Asma kakak pendorong Khoo



CAI LIN idamkan pingat emas buat negara di Sukan Sea.

JIKA tidak kerana ibunya mahu menyembuhkan penyakit asma yang dihidapi kakak sulongnya kira-kira 14 tahun lalu, tentu Khoo Cai Lin tidak bergelar perenang kebangsaan.

Cai Lin yang ketika itu baru berusia tiga tahun turut diberi pendedahan belajar renang bersama dua orang kakaknya dan usaha ibunya membuahkan hasil apabila dia dan dua kakaknya dapat menguasai acara itu dan penyakit asma yang dihidapi kakak sulongnya itu turut sembuh.

Apapun ketika kedua kakaknya sekadar beraksi sehingga peringkat sekolah, Cai Lin pula meneruskan penguasaan dan kemudiannya diserap dalam skuad remaja dan menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2003.

Usaha Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menyerapnya dalam skuad Sukan Sea 2003 tidak sia-sia apabila penyertaan pertamanya membuahkan hasil dengan meraih pingat gangsa menerusi acara kegemarannya 800 meter.“Saya mula belajar renang ketika berusia tiga tahun dengan menyertai Kelab Syabas di Petaling Jaya dan seterusnya di Pusat Akuatik Darul Ehsan di Shah Alam.


BERBINCANG dengan jurulatih bagi memperbaiki kelemahan.

“Tumpuan sekarang ialah mencari tempat ke Temasya Manila dan buat masa sekarang saya masih ketinggalan empat saat untuk mencapai syarat kelayakan bagi acara 800m.

“Masa terbaik saya setakat ini ialah 9.09.02 saat yang dilakukan di Sukan Sea Vietnam dan saya belum dapat menjangkakan bila sasaran dapat dilepasi memandangkan tiada kejohanan menjelang Temasya Manila.

“Sekiranya saya terpilih ke Sukan Sea saya berharap dapat membaiki catatan masa di samping mendapat pingat yang lebih baik daripada gangsa,” kata pelajarnya yang menjadi perenang terbaik pada Kejohanan Renang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia 2005 dengan enam pingat emas.

Ketika ditanya sama ada dia berminat menyertai latihan di luar negara sebagaimana perenang kebangsaan yang lain, Cai Lin berkata dia belum terfikir lagi ke arah itu memandangkan dia bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

DATA
  • KHOO CAI LIN
  • TARIKH LAHIR: 25 Disember 1988
  • ASAL: Selangor
  • ADIK BERADIK: Bongsu daripada tiga beradik
  • ACARA: 400m dan 800m gaya bebas

    PENCAPAIAN TERBAIK
  • 2005 dua emas, satu perak - Terbuka Malaysia
  • 2005 satu emas Kejohanan Renang Kebangsaan Singapura
  • 2003 satu gangsa (800m gaya bebas) Sukan Sea Vietnam

    SUMBER: BERITA HARIAN & NSTP




  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768