
ANDAI kita tiada wakil dalam acara lontar peluru di Sukan Sea Manila 2005, keadaan mungkin berubah di Bangkok, tahun depan. Namun, harapan itu banyak berkisar kepada kemempuan Adi Alifuddin Hussin terus bangkit memperbaiki catatan dan prestasi semasanya.
Adi yang dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan dibesarkan di Terengganu, mula menarik perhatian peminat olahraga negara apabila sering kali membawa keputusan membanggakan di kejohanan peringkat remaja terutama sepanjang tahun lalu.
Sepanjang tahun lalu, Adi menghadirkan ceria dengan kejayaannya memecah rekod berusia 20 tahun di Kejohanan Remaja Kebangsaan de ngan lontaran sejauh 15.50 meter untuk memadam catatan bekas jaguh negara, Arjan Singh, 14.36m.
Sekalipun berjaya mencipta rekod di kejohanan itu, Adi perlu berusaha lebih gigih memandangkan berat peluru yang berbeza. Di kejohanan remaja, Adi melontar peluru seberat 6 kilogram, manakala peringkat kebangsaan dia perlu menggunakan peluru seberat 7kg.
Bagaimanapun melontar peluru seberat 7kg bukan sesuatu yang asing buatnya kerana berat sama digunakan di Sukan Malaysia (Sukma) dan dia yang sebelum ini meraih emas di Negeri Sembilan 2004 berharap dapat mengulanginya tahun ini di Kedah.
“Buat masa terdekat sasaran saya ialah Sukma dan memandangkan saya kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan rasanya tidak menghadapi masalah untuk menghadapi temasya itu.
“Selepas hampir dua tahun Sukma Negeri Sembilan berlalu, saya dapat rasakan peningkatan dalam lontaran dan berharap dapat mengekalkan pingat emas,” kata remaja berusia 17 tahun itu.
Selepas Sukma, dia berharap dapat melangkah lebih jauh dan sasarannya ialah mewakili negara ke Sukan Sea Bangkok 2007.
Untuk menghadapi cabaran yang lebih besar, Adi yang kini memiliki berat badan 138 kg perlu menurunkannya sehingga mencecah 125kg yang dianggap sesuai untuk acara lontar peluru.
Anak didik kepada Nazar Rahim berkata, dia perlu berusaha menurunkan berat badannya untuk mendapat kepantasan dalam lontaran yang sekali gus menghadirkan keputusan lebih baik.
DATA
ADI ALIFUDDIN HUSSIN
TARIKH LAHIR: 4 September 1988
ASAL: Bukit Mertajam, P.Pinang
ADIK BERADIK: Anak kedua daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: SPM
PENCAPAIAN TERBAIK:
2005 - Emas - Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Asean
Emas - MSSM
Emas - Kejohanan Remaja Kebangsaan
2004 - Emas - Sukma Negeri Sembilan