Nabihah tekad julang negara
Oleh Haryani Ngah
MELIHAT kepada tubuh yang kecil pasti tiada siapa menyangka si cilik, Nabihah Ali berada dalam kelompok atlit yang bakal membawa cabaran negara ke Sukan Sea Manila, bulan depan.
Namun tubuh kecil miliknya seakan memberi tuah buat remaja berusia 14 tahun itu untuk mudah bergerak dan melakukan setiap rutin dalam acara gimnastik artistik. “Saya berasa bertuah kerana dalam usia 14 tahun saya layak mewakili negara ke Sukan Sea. Memandangkan ini penyertaan pertama saya berharap dapat membawa pulang sebutir gangsa.
“Untuk layak ke Sukan Sea, aksi di Terbuka Malaysia menjadi ukuran dan di kejohanan itu saya menjadi peserta terbaik dengan dua emas dan dua perak.
“Saya tidak sangka layak. Apapun saya gembira dengan pencapaian ini,” kata remaja kelahiran Batu Pahat itu. Selain cemerlang di Terbuka Malaysia, Nabihah terlebih dulu memberi kepercayaan buat negara apabila aksinya di Piala Rajiv Ghandi di India membutirkan satu perak dan satu gangsa.
Nabihah akan mewakili negara ke Sukan Sea bersama empat lagi rakannya termasuk gimnas paling senior, Nurul Fatiha Abdul Hamid serta Tan Kai Ling, Chan Sau Wah dan Noor Hasleen Fatihin Hasnan.
Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi Nabihah adalah hasil kesungguhannya menjalani latihan tanpa jemu dan pembabitannya dalam acara gimnastik artistik bukan baru setahun jagung tetapi sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Menurut Nabihah, dia bertuah ke rana Sekolah Kebangsaan Seri Bandar Melaka ada menawarkan acara itu dan dia tidak mahu peluang keemasan itu terlepas.
Dia mula membabitkan diri seawal usia lapan tahun dan lebih menggembirakan kedua ibu bapanya menyokong pembabitannya.
Nabihah berkata dalam tempoh tidak sampai setahun menyertai latihan dia mula menyertai pertandingan anjuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Melaka, bagaimanapun dia sudah lupa keputusan yang diperolehnya.
DATA
NABIHAH ALI
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1991
ASAL: Batu Pahat, Johor
KEDIAMAN: Melaka
PENDIDIKAN: Tingkatan 2,
Sekolah Sukan Bukit Jalil
PENCAPAIAN:
2 Emas dan 2 Perak - Terbuka
Malaysia 2005
4 Emas dan 1 Perak - Majlis
Sukan Sekolah-sekolah Malaysia
2005; 1 Perak dan 1 Gangsa -
Piala Rajiv Ghandi, India 2005
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|