3 tahun sasaran Arif
GELARAN naib juara beregu dan melangkah ke separuh akhir acara perseorangan pada Kejohanan Badminton Remaja Asia, bulan lalu membuatkan semangat Mohamad Arif Abdul Latif semakin membara dalam memburu kejayaan.
Sambil menyifatkan pencapaian itu paling manis sepanjang tahun ini, pelajar tingkatan lima Sekolah Sukan Bukit Jalil itu mengakui cabarannya bertambah sukar November depan kerana dia akan berdepan dengan jaguh handalan di Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung di Korea Selatan.
Arif yang memasang cita-cita untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemain kebangsaan dalam masa tiga tahun akan datang bertekad tidak mahu memandang ke belakang, sebaliknya latihan mantap harus dilakukan untuk mendapat keputusan lebih baik.
“Pencapaian di Remaja Asia melepasi sasaran awal kerana saya tidak menyangka dapat melangkah ke final bagi acara beregu. Saya akan berusaha lebih gigih lagi memandangkan ada cabaran lebih besar selepas ini iaitu Kejohanan Remaja Dunia di Korea Selatan.
“Buat masa sekarang, saya tidak meletak sebarang sasaran kerana ini pertama kali beraksi di Kejohanan Remaja Dunia tetapi saya berharap permainan saya akan meningkat berbanding di Remaja Asia lalu,” katanya yang mula beraksi pada usia 11 tahun.
Dalam menggapai cita-cita untuk menjadi kebangsaan, remaja yang menjadikan Hendrawan sebagai idola itu beruntung kerana dilahirkan dalam keluarga badminton.
Ini kerana dia mempunyai tiga lagi ahli keluarga yang sedang menjalani latihan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Abangnya, Zakri adalah pemain beregu kebangsaan, sambil seorang lagi abangnya, Mohd Razif berada dalam skuad pelapis bersama kakaknya, Nairul Suhaida.
“Pembabitan abang dan kakak saya dalam sukan ini membuatkan saya turut berminat untuk sama menguasai permainan badminton,” kata pelajar tingkatan lima itu.
Sebagai pemain remaja yang memerlukannya bermain dalam dua acara iaitu beregu dan perseorangan, Arif berkata, kecenderungannya ialah lebih kepada menjadi pemain perseorangan berbanding beregu.
DATA
NAMA: Mohamad Arif Abdul Latif
TARIKH LAHIR: 22 Ogos 1989
ASAL: Negeri Sembilan
ADIK BERADIK: Anak keenam daripada 10 beradik
PENDIDIKAN: Tingkatan Lima, Sekolah Sukan Bukit Jalil
PENCAPAIAN:
2006 - Naib juara beregu Badminton Remaja Asia
Separuh akhir perseorangan Badminton Remaja Asia
Juara bawah 19 tahun Badminton Remaja Terbuka Belanda
Dua pingat Gangsa, Sukma Kedah
2005 - Juara perseorangan dan beregu bawah 16 tahun Badminton Remaja Kebangsaan
Naib juara perseorangan MSSM
Juara perseorangan bawah 17 tahun Badminton Remaja Terbuka Singapura
2004 - Juara perseorangan peringkat umur Thailand
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|