Pingat perak kickboxing semarak cita-cita Makissa
Oleh Haryani Ngah
JIKA ada yang menyangka sukan kickboxing adalah kasar dan agresif jelas tanggapan seumpama itu tidak benar sebaliknya ia acara sukan yang menyihatkan dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Buktinya, remaja seawal usia 12 tahun, Makissa Sophia Smeeton berjaya mengharumkan nama negara menerusi seni mempertahankan diri itu. Dengan hanya latihan intensif selama tiga bulan, Makissa membuktikan keupayaan apabila berjaya membawa pulang pingat perak dari Kejohanan Kickboxing Dunia, berlangsung di Niagara Fall, Kanada, November lalu.
Apapun untuk mencipta kejayaan itu, pelajar Sekolah Alice Smith itu terlebih dulu mendapat asas dalam acara taekwondo dengan bimbingan daripada jurulatih, AVS Bathi.
“Saya hanya mengambil masa tiga bulan untuk menjalani latihan intensif bagi menghadapi kejohanan dan pengalaman meraih perak itu amat bermakna bagi diri saya. Sebelum menyertai pertandingan itu saya meletakkan sasaran gangsa saja.
“Pembabitan saya dalam acara kick boxing bermula menerusi acara taekwondo yang saya sertai sejak empat tahun lalu. Jurulatih mendapati saya mempunyai cara tumbukan dan tendangan yang baik dan sekali gus menyaran saya menyertai acara ini.
“Kickboxing tidak kasar atau agresif dan ia boleh di pelajari oleh sesiapa saja. Ia menyeronokkan dan dapat meningkatkan keyakinan diri,” katanya yang memiliki tali pinggang hitam taekwondo.
Makissa berkata, dia akan menyertai kejohanan tahun ini di Sepanyol dan masihmengekalkan penyertaan dalam kategori bawah 13 tahun sambil berharap dapat meraih pingat emas. Selain memberi tumpuan kepada kickboxing, Makissa turut aktif dalam acara bola jaring dan renang dengan mewakili sekolahnya.
DATA
TARIKH LAHIR: 6 Disember 1993
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Tingkatan Satu, Sekolah Alice Smith
PENCAPAIAN TERBAIK: Pingat perak bawah 13 tahun,
Kejohanan Kick Boxing Dunia, Kanada
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|