Anak peneroka Felda gegar dunia tinju



PADA awalnya sukan bertinju bukan agenda utama dalam kamus anak peneroka Felda dari Chini Timur 2 di Pahang itu malah lebih gah sebagai pesilat olahraga yang mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan.

Kini Mohd Fairus Azwan Abdullah secara tiba-tiba makin panas meniti kecemerlangan dalam dunia tinju dengan peninju legenda, Muhammad Ali menjadi idolanya. Hanya dalam tempoh empat tahun bergelombang dalam sukan tinju rentak kejayaan di persada kebangsaan sudah berjaya dikecapi sebagaimana diimpikan.

Menurut Fairus, dia memberanikan diri masuk ke gelanggang tinju apabila mendapat nasihat jurulatih silat olahraga Pahang yang menyatakan dia memiliki kebolehan mencatat kejayaan besar.

Walaupun hanya sempat meraih sebutir pingat gangsa sepanjang bergiat dalam sukan silat olahraga iaitu di Kejohanan Silat Olahraga Remaja Kebangsaan 2001 di Kedah tetapi itu sudah dianggap memadai. “Kini tumpuan saya bukan sahaja menjurus kepada pencapaian lebih membanggakan di peringkat kebangsaan tetapi lebih penting tersenarai dalam pasukan negara.

“Dengan pencapaian membanggakan apabila merangkul pingat emas dalam kategori 75 kilogram pada Kejohanan Tinju Remaja Kebangsaan 2005, saya semakin bersemangat untuk meraih lebih banyak kejuaraan.

“Hanya kejayaan pada setiap kejohanan akan lebih menaikkan lagi semangat saya untuk melakar pencapaian yang membanggakan untuk Pahang,” katanya yang tersenarai dalam kumpulan atlit elit Majlis sukan Pahang (MSP).

Sasaran bagi musim ini adalah untuk meraih pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) di Alor Star, Mei ini dan mahu mengejar misi lebih penting iaitu dapat mewakili Malaysia dalam Sukan Sea 2007 di Bangkok.

DATA
MOHD FAIRUS AZWAN ABDULLAH
UMUR: 19 TAHUN
TARIKH LAHIR: 05 April 1987
ASAL: Kampung Bukit Kuin, Kuantan
TEMPAT TINGGAL: Felda Chini Timur 2, Pekan
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
SEKOLAH: SMK Felda China Timur 2, Pekan/SK Chini Timur 2, Pekan
PENINJU IDOLA: Adnan Yusof (peninju kebangsaan)
CITA-CITA: Mewakili negara di kejohanan antarabangsa
JURULATIH: Ngamjan Amorn (Thailand)
PENCAPAIAN: Juara Kejohanan
Tinju Remaja Kebangsaan 2005
dan tempat ketiga Kejohanan
Tinju Piala Datuk Bandar Kuala
Lumpur 2005 kategori bawah 75 kilogram
MAKANAN KEGEMARAN: Nasi Ayam
MINUMAN KEGEMARAN: Teh o-ais



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768