
ALVIN mahu meningkatkan prestasi sebelum berlepas
ke Manila, November ini.TIDAK dinafikan bakat Alvin Yeow menerokai dunia perahu layar ada kaitan dengan dorongan ayahnya, Lawrence yang juga bekas atlit dalam sukan air ini.
Kecenderungan anak muda berusia 15 tahun terhadap disiplin ini sudah terbit sejak dia dibangku sekolah lagi. Namun bukan kerana faktor ayah dia membabitkan diri secara serius dalam acara perahu layar optimist melainkan kerana minat mendalam, selain ingin kejayaan cemerlang.
Jika dilihat dari segi susuk tubuh kecil, memang sukar menyangkakan bahawa dia memiliki semangat juang kental serta keberanian mengharungi ombak dan angin kencang ketika mengemudi bot layar di tengah perairan - baik di negara mahupun luar negara.
Keupayaan dan kecekapan mengawal bot layar itu selain mahir membaca arah haluan angin, menjadikan Alvin pelayar sentiasa digeruni lawan kerana sering meninggalkan lawan dengan jarak jauh di pentas kejohanan disertainya.

BANGGA dengan kejayaan di Kejohanan Perahu
Layar Optimist Asean di Port Dickson,
baru-baru ini.“Semua bekalan perlumbaan ini saya perolehi menerusi latihan gigih setiap hari di kelab bawah tunjuk ajar Pak Cik Rani (Abdul Rani) dan Hamdan sejak terbabit secara langsung dalam sukan ini.
“Sukan ini bukan hanya memerlukan kemantapan fizikal dan mental, tetapi kemahiran teknikal,” katanya ketika ditemui di Kelab Perahu Layar Port Dickson (PDYC).
Baru-baru ini, Alvin muncul juara kategori individu lelaki Kejohanan Perahu Layar Optimist Asean di Port Dickson serta membantu pasukan negara muncul naib juara Kejohanan Dunia di Switzerland, bulan lalu.
Kini azamnya membara mahu mengutip pingat emas di Sukan Sea di Manila, akhir November ini.“
Saya ingin menamatkan edisi akhir penyertaan dalam acara optimist dengan kejayaan lebih cemerlang demi negara.
“Pada tahun depan mungkin saya tidak berpeluang membawa cabaran dalam acara ini kerana ia hanya terbatas untuk pelayar berusia bawah 15 tahun dan mungkin saya akan menyertai dalam kategori lain seperti acara laser,” katanya.
Disebalik status selaku di antara jaguh optimist bertaraf dunia, Alvin belum mahu mendabik dada, malah berusaha meningkatkan lagi prestasinya sebelum berlepas ke Manila.
DATA
ALVIN YEOW
TARIKH: 21 Mei 1990
ASAL: Negeri Sembilan
TINGGI: 153sm
BERAT: 41kg
ACARA: Perahu Layar Optimist
PENCAPAIAN
Olahragawan MSSMNS 2002, 2003 dan 2004
Juara Optimist Kebangsaan 2002, 2003 dan 2004
Pingat emas individu Sukan Malaysia 2002 dan 2004
Pingat perak berpasukan Sukan Malaysia 2002/2004
Juara Optimist Individu Asian China 2002
Juara Optimist Individu Asean di Singapura 2002
Juara Optimist Individu Asian di Mumbai 2004
Naib Juara Optimist Individu Asean di Myanmar 2004
Juara Berpasukan Optimist Asean di Myanmar 2004
Naib Juara Berpasukan Kejohanan Dunia di St Morist Switzerland 2005
Juara Individu dan Naib juara berpasukan Optimist Asean di Port Dickson 2005