3 tahun sasaran jadi juara negara



BELAKANG parang kalau diasah lagikan tajam. Bagi Noor Amira Mohamad Nafiah, acara lompat jauh dan lompat kijang bukan matlamat asalnya sebagai atlit, namun kepercayaan yang ada pada jurulatih menyemat semangat menjalani latihan dengan penuh komited.

Walaupun bakatnya dalam bidang sukan dikesan menerusi kejohanan olahraga Majlis Sukan-Sekolah Sukan Malaysia (MSSM), namun anak muda dari Lenggong, Perak ini yang terpilih menyertai program pencarian bakat di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) tiga tahun lalu tidak mengetahui dia terpilih untuk dua acara berkenaan.

Dia menyangka program pencarian bakat itu bertujuan memberi dia peluang menyertai pelbagai acara dan berharap diberi peluang beraksi dalam apa saja acara berpasukan.

Apapun pilihan jurulatihnya, Zainal Abas memang tepat dan dengan tunjuk ajar dalam tempoh setahun, Noor Amira mula menunjukkan kemampuan apabila berjaya meraih dua emas di MSSM dan seterusnya meningkatkan lagi kemampuan di peringkat Sekolah Asean, sepanjang tahun lalu.

"Mula-mula memang tak suka olahraga kerana ia membabitkan individu sedangkan saya sukakan acara berpasukan tetapi lama-kelamaan perasaan itu hilang sebaliknya semakin seronok dan berharap prestasi semakin meningkat dari masa ke semasa.

"Saya berharap dalam masa tiga tahun akan datang pencapaian saya akan menyamai kehebatan atlit wanita nombor satu negara acara ini (Ngew Sin Mei). Buat masa sekarang catatan terbaik saya dalam lompat jauh ialah 5.50 meter manakala lompat kijang ialah 11.53m dan masih jauh ketinggalan. "Sekarang saya bertambah suka dengan lompat jauh dan kijang apatah lagi acara ini sering menjadi tumpuan dalam temasya penting," katanya yang akan mewakili Perak di Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

Selain memberi tumpuan kepada latihan, Noor Amira juga cemerlang dalam bidang pelajaran dan menjadi pelajar terbaik SSBJ untuk peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2004 dengan mendapat 7A dan 1B. Justeru Noor Amira berharap kecemerlangan itu dapat diteruskan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan mensasarkan 11A.

DATA
NOOR AMIRA MOHAMAD NAFIAH


TARIKH LAHIR: 16 Julai 1989
ASAL: Lenggong, Perak
ADIK BERADIK: Anak ketiga daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Tingkatan Lima aliran sains, Sekolah Sukan Bukit Jalil
PENCAPAIAN TERBAIK: 2005
- Dua Emas - Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia
- Satu Emas dan Satu Perak
- Kejohanan Sekolah Asean di Singapura
- Satu Emas dan Satu Perak
- Kejohanan Antara Sekolah Sukan Thailand
- Satu Perak dan Satu Gangsa
- Kejohanan Remaja Kebangsaan
ANUGERAH: Olahragawati Sukan Perak 2005; Pelajar Terbaik PMR (7A, 1B) SSBJ 2004


Tahukah Anda?

KAJSA Bergqvist mencipta rekod baru dalam acara lompat jauh dalam dewan menerusi catatan 2.08 meter pada Kejohanan Lompat Jauh Antarabangsa yang berlangsung di Arnstadt, Jerman pada 4 Februari lalu.

Atlit berusia 29 tahun berasal dari Sweden itu yang juga juara bertahan dunia dan muncul juara dua kali berturut-turut dalam Kejohanan Olahraga Dalam Dewan mencipta rekod dengan kelebihan satu sentimeter ke atas catatan milik Heike Henkel yang dilakukan Februari 1992.



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768