
KEJAYAAN gimnas kebangsaan, Nurul Fatiha Abdul Hamid meraih emas pada temasya Sukan Sea menjadi inspirasi buat gimnas cilik dari Selangor, Liana Nazurah Ghazali untuk turut mengharumkan nama negara pada masa akan datang.
Sekalipun tidak pernah berpeluang menyaksikan Nurul Fatiha beraksi, namun berita kejayaan gimnas itu yang sering dibacanya menjadi motivasi buat gimnas dalam pembikinan itu.
Menurut Liana, dia mengetahui mengenai kehebatan Nurul Fatiha apabila bapanya sering menunjukkan berita yang tersiar di akhbar.
LIANA mahu cipta nama
pada Sukan Malaysia.“Saya baru menyertai gimnastik artistik tiga tahun lalu ketika berumur sembilan tahun. Pada peringkat awal pencapaian saya biasa saja.
“Bagaimanapun kehadiran jurulatih dari Ukraine, Svitlana Badiulia sejak setahun lalu banyak membantu meningkatkan prestasi saya dan hasilnya saya berjaya mendapat tempat ke Sukan Malaysia (Sukma).
“Peningkatan saya juga mungkin disebabkan oleh corak latihan yang lebih panjang berbanding sebelumnya. Jika dulu latihan seminggu sekali tetapi sekarang saya berlatih enam kali seminggu selama empat jam sehari,” kata pelajar Tahun Lima itu.
Liana yang dalam persiapan akhir menghadapi Sukma XI di Kedah bulan ini akan mewakili Selangor bersama tiga lagi gimnas iaitu Sarah Ng, Nur Eli Ellina Azmi dan Andrea Yeoh.
Ketika ditanya harapan di Sukma memandangkan Selangor antara kuasa besar gimnastik artistik, Liana berkata dia mahu menyumbangkan pingat emas.
Apapun Liana akui cabaran besar yang akan dihadapi ialah dari gimnas Melaka kerana berdasarkan pencapaian di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia gimnas dari negeri Hang Tuah itu menunjukkan peningkatan membanggakan.
DATA
NAMA: Liana Nazurah Ghazali
TARIKH LAHIR: 29 Jun 1995
ASAL: Shah Alam
ADIK BERADIK: Bongsu daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Tahun Lima, Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Shah Alam
PENCAPAIAN TERBAIK: Ranking pertama ujian pemilihan kedua Sukma Selangor 2006
Dua gangsa - Kejohanan Gimnastik SportExcel Sirkit Pertama 2006
TAHUKAH ANDA?
ACARA gimnastik artistik wanita pertama kali dipertandingkan pada Sukan Olimpik 1928 dengan hanya acara berpasukan diadakan. Format pertandingan seperti sekarang membabitkan acara berpasukan, individu keseluruhan dan individu apparatus hanya mula diperkenalkan pada Kejohanan Dunia 1950.