Basikal duit raya Azizul


BARAT mendapat berkat apabila basikal yang dibeli hasil simpanan duit raya membawa tuah buat Azizul Hasni Awang kerana dengan basikal itu dia berjaya meraih pelbagai kemenangan ketika mula-mula menyertai lumba basikal. Malah basikal yang dibeli dengan harga RM500 itu bukannya basikal baru sebaliknya basikal terpakai dan pernah digunakan oleh seorang bekas pelumba.

“Masa mula-mula menyertai acara berbasikal saya sekadar menggunakan basikal bukit biasa yang saya gunakan untuk ke sekolah dan basikal itu juga pemberian bapa kerana saya mendapat keputusan cemerlang di peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Bagaimanapun kerana mahu meneruskan minat dalam perlumbaan saya membeli basikal terpakai daripada seorang kawan dengan mengeluarkan duit raya yang saya simpan.

“Dengan basikal itu saya me nyertai kejohanan basikal bukit dan turut mengeluarkan wang poket sendiri RM50 setiap kali me nyertai kejohanan dan berjaya mendapat kemenangan pada setiap perlumbaan,” kata remaja kelahiran Dungun Terengganu itu.

Bagi memastikan bakatnya dikembangkan, jurulatihnya, Rozimi Omar membawa Azizul ke Kuala Lumpur untuk mencuba acara trek pada tahun lalu. Dalam aksi pertama kalinya di veledrom, dia berjaya mendapat tempat kedua.

Pencapaian cemerlangnya itu sekali gus menarik perhatian jurulatih Russia Nicole Kletsevof untuk diserapkan dalam skuad remaja kebangsaan.

Di bawah bimbingan Kletsevof Azizul menyerlah di peringkat antarabangsa dan kerana usaha yang begitu bersungguh membolehkan diberi anugerah khas semangat juang ketika menyertai Tour De Korea Junior beberapa bulan lalu.

“Saya menjadikan Josiah Ng sebagai idola dan menyimpan hasrat menjadi seorang pelumba yang lebih baik daripada dia pada masa akan datang,” kata pelumba berusia 17 tahun itu.

DATA
  • NAMA: Azizul Hasni Awang
  • TARIKH LAHIR: 5 Januari 1988
  • ASAL: Dungun, Terengganu
  • ADIK BERADIK: Anak ketujuh
    daripada lapan adik beradik
  • PENDIDIKAN: Tingkatan 5 Aliran
    Sains, Sekolah Sukan Bukit Jalil
  • ACARA: Trek dan lebuh raya

    PENCAPAIAN
    2005 Anugerah Khas 'Semangat
    Juang' dan tempat kedua acara
    berpasukan – Tour de Korea Junior
    Tiga emas – Kejohanan SportExcel
    sirkit Cheras
    Satu emas – Sirkit Lebuh raya Melaka
    Satu emas dan satu perak – Kejohanan
    SportExcel sirkit Kangar 2004
    Satu emas dan satu gangsa -
    Kejohanan Trek Remaja Asia Pasifik
    di Shanghai Gangsa Kejohanan
    Komanwel Remaja di Australia


  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768