
BERAKSI dalam kategori bawah 56 kilogram dalam acara angkat berat, Mohd Hafifi Mansur berharap dapat menaikkan nama negara – sama seperti pencapaian dua badang negara, Mohd Faizal Baharom dan Amirul Hamizan Ibrahim yang mencipta kejayaan dalam kategori berkenaan.
Anak muda dari Kuala Terengganu ini yang masih menuntut di tingkatan empat tidak mahu berpaling ke belakang lagi sebaliknya cuba mencongak peluang yang hadir dan impian masa depannya ialah memenangi tiga pingat emas di Sukan Komanwel 2010.
Manakala matlamat paling hampir ialah untuk memenangi emas di Sukan Malaysia (Sukma) dan sekali gus menaikkan nama negeri kelahirannya Terengganu.
Justeru tumpuan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu diberi se penuhnya kepada latihan dengan mendapat bimbingan daripada jurulatih, Zakaria Yusof.

DUNIA angkat berat bagi Hafifi bermula
sejak di tingkatan satu.“Dalam usaha mencari kejayaan saya juga tidak terlepas dengan kenangan pahit apabila mengalami kecederaan di pergelangan tangan ketika menjalani latihan sebulan sebelum menghadapi Kejohanan Sekolah Asean di Thailand, tahun lalu dan sekali gus menjejaskan peluang mempertahankan tiga emas. “Walaupun sakit ketika itu, saya tetap meneruskan perjuangan.
Paling mengecewakan saya ialah gagal memenangi emas dengan perbezaan kecil iaitu ketinggalan satu kilogram saja berbanding lawan dari Thailand,” katanya yang mengangkat 122 kilogram dalam acara 'clean & jerk' serta 95 kg bagi acara 'snatch'.
Mengulas penyertaannya dalam acara angkat berat, Hafifi ber kata, semuanya bermula ketika memasuki tingkatan satu Sekolah Menengah Seberang Takir yang ada menyediakan latihan untuk acara itu.
Kesungguhannya menjalani latihan membolehkan dia memenangi dua emas pada sirkit remaja di Selangor dan hasil kejayaan itu dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke SSBJ.
DATA
MOHD HAFIFI MANSUR
TARIKH LAHIR: 28 Oktober 1990
TEMPAT LAHIR: Kuala Terengganu
PENDIDIKAN: Tingkatan Empat, Sekolah Sukan Bukit Jalil
PENCAPAIAN TERBAIK:
2005
Tiga Perak – Kejohanan Sekolah Asean di Thailand; Tiga Perak – Kejohanan Arafura, Australia
2004
Tiga Emas – Kejohanan Sekolah Asean, Thailand; Dua Perak dan Satu Gangsa – Bawah 16 tahun Asia