
IMEJ selaku pemegang rekod kebangsaan dalam kategori 75 kilogram (kg) dibuktikan badang angkat berat Pahang, Jamaliah Abd Rashid apabila meraih tiga pingat emas pada saingan Sukan Malaysia XI (Sukma), Kedah, bulan lalu.
Kejayaan membanggakan itu jelas membuktikan kehebatan atlit kelahiran Kuantan itu yang bukan saja menjulang namanya di peringkat kebangsaan malah berjaya meletakkan pasukan angkat berat Tok Gajah pada kedudukan terbaik.
Hanya masa saja bakal melonjakkan nama anak muda berjiwa besar itu sebagai jaguh seperti mana bebanan yang dijulang setiap kali pertandingan.
“Saya memegang prinsip `alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan' sekali melangkah pasti tidak akan berundur walaupun menerima pelbagai cabaran dan rintangan. “Kejayaan pasti memihak kepada saya selagi kesungguhan, ketekunan, sokongan dan doa mengiringi saya walaupun mendapat saingan sengit daripada atlit lain,” kata Jamaliah.
Ditanya impian tahun ini, beliau berkata, selepas cemerlang di Sukma, dia akan berusaha menempatkan diri dalam skuad angkat berat negara yang akan bersaing di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, kejayaan manis di Sukma akan lebih bermakna jika dia terpilih mengibarkan bendera negara pada kejohanan di peringkat antarabangsa.
“Saya sudah berjaya mengotakan janji kepada jurulatih untuk membawa pulang tiga pingat emas Sukma ke bumi Mat Kilau, kini hanya kejayaan di peringkat antarabangsa menjadi idaman iaitu di Sukan Sea Korat di Thailand, tahun depan.
“Kini saya membuat persiapan rapi bagi mencapai impian itu dengan tumpuan lebih menjurus kepada latihan selama empat jam sehari selain menjaga pemakanan dan mendapat rehat yang secukupnya,” katanya yang kini mengikuti latihan di Pusat Kecemerlangan Angkat Berat Rompin, Pahang
Jamaliah yang bertanding dalam kategori 75kg memegang rekod angkatan kebangsaan 72kg (snatch) dan 92kg (clean/jerk).
Beliau berkata, dalam sukan angkat berat, atlit tidak seharusnya terlalu memburu cita-cita sehingga mengabaikan kesihatan yang akan mengundang kepada pelbagai kecederaan serius.
“Jika kita mengangkat bebanan terlalu berat melebihi tenaga, secara tidak langsung kecederaan bakal dialami sama ada secara terus mahupun dalam tempoh jangka panjang.
“Kecederaan atlit angkat berat biasanya berlaku di bahagian lutut, pergelangan tangan, tulang belakang dan bahu,” katanya yang sentiasa mendapat galakan daripada keluarga, jurulatih dan rakan-rakan.
Jamaliah berkata, kejayaan di Sukma Kedah, bulan lalu juga sebagai hadiah terbaik kepada Persatuan Angkat Berat Pahang (PABP) dan Majlis Sukan Pahang (MSP) yang banyak membantunya.
DATA
JAMALIAH ABD RASHID
UMUR: 19 tahun
TARIKH LAHIR: 28 Ogos 1987
ASAL: Kuantan, Pahang
PENGALAMAN: Lima tahun
PENDIDIKAN: SPM
KATEGORI: 75kg ke atas (rekod kebangsaan).
PENCAPAIAN:
- Tiga emas/ tiga perak, Kejohanan Angkat Berat Sirkit 1/2 Kebangsaan 2005.
- Enam emas, Kejohanan Angkat Berat Sirkit 1/2 Kebangsaan 2004.
- Tiga emas, Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2003.
- Tiga emas Sukma, Kedah.