RASA cemburu sudah mula terbit pada pemain skuasy wanita negara, Delia Arnold apabila menyuarakan cita rasa besar mahu menjalani latihan di luar negara sebagaimana dilalui Nicol Ann David.
Apapun laluan itu tidak akan menyusul mudah andai berpandu kepada syarat Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) yang hanya melayani permintaan itu jika gadis itu dapat menempatkan diri dalam kelompok 50 terbaik dunia selewat-lewatnya Jun ini.
Ia harus memberi sedikit tekanan kepada pemain nombor empat negara itu kerana ranking terkini dunia dia berada ditangga ke-60.
“Saya belum pernah berlatih di luar negara dan percaya saya memiliki peluang baik untuk menepati sasaran diletakkan SRAM.
“Saya mahu ke Eropah untuk meningkatkan persembahan saya di pentas antarabangsa,” kata gadis itu yang juga anak kepada jurulatih elit skuad kebangsaan, Raymond Arnold.
Hajat SRAM adalah untuk menempatkan lima pemain wanita negara di luar negara menjelang 2006 dan hanya 50 teratas dapat mengejar tiket itu. Ketika ini hanya dua pemain negara iaitu pemain nombor empat dunia, Nicol dan pemain nombor dua kebangsaan, Sharon Wee berlatih di luar negara.
Nicol berpangkalan di Amsterdam, Holland di bawah bimbingan bekas pemain nombor satu dunia, Liz Irving manakala Sharon (pemain nombor 26 dunia) di bawah Shaun Moxham di Antwerp, Belgium.
Pemain nombor tiga negara, Tricia Chuah yang berada dalam ranking ke-54 dunia tampak lebih pantas akan berada dalam kelompok 50 teratas berbanding Delia dan ia sekadar menghangatkan saingan di kalangan mereka.