGGA memenangi pingat emas
dalam acara akhir 1m
papan anjal pada kejohanan
Remaja Fina Dunia ke-16
di Pusat Akuatik Nasional
Bukit Jalil, Ogos lalu.


Elizabeth yang pada mulanya hanya disenaraikan untuk acara terjun serentak diberi kepercayaan beraksi dalam acara 1m dan 3m papan anjal di samping bergandingan dengan penerjun wanita nombor satu negara, Leong Mun Yee dalam acara terjun serentak.

Pemilihan ke temasya Doha itu begitu bermakna buat gadis berusia 14 tahun dari Kuching itu sejak menceburi acara terjun kira-kira tujuh tahun lalu. Elizabeth dipilih menggantikan Cheong Jun Hong yang berdepan masalah kecederaan.

Dengan pemilihan itu, Elizabeth yang sebelum ini menjalani latihan di Kuching meneruskan sesi latihan bersama skuad kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, di Bukit Jalil.

“Saya gembira dengan pemilihan ini dan sebagai penerjun remaja dan pertama kali beraksi di Sukan Asia, saya tidak merasa sebarang tekanan.

“Saya tidak meletak harapan tinggi kerana menyedari cabaran sengit daripada penerjun berpengalaman tetapi berharap dapat menyumbang sebutir gangsa dalam acara terjun serentak bersama Mun Yee yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa.

“Sejak menjalani latihan di Bukit Jalil, keyakinan saya bertambah dan saya berasakan ada banyak peningkatan dalam latihan,” kata pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Tabuan Jaya, Kuching itu.

Elizabeth sebelum ini menghadirkan keceriaan buat negara apabila menyumbang emas tunggal di Kejohanan Terjun Remaja Dunia, selepas kali pertama beraksi di luar negara pada Kejohanan Piala Dunia Jun lalu.

Untuk menghadapi Sukan Asia, Elizabeth dan rakan sepasukan yang lain akan menyambung sesi latihan di negara China tidak lama lagi.

DATA:

NAMA: Elizabeth Jimie

UMUR: 14 Tahun

ASAL: Kuching, Sarawak

ADIK BERADIK: Ketiga daripada Empat Beradik

PENDIDIKAN: Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Tabuan Jaya, Kuching, Sarawak

PENCAPAIAN TERBAIK: 2006 - Satu Emas - acara 1 meter papan anjal Kejohanan Terjun Remaja Dunia Enam Emas - Sukma, Kedah Satu Emas dan Satu Perak - Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia 2004 - Tiga Emas dan Satu Perak - Sukma Negeri Sembilan

TAHUKAH ANDA?

YEOH Ken Nee menjadi atlit terjun pertama Malaysia memenangi pingat di Kejohanan Terjun Remaja Dunia apabila meraih perak dalam acara 10 meter platform di Hungary pada 1999.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768