Serampang tiga mata




(DARI kiri, Md Zamri Baba, Azlan Shah Kamaruzaman dan
Elly Idzlianizar Ilias


Wakil Petronas Sprinta Ah Hong yakin mampu bangkit beri tentangan

SELEPAS tamat lima pusingan dan berbaki lima pusingan lagi, tiga pelumba Petronas Sprinta Ah Hong sekadar menghuni kelompok kedua, jauh di belakang tiga calon juara kategori Expert musim ini.

Selepas lima perlumbaan, tampuk persada mata diketuai juara bertahan dari Shell Advance Maju, Ahmad Fazli Sham (102 mata), rakan sepasukan Ahmad Fazrul Sham (71) dan wakil Petronas Sprinta Raceline, Iskandar Raduan (60).

Mengetuai cabaran Petronas Sprinta Ah Hong musim ini ialah Azlan Shah Kamaruzaman yang menduduki tangga keempat keseluruhan dengan 55 mata, diikuti dua rakan sepasukannya Md Zamri Baba (50) dan Elly Idzlianizar Ilias (39).

Dengan baki lima pusingan dan menjelang Pusingan 6 di Litar Kuching penghujung minggu ini, tiga pelumba itu berada dalam situasi terdesak untuk bangkit mengejar tiga pelumba di atas mereka.

Begitupun, ketiga-tiga pelumba mengakui prestasi turun naik sejak awal musim dan ketidakupayaan jentera untuk memberi saingan merencatkan pemburuan mereka mengejar kedudukan lebih baik.

Lebih memburukkan keadaan apabila tiga pencabar mahkota kejuaraan menunjukkan konsistensi setiap kali perlumbaan terutama apabila membabitkan laluan lurus yang panjang seperti di Litar Sepang.

Setakat ini, hanya tiga kedudukan podium - satu di tempat kedua dan dua di tempat ketiga - mampu diberikan tiga wakil pasukan itu dan dianggap satu pencapaian yang kurang memberangsangkan berbanding latar belakang dan pengalaman pelumba serta pasukan.


DUA pelumba Petronas Sprinta Ah Hong, Elly Idzlianizar (kiri)
dan Azlan Shah berentap sesama sendiri di Kluang.


Azlan Shah yang boleh dianggap pelumba muka lama dalam kelas Expert, mengakui jentera yang digunakan pasukan itu masih kurang menyengat dan sering kali menyebabkan dia bertindak sebagai ‘pengejar’ dalam perlumbaan.

“Jentera kami masih ‘kurang’ dan kami masih tercari-cari pelarasan yang bagus. Apabila jentera tidak berfungsi dengan baik, ia juga memberi kesan terhadap prestasi kami, seterusnya keputusan perlumbaan.

“Sejak awal musim dan selepas lima perlumbaan, kami masih belum dapat jentera yang ideal untuk membolehkan kami mencabar Fazli Sham, Fazrul Sham dan Iskandar tetapi kami tetap bersikap optimistik.

“Sesuatu perlumbaan seperti di litar yang berteknikal sukar diramal dan saya amat berharap pada hari kelayakan dan perlumbaan, pelarasan jentera akan menepati kehendak litar yang berteknikal seperti di Litar Kuching nanti,” kata Azlan Shah yang menduduki tangga keempat keseluruhan musim lalu.

Berkongsi pendapat yang sama ialah Md Zamri yang berharap mekanik pasukan dapat membuat sesuatu di luar jangkaan untuk mengejar kelompok tiga pelumba handalan yang menguasai kedudukan teratas kategori Expert setakat ini.


AZLAN (kiri) ketika menduduki
tempat kedua di Johor.


Md Zamri yang berkedudukan kelapan keseluruhan musim lalu, turut kesal dengan prestasi tidak menentu yang ditunjukkannya setakat ini sekalipun bermula baik menduduki podium ketiga di Litar Taiping.

Graf baik itu gagal dikekalkan apabila sekadar menduduki tangga pertengahan pada tiga perlumbaan sebelum bangkit sekali lagi di tempat ketiga di Litar Terengganu bulan lalu.

“Saya amat berharap semua masalah yang dihadapi sebelum ini dapat diatasi dan saya fokus untuk pastikan dapat berada di tahap terbaik di Kuching.

“Ramai penunggang gemarkan Litar Kuching kerana ia penuh teknikal dan memberi kelebihan kepada jentera yang kurang pantas seperti kami. Sebab itulah saya bersemangat menjelang kunjungan ke Kuching dan berharap segala-galanya menjadi.

“Kedudukan tangga ketiga di Kuala Terengganu memberikan saya semangat tambahan dan dengan keadaan yang semakin serasi dengan jentera 4-lejang, ditambah kedudukan baik dalam kelas Supersports siri kejuaraan Asia-FIM Petronas, saya tampil dengan rasa keyakinan lebih tinggi di Kuching,” kata Md Zamri.

Buat Elly Idzlianizar, permulaan buruk awal musim di Taiping dan Kluang dapat ditebus dalam tiga perlumbaan seterusnya di Sepang, Kota Bharu dan Kuala Terengganu apabila konsisten menduduki tempat keempat.

Dan menjelang kunjungan ke litar kegemaran di Kuching, Idzlianizar bertekad menjadikannya pentas kebangkitan memburu kedudukan yang lebih baik bagi mencerahkan peluangnya merebut tiga kedudukan teratas di akhir musim.

“Nasib saya memang agak malang pada awal perlumbaan sehingga ia memberi kesan kepada tiga perlumbaan seterusnya. Sekalipun menduduki tempat keempat dalam ketiga-tiga perlumbaan lalu, saya belum berpuas hati.

“Ini kerana saya yakin mampu mengejar keputusan lebih baik sekalipun saya akui, jentera pasukan kami belum mencapai tahap optimum dan masih di belakang jentera pelumba Shell Advance Maju dan Petronas Sprinta Raceline,” kata Idzlianizar yang menduduki tempat kelapan dalam perlumbaan di Kuching tahun lalu.

Senada dengan Azlan Shah dan Md Zamri, Idzlianizar berkata, peluang mereka untuk memintas tiga calon juara di atas masih belum terlambat dan berharap Litar Stadium Negeri Petrajaya menjadi saksi detik kebangkitan mereka.

Kedudukan Kelas Expert (selepas Pusingan 5)

1 Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Maju) 102 mata
2 Ahmad Fazrul Sham (Shell Advance Maju) 71
3 Iskandar Raduan (Petronas Sprinta Raceline) 60
4 Azlan Shah Kamaruzaman (Petronas Sprinta Ah Hong) 55
5 Md Zamri Baba (Petronas Sprinta Ah Hong) 50
6 Elly Idzlianizar Ilias (Petronas Sprinta Ah Hong) 39
7 Md Faiz Nawawi (Shell Advance Maju) 38
8 Md Affendi Rosli (Suzuki Harian Metro SCK) 35
9 Md Edzuan Ab Ghani (Motul KMC YY Pang) 33
10 Sharil Salleh (Suzuki Top-N Racing) 30

FAKTA: PETRONAS Sprinta Ah Hong Yamaha

Tahun Ditubuhkan: 1989
Pengurus Pasukan: Kenny Chua
Pencapaian Pasukan

2002
Juara Yamaha 125Z Kejuaraan Cub Prix Malaysia (Mior Aripin)
Juara Underbone 125cc Asia-FIM (Md Hisham Ngadin)

2003
Juara Underbone 125cc Asia-FIM (Md Hisham Ngadin)
Juara Kelas Wira Kejuaraan Cub Prix Malaysia (Md Firdaus Manan)
Juara Yamaha 125Z Kejuaraan Cub Prix Malaysia (Safrizan Buang)

2004
Juara Kelas Wira epg Kejuaraan Cub Prix Malaysia (Md Zamri Baba)

2006
Juara Kelas Novis Kejuaraan Cub Prix Malaysia (Md Zamri Baba)

Barisan Pelumba Expert 2008
Md Zamri Baba (8)
Azlan Shah Kamaruzaman (18)
Elly Idzlianizar Ilias (16)

DATA: Azlan Shah Kamaruzaman
Umur: 24 Tahun
Mula Berlumba: 2003
Pencapaian
2003 - Kelapan keseluruhan Kelas Wira epg
- Ke-19 keseluruhan Kelas Underbone 115cc Asia-FIM
2004 - Keempat keseluruhan Kelas Wira epg
2006 - Kedua keseluruhan Kelas Novis
2007 - Keempat keseluruhan Kelas Expert
- Ketujuh keseluruhan Kelas Supersports 600cc Asia-FIM

DATA: Md Zamri Baba
Umur: 25 Tahun
Mula Berlumba: 2003
Pencapaian
2003 - Kelima keseluruhan Kelas Yamaha 125Z
- Ke-13 keseluruhan Kelas Wira epg
- Ke-16 keseluruhan Kelas Novis
2004 - Juara Kelas Wira epg
- Ke-22 keseluruhan Kelas Novis
- Kelima keseluruhan Kelas Underbone 115cc Asia-FIM
2005 - Ke-11 keseluruhan Kelas Novis
2006 - Juara Kelas Novis
2007 - Kelapan keseluruhan Kelas Expert
- Keenam keseluruhan Kelas Supersports 600cc Asia-FIM

DATA: Elly Idzlianizar Ilias
Umur: 24 Tahun
Mula Berlumba: 2003
Pencapaian
2003 - Ke-17 keseluruhan Kelas Wira epg
2004 - Kelima keseluruhan Kelas Wira epg
- Kedua keseluruhan Kelas Yamaha Nouvo
- Ke-17 keseluruhan Kelas Underbone 125cc
2005 - Ke-31 keseluruhan Kelas Wira epg
2006 - Juara Kelas Yamaha LC135
- Keempat Keseluruhan Kelas Novis
2007 - Ke-10 keseluruhan Kelas Expert
- Keenam keseluruhan Kelas Underbone 115cc Asia-FIM


Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768