
HANIF (kanan sekali) dan rakan sepasukan
mendengar nasihat jurulatih.SETIAP atlit muda yang mahu berjaya pasti ada idola sendiri sebagai elemen menyuntik inspirasi mahu berjaya dalam lapangan sukan diceburi.
Ia tiada kelainan pada diri Mohd Hanif Rahim yang amat meminati pakar flick hoki, S Kuhan dan mahu mengikut jejak langkah kapten skuad kebangsaan itu satu hari nanti menggegar pentas antarabangsa.
Langkah awal itu sudah pun terbayang apabila pemain pertahanan hoki itu diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dalam Kejohanan Juara-Juara Sekolah 2005, baru-baru ini.

Dalam perlawanan akhir yang menarik di Melaka, pasukannya, Sekolah Tinggi Melaka (STM) berjaya menewaskan Sekolah Menengah Datuk Mohamad Taha, Negeri Sembilan 2-0. Dia juga menyumbang satu gol yang akan dikenang sebagai satu jaringan menarik. “Saya amat meminati gaya persembahan Kuhan.
Jika boleh saya mahu berjaya sepertinya, malah ia tidak mustahil dilakukan kerana kejayaan muncul pemain terbaik perlawanan akhir baru-baru ini terus membakar semangat saya untuk berjaya.
“Kejohanan itu adalah satu lonjakan semangat buat saya mengejar kejayaan lebih hebat pada masa depan.
Saya juga berazam untuk terus meletakkan Melaka antara pasukan terbaik di pentas hoki kebangsaan,” katanya yang tidak menduga terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir kali ini ketika beranggapan ada ramai lagi pemain hebat daripadanya.
Hanif mula mendapat pendedahan awal dalam hoki di Sekolah Kebangsaan Seri Lanang Jasin di atas padang rumput. Di sana dia berjaya memperagakan bakatnya sehingga terpilih ke STM di Bandar Hilir.
Sejak itu anak muda berusia 16 tahun itu tidak menoleh ke belakang malah menganggap kayu hoki sebagai senjata utama perjuangannya mengejar nama dengan impian mahu menjadi pemain kebangsaan terkenal seperti Kuhan satu hari nanti.
Kelibat mengemudi benteng pertahanan serta tahap disiplin baik turut memikat perhatian jurulatih sekolah terbabit, G Ravindran menyenaraikannya untuk pasukan Liga Remaja 2005 dan Kejohanan Juara-Juara Sekolah 2005.
Malah Mohd Hanif juga turut menyertai ujian skuad bawah 16 negara baru-baru ini sebagai menambah pengalamannya di peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, dia ingin sekali menaikkan nama daerah Jasin sebagai antara daerah yang mampu melahirkan lebih ramai pemain terbaik negara.
DATA
MUHAMAD HANIF RAHIM
TARIKH LAHIR: 17 Februari 1990
USIA: 16 tahun
ASAL: Jasin, Melaka
SUKAN: Hoki
PASUKAN: Sekolah Tinggi Melaka (STM)
POSISI: Pertahanan
ADIK BERADIK: Anak keempat daripada empat adik beradik
SEKOLAH ASAL: Sekolah Seri Lanang, Jasin
ANUGERAH: Pemain terbaik perlawanan akhir Juara-Juara Sekolah 2005
PENCAPAIAN: Juara Kejohanan Hoki Juara-Juara Sekolah 2005;
Keempat Liga Remaja Kebangsaan 2005