Sukan Sea Manila sasaran Shahir


SEJAK berusia empat tahun anak muda ini sudah mendapat pendedahan di kolam renang kerana ibu bapanya sememangnya mempunyai minat dan sentiasa memberi galakkan untuk anak mereka menyerlah dalam kolam renang.

Daripada lima adik beradik dalam keluarga itu, Shahir Sulaiman, 15, anak ketiga sudah menunjukkan potensi diri yang semakin menyerlah apabila berjaya mencatatkan peningkatan dalam beberapa siri kejohanan renang yang disertainya dalam dan luar negara. Acara kegemarannya ialah 50 meter, 100m, 200m, kuak dada serta 50m kuak kupu-kupu.

Pada kejohanan renang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) awal tahun ini, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki Kuala Lumpur itu, memperoleh dua emas sekaligus mencipta rekod baru dalam acara 50m dan 100m kuak dada.

Rekod baru yang dicatat dalam 50m ialah 31.63 saat mengatasi rekod lama 31.86s, manakala dalam acara 100m, dia mencatatkan 1:10.13s mengenepikan rekod lama 1:10.22s. Prestasi yang amat memberangsangkan itu membolehkan dia diberi kepercayaan Persatuan Renang Ama tur Malaysia (ASUM) untuk mewakili negara pada temasya Sukan Perpaduan Negara-Negara Islam, di Arab Saudi, baru-baru ini.

Meskipun dia tidak dapat menyumbang sebarang pingat untuk negara selepas hanya menduduki tangga ketujuh dalam acara kuak dada 100m dan tangga sembilan kategori 50m, namun baginya temasya sukan julung kali itu memberi pengalaman berguna dalam usahanya untuk mencipta kejayaan lebih baik pada masa depan.

Atas semangat dan keinginannya untuk mencapai kecemerlangan, Shahir anak kelahiran ibu kota ini membuktikan keupayaannya apabila berjaya mencipta rekod baru kejohanan 50m kuak dada Kumpulan 2, dalam Kejohanan Akuatik Peringkat Umur Kebangsaan di Pusat Akuatik Negeri Sembilan Paroi, Seremban, yang berakhir Ahad lalu. Rekod baru yang diciptanya dalam acara itu ialah 31.71s mengatasi 31.96s, manakala dalam 100m acara yang sama sekadar memperoleh emas dengan catatan 1:10.15s.

Abangnya Shafiq, 17, yang turut bertanding di kejohanan berkenaan dalam acara 50m, 100m dan 200m gaya bebas juga tidak pulang dengan tangan kosong, apabila mendapat satu pingat perak dan satu gangsa.

Shahir berkata, dia kini mendapat bimbingan jurulatih Sazali Salleh dan berlatih di Kompleks Sukan Renang Cheras Kuala Lumpur pada waktu yang disusun dengan begitu rapi antara tanggungjawab sebagai pelajar dan perenang negara.

Katanya, semuanya itu dapat diuruskan dengan baik melalui sokongan keluarganya. “Matlamat saya adalah untuk me wakili negara pada Sukan Sea Manila hujung November depan dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi impian itu.

“Saya juga berharap dapat membaharui lagi rekod yang ada ini pada Sukma (Sukan Malaysia) tahun depan di Kedah,” katanya yang mendapat Anugerah Olahragawan Harapan Kuala Lumpur tahun lalu.

DATA EpG
SHAHIR SULAIMAN
TARIKH LAHIR:
13Jan 1990
ASAL: Kuala Lumpur
TINGGI: 150sm
BERAT: 63kg
ACARA KEGEMARAN:
50m, 100m, 200m kuak dada dan 50m kuak kupu-kupu.
PENCAPAIAN:
2emas dan satu rekod kejohanan pada Kejohanan Akuatik Peringkat Umur Kebangsaan.
STATUS:
Pelajar SMK Aminuddin Baki.
ANUGERAH:
Olahragawan Harapan Kuala Lumpur 2004.



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768