Dorongan ayah, inspirasi Siti


IBARAT pepatah, 'ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,’ tepat ditujukan kepada pelumba motocross cilik, Siti Hasya Nabila Abu Bakar yang kini mendapat inspirasi untuk berjaya, tambahan beraksi menentang kaum lelaki.

Anak muda berusia 11 tahun dari Kuantan ini digilap bakat oleh ayahnya, Abu Bakar Draman yang juga terbabit dalam sukan lasak ini. Memandangkan dia anak tunggal dalam keluarga tidak mustahil minat dan kecenderungan itu sudah ada apabila kerap kali mengikut ayahnya ke gelanggang.

SELAIN sokongan ayah,
Siti Hasya juga
mendapat dorongan
dan nasihat ibu yang
sentiasa berada di
gelanggang.


Menurut Siti Hasya dia banyak menimba dan memperoleh pengalaman – baik pahit dan manis – terutama setiap kali bertanding bersama pelumba lelaki selepas dua tahun menceburi sukan motocross in.

“Saya amat meminati sukan motocross.

Apabila ayah memberi semangat dan dorongan untuk saya menyertai perlumbaan saya tidak menolak tapi menganggap itu sebagai hadiah paling berharga.

“Bagi menambah pengalaman, saya berlatih setiap hujung minggu dengan tunjuk ajar daripada ayah yang juga seorang pelumba motocross terkenal,” katanya yang bercita-cita menjadi pelumba motocross wanita terkenal peringkat kebangsaan satu hari nanti.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lembing itu mampu berbangga menjadi pelumba tunggal apabila beraksi dalam kategori Junior Cross di Kejohanan Sungai Lembing Endurocross Challenge 2006 di Kuala Kenau, Sungai Lembing, Kuantan, baru-baru ini.

Selain sokongan padu ayah, Siti Hasya juga mendapat galakan penuh emak (Jawariah Abd Manaf) yang sentiasa berada di gelanggang setiap kali dia menyertai perlumbaan dan latihan.

“Ibu sentiasa memberi dorongan dan nasihat supaya saya berjaya, bukan sahaja dalam bidang pelajaran tetapi juga dalam sukan motocross yang jarang diceburi oleh golongan wanita.

“Saya bercita-cita ingin berjaya bukan saja di peringkat kebangsaan tetapi juga di pentas antarabangsa dalam usaha menaikkan imej negara,” katanya yang sebelum ini kerap jatuh dan bangun daripada jentera itu.

Pada pertandingan Sungai Lembing Endurocross Challenge 2006, baru-baru ini, Nabila yang menunggang motosikal EX 110cc berpuas hati apabila menduduki tempat keenam.

DATA

SITI HASYA NABILA ABU BAKAR
UMUR: 11 tahun.
PENDIDIKAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lembing, Kuantan.
PENGALAMAN: Dua tahun.
ADIK BERADIK: Anak tunggal.
CITA-CITA: Mewakili negara.
PENCAPAIAN:
–Tempat Ke-6, 2006;
–Menyertai perlumbaan 2005.

Tahukah Anda?
MOTOCROSS adalah bentuk perlumbaan motosikal atau ATV yang diadakan di litar jalan tertutup yang selamat dan diiktiraf sebagai perlumbaan motosikal paling popular.
Motocross dikatakan berasal daripada perkataan Perancis dan pada asalnya dikenali sebagai 'Scrambling' apabila sukan ini dicipta di Britain. Maksud “motocross” adalah perkataan “Motorcycle” dan “Cross Country”. Motocross juga dikenali sebagai MX.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768