Emas Manila gamit Rufina




MUNGKIN ramai belum mengenali gadis kecil molek, Rufina Tan yang sudah pun mencipta kejayaan besar dalam sukan perahu layar apabila meraih emas kategori individu perempuan di Kejohanan Optimist Asia di Port Dickson, Negeri Sembilan lalu.

Dibesarkan dalam keluarga yang bergiat cergas dalam sukan laut itu gadis berusia 14 tahun itu menyimpan cita-cita tinggi menjadi atlit perahu layar profesional negara satu hari nanti.

Dia mahu mengikut jejak langkah rakan sepelatihnya di Kelab Perahu Layar Kinabalu (KYC) yang lebih awal menempa nama dalam sukan ini, iaitu adik-beradik Kelly dan Sandra Yin pada Sukan Sea 2003.

Dipilih oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mewakili negara di Kejohanan Remaja di Belgium, Rufina cemerlang dengan dua emas dalam kategori individu dan keseluruhan perempuan pada kejohanan antarabangsa itu.

“Saya tidak sabar untuk beraksi di Manila. Setiap atlit mengidamkan peluang mahu mewakili negara, begitu juga dengan saya. Ia adalah cabaran besar bagi saya, bagaimanapun saya tetap yakin meraih emas.

“Walaupun tidak menjalani kehidupan seperti remaja lain, saya tidak menyesal, malah saya gembira dengan kesibukan yang padat dengan rutin harian latihan dan pelajaran,” katanya.

Anak sulung dua beradik ini mula berjinak-jinak dengan sukan ini sejak lima tahun lalu apabila bapanya, Johnny Tan membawa Rufina ke KYC.

“Sejak kecil lagi, bapa saya sering membawa kami ke sini. Mulanya, saya tidak terpilih mewakili KYC dalam beberapa pertandingan yang dianjurkan di Sabah, tetapi saya tidak putus asa.

“Saya gementar mengendalikan perahu layar pada mulanya. Mujurlah, ayah sentiasa memberi galakan sehingga hari ini. Dia menjadi pendorong utama saya dan akan menemani saya di Manila nanti,” katanya.

Sejak bergiat dalam sukan ini, kulit cerah Rufina tampak sedikit kemerahan kerana terdedah kepada terik matahari dan air laut.

“Sudah minat, saya tidak kisahlah dengan kulit sebegini. Apa yang penting saya mahu terus berlatih dan meningkatkan prestasi pada masa akan datang,” katanya yang pernah berlatih di Argentina selama dua bulan di bawah bimbingan bekas juara dunia, Gonzalo Politzer.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768