
SELEPAS meraih pingat emas dalam acara trio temasya Sukan Komanwel di Melbourne Australia bulan lalu, jaguh lawn bowl wanita negara, Nor Iryani Azmi, 20, mensasarkan Kejohanan Lawn Bowl Asia yang dijadual berlangsung di Brunei, Julai ini.
Walaupun kejohanan itu tidak setanding dengan status Sukan Komanwel, keputusan baik perlu ditunjukkan demi mempertahankan martabat negara dalam sukan itu.
Pelajar Pra-Universiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil ini berkata, kejohanan berprestij itu bakal disertai negara handalan Asia selain empat kejohanan kebangsaan yang menjadi penentu kepada ranking kebangsaan.
“Menjadi matlamat saya setiap kali mewakili negara dalam apa juga kejohanan dan peringkat saingan untuk memberikan yang terbaik bagi meletakkan nama Malaysia terus gah di persada antarabangsa dalam sukan ini.
“Kejayaan di Melbourne tempoh hari memberi suntikan semangat yang lebih tinggi untuk saya meningkatkan prestasi dalam menghadapi kejohanan akan datang bagi mencipta kejayaan yang lebih cemerlang khasnya di peringkat dunia," katanya di Kejohanan Lawn Bowl Trio Kebangsaan di Seremban 2, baru-baru ini.
Pada Sukan Komanwel lalu, Nor Iryani yang bergandingan dengan Nor Hashimah Ismail dan Siti Azlina Arshad yang menjadi gandingan paling muda menewaskan trio Australia di final.
Gadis kelahiran Taiping Perak ini yang juga anak sulung daripada tujuh beradik ini sebenarnya tidak menyangka pembabitannya secara suka-suka ketika pemilihan sukan lawn bowl di sekolah rendah sebelum ini meletakkan namanya sebagai pemain kebangsaan.
Dengan bakat semula jadi dan latihan gigih, dia hanya mengambil masa hanya enam bulan untuk mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSPk) dan seterusnya di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Nor Iryani kemudiannya mewakili Perak dan memenangi gangsa di Sukan Malaysia (Sukma) 2002 di Sabah sebelum pulang dengan emas acara pairs di Sukma Negeri Sembilan.
“Saya gembira dengan pencapaian setakat ini, malah lawn bowl semakin popular selepas peserta negara menyerlah di peringkat antarabangsa. Ini sekali gus dapat menarik minat lebih ramai remaja bergiat cergas dalam sukan ini yang dulunya tidak diminati ramai.
“Namun apa yang lebih utama ialah Malaysia kini semakin digeruni dan dihormati negara Eropah, malah kita berada di ranking pertama negara Asia,” katanya yang tidak melupakan nama jurulatihnya, Ariffin Ghani dan Sazali Sairi, sebagai jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.
Dia yang menjadi perangsang sehingga dua adiknya, Nur Atirah dan Nur Dalilah kini mengikuti jejaknya, bercita-cita mahu mencipta kejayaan di kejohanan dunia dan menyumbang sebanyak pingat mungkin untuk negara.
DATA
Nama: Nor Iryani Azmi
Tarikh Lahir: 8 April 1986
Tinggi: 161 sm
Berat: 45 kg
Pendidikan: Pra-Universiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Hobi: Menyanyi dan menonton wayang.
Adik-Beradik: Sulung daripada tujuh beradik.
Posisi: Individu dan Trio.
Pencapaian Terbaik:
2004 - Pingat Emas Kejohanan Komanwel Remaja di Australia
- Juara antara Juara-Juara Kebangsaan.
- Pingat Emas Sukma Negeri Sembilan.
2005 - Pingat Emas Trio Sukan Sea.
- Juara Kebangsaan.
- Juara Kejohanan Antara Juara-Juara Dunia di New Zealand.
- Pingat Perak Kejohanan Boling Padang Asia Pasifik.
- Pingat Emas Kebangsaan bawah 25 tahun.
2006 - Pingat Emas Trio Sukan Komanwel.