
BANGGA mempamer pingat bersama Jamie Lee (kanan).KUASA gimrama negara di peringkat Sukan Sea sememangnya tidak dapat dinafikan bermula dengan kecemerlangan Faiznur Miskin di Kuala Lumpur 1989 menerusi lima emas diikuti kecemerlangan skuad gimnas negara di Sukan Komanwel bermula pada 1998 apabila memenangi satu emas, satu perak dan dua gangsa.
Terbaru Malaysia berbangga dengan pencapaian Durratun Nashihin Rosli yang meraih empat perak di Sukan Komanwel Melbourne dan kesinambungan kejayaan itu membuktikan negara memiliki kelompok gimnas berbakat yang besar termasuk peserta berusia 15 tahun Yap Lee Ya.
Penyertaan Lee Ya di peringkat remaja bukan baru, malah mulai menyertai Sukan Malaysia (Sukma) sejak berusia 11 tahun di Kota Kinabalu dengan meraih satu emas bagi acara berpasukan dan satu gangsa dalam acara individu.

Sambil bakatnya terus dikembangkan di Sukma Negeri Sembilan 2004 apabila meraih dua pingat emas dan pengalaman di dua temasya terdahulu membuatkannya lebih yakin dalam menghadapi cabaran di Sukma XI Kedah, Mei depan.
“Pengalaman di dua temasya terdahulu memberi keyakinan buat saya dalam menghadapi cabaran di Kedah dan saya percaya dapat memenangi lima pingat emas yang dipertandingkan dalam acara individu.
“Saya rasa pencabar terdekat saya adalah gimnas Kuala Lumpur tetapi saya tidak tahu siapa gimnas yang akan diperturunkan,” kata gimnas berasal dari Selangor itu.
Lee yang mula menyertai gimrama sejak berumur sembilan tahun ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Taman Rasna di Shah Alam, kini mendapat bimbingan daripada jurulatih dari Russia, Lydia Legotina.
Keyakinan Lee Ya dalam menghadapi Sukma hadir selepas mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Gimrama Antara Bandaraya yang berlangsung di Majlis Sukan Negara, minggu lalu.
Pada kejohanan yang memasuki tahun ke-15 dan disertai peserta dari Jepun dan Thailand itu, Lee Ya me raih tiga emas menerusi acara individu keseluruhan, tali dan gelung, manakala perak bagi apparatus belantan dan riben.
Kecemerlangan di kejohanan itu turut memberi perangsang buat Lee Ya dalam menghadapi cabaran di Kejohanan Pacific Alliance di Hawaii yang akan berlangsung minggu depan. Di Hawaii, Lee Ya akan menggalas cabaran negara bersama Durratun, Foong Seow Ting, Crystal Lim, Jamie Lee dan Cheong Zu Er.
DATA
Yap Lee Ya
UMUR: 15 tahun
ASAL: Selangor
PENDIDIKAN: Tingkatan Tiga, Sekolah Sukan Bukit Jalil
PENCAPAIAN TERBAIK: 2002 - 1 emas dan 1 gangsa - Sukma, Sabah
2004 - 2 emas - Sukma, Negeri Sembilan
2006 - Tiga emas kategori remaja - Kejohanan Antara Bandaraya
FAKTA
Pesta Gimnastik dan Kejohanan Gimrama Antara Bandaraya
TARIKH: 31 Mac - 2 April 2006
LOKASI: Gimnasium Satu, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
PENYERTAAN: 700 peserta
NEGARA: Malaysia, Jepun dan Thailand
ACARA DIPERTANDINGKAN: - Pra Junior
- Junior
- Senior
- Berpasukan
Tahukah Anda?
Gimnastik berirama berkembang pada abad ke-19 dalam sistem latihan bebas Sweden yang dimajukan Peter Henry Ling yang mencipta ‘gimnastik estetika’ di mana pelatih meluahkan perasaan dan emosi menerusi pergerakan badan. Idea ini dikembangkan Catherine E Beecher yang menubuhkan Institut Wanita Barat di Ohio pada 1837. Dalam program gimnastiknya, Beecher menggelarkannya sebagai kelembutan tanpa tarian di mana gerakan badan diiringi musik.