Nur Atika muda tetapi matang
Kini cari tempat dalam skuad senior
DALAM usia 17 tahun, gelaran juara Kejohanan Bola jaring Remaja Asia adalah perkara yang membanggakan terutama buat Nur Atika Zuazita (gambar) dan ia bagai satu permulaan dalam mencapai kejayaan lebih besar di masa akan datang.
Rasa bangga itu terbit kerana Nur Atika dan seorang lagi rakan sepasukannya, Azimah Abdul Aziz adalah peserta termuda dalam skuad bola jaring remaja negara yang menjulang kejuaraan di Kejohanan Remaja Asia di Bangalore, India Julai lalu.
Mengulas pembabitannya dalam skuad remaja kebangsaan, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu berkata, ia bermula Februari lalu apabila namanya terpilih untuk menyertai kem latihan. Daripada 20 peserta awal yang menyertai kem latihan itu, hanya 12 orang yang terpilih menyarung jersi negara.
“Sebagai pemain termuda dalam pasukan, saya rasa sangat bertuah dapat menimba pengalaman dengan pemain senior yang banyak pengalaman.
“Rakan sepasukan lain tidak lokek membantu, banyak yang saya pelajari daripada mereka dan ia memberi satu pengajaran dan pengalaman bermakna dalam usaha saya membaiki corak permainan.
“Apa yang dapat saya katakan, kemenangan skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia ialah hasil kerjasama dan semangat berpasukan.
Antara kami juga wujud persefahaman dan ia sekali gus memberi kelebihan untuk mencari kemenangan,” kata remaja berasal dari Kuala Lumpur itu.
Menceritakan pengalamannya ketika beraksi di kejohanan itu, Nur Atika yang bermain di posisi pertahanan sejak di tingkatan tiga berkata, dia diturunkan sebanyak tiga kali iaitu ketika menentang Maldives, Thailand serta beraksi di final tatkala menewaskan Sri Lanka 61-46.
Walaupun hanya bermain di suku terakhir peringkat final, pengalaman itu amat berharga apatah lagi Sri Lanka adalah pasukan hebat.
Selepas kejayaan di Bangalore itu, Nur Atika kini memberi tumpuan untuk terpilih mewakili negara ke Kejohanan Terbuka Dunia yang akan berlangsung di Fiji, Julai tahun depan.
Tahukah Anda?
MALAYSIA tidak hanya mengambil alih kuasa bola jaring remaja Asia dari Sri Lanka sejak 2004 tetapi pemain negara, S Aruna yang memiliki ketinggian 1.80 meter turut menjadi penjaring terbaik Asia.
DATA: NUR ATIKA ZUAZITA
TARIKH LAHIR: 12 Disember 1989
ASAL: Kuala Lumpur
ADIK BERADIK: Anak pertama daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Tingkatan 5, Sekolah Sukan Bukit Jalil
PENCAPAIAN:
2006 – Emas Remaja Asia – Emas Sukma – Emas MSSM – Emas Remaja Kebangsaan
2005 – Ketiga Remaja Kebangsaan – Ketiga MSSM – Kelima Kejohanan Kebangsaan
2004 – Naib johan bawah 15 tahun MSSM
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|