Peluang emas cerah

Oleh Wartawan epg


Chef de Mission, Datuk Ho Koh Chye


Chef de mission anggap kontinjen Beijing 2008 paling lengkap, bersedia

Mukadimah

Kontinjen Malaysia seramai 33 atlit akan berangkat ke Sukan Olimpik Beijing 2008 dengan harapan besar untuk menamatkan penantian emas Malaysia.

Sejak beberapa tahun, persiapan dan latihan dijalankan serta banyak kejohanan berbentuk pendedahan disertai atlit negara untuk mengejar tiket kelayakan ke temasya empat tahun sekali itu.

Ikuti wawancara epg dengan Chef de Mission, Datuk Ho Koh Chye mengenai tahap persediaan atlit serta peluang memenangi pingat emas yang amat dinanti-nantikan itu.

epg: Pada pendapat Datuk, bagaimanakah persiapan yang dilakukan oleh atlit kita setakat ini dan adakah ia mencukupi untuk menghadapi temasya paling berprestij yang lebih tinggi mutunya berbanding Sukan Sea, Sukan Komanwel, Sukan Asia atau kejohanan dunia?

Datuk Ho Koh Chye (HKC):
Latihan yang dilakukan ke arah sesuatu kejohanan atau temasya adalah satu proses yang panjang dan berkesinambungan. Latihan untuk Olimpik misalnya, mungkin mengambil masa sehingga lapan dan 10 tahun, bergantung kepada acara tertentu.

Kejohanan yang diadakan sebelum itu dijadikan kayu pengukur untuk menilai kemajuan dan prestasi atlit.

Bagi atlit Malaysia, ia mungkin bermula di temasya Sukan Sea, kemudian ke Sukan Asia atau Sukan Komanwel, barulah untuk Olimpik. Jika ada kemajuan dalam latihan dan kejohanan yang disertai, pasti atlit berkenaan akan layak.

Seterusnya, menjadi tanggungjawab mereka pula untuk meneruskan latihan bagi menghadapi temasya yang lebih tinggi dan besar. Saya melihat dan berdasarkan laporan yang diberikan persatuan sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), saya berpuas hati dengan tahap peningkatan mereka.

Kini yang lebih penting ialah kepercayaan kepada kemampuan diri sendiri untuk melakukan yang terbaik di temasya itu.

epg: Adakah anda lihat MSN, ISN, pengurus, jurulatih, pakar motivasi, psikologi sudah melaksanakan tugas mereka dengan baik?

HKC:
Sudah tentu, jika tidak pasti atlit tidak layak melepasi had kelayakan untuk bertanding di temasya itu. Berdasarkan latihan yang dijalankan dan peningkatan prestasi atlit dalam pertandingan di seluruh dunia, kita lihat memang ada peningkatan.

Saya memberi contoh badminton di mana Lee Chong Wei kini berkedudukan tangga kedua dalam ranking dunia manakala dua beregu kita pula mengisi tangga keempat dan kelima. Ini adalah hasil latihan berterusan dan pungutan mata dalam kejohanan yang disertai.

Atlit memanah kita juga meningkat kerana kini Malaysia berkedudukan tangga keempat dalam acara recurve dan trio pemanah kita juga mengejutkan banyak negara handalan lain.

Dalam berbasikal trek, Azizulhasni Awang pernah mengalahkan pelumba bertaraf dunia Australia.


MELUANGKAN masa bertemu pemain badminton
negara yang menjalani latihan
menjelang Olimpik.


epg: Bermakna atlit kita sudah dilengkapkan dengan segala-galanya?

HKC:
Ya, mereka sudah bersedia tetapi sama ada mereka dapat mencapai prestasi yang lebih baik di Beijing, ia akan bergantung kepada beberapa faktor lain seperti latihan, pemakanan dan pendedahan. Ini adalah faktor yang boleh dikawal.

Tetapi harus diingat, ada juga faktor di luar kawalan seperti kecederaan, cuaca dan nasib iaitu sama ada kita bernasib baik mendapat undian yang selesa atau sebaliknya.

epg: Ketika ini, sejumlah 33 atlit Malaysia sudah melepasi had kelayakan dan akan bertanding di Beijing 2008. Pada pendapat anda, adakah jumlah ini memadai bagi sebuah negara moden dan sudah ‘established’ dalam sukan bertaraf dunia seperti Malaysia?

HKC:
Bagi saya, jumlah 33 atlit dalam 10 acara ini memadai dan yang membanggakan ialah kesemua mereka layak ke Beijing secara merit. Sebagai perbandingan, ia juga adalah satu peningkatan kerana berbanding 26 atlit yang dihantar ketika temasya Athens 2004, empat daripadanya adalah penyertaan menerusi ‘wildcard’, bermakna hanya 22 saja yang benar-benar layak secara merit.

Kali ini juga, ada pertambahan jumlah atlit dalam enam acara. Sebagai contoh, kalau kita menghantar empat perenang pada Athens 2004, kini kita menghantar lima perenang ke Beijing. Begitu juga acara terjun, berbasikal, memanah, olahraga dan taekwondo.

Angkat berat, badminton dan pelayaran masih mengekalkan jumlah atlit yang sama. Dalam acara menembak pula, dulu kita menghantar dua penembak atas tiket wildcard tetapi kali ini, seorang penembak kita layak secara merit.

Cuma mungkin kita agak terkilan kerana kita tiada lagi wakil dalam gimnastik lelaki.

epg: Tetapi beberapa sukan tradisi kita seperti hoki terus gagal layak ke Olimpik? Apakah isyarat atau petandanya?

HKC:
Ya, ini perkembangan yang mendukacitakan ramai pihak kerana hoki adalah antara permainan yang popular di negara ini dan suatu ketika dulu, Malaysia secara konsisten dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Sebagai bekas pemain hoki kebangsaan, saya secara peribadi turut berasa kecewa. Sama ada hoki kita mengalami kemerosotan atau tidak, ia harus dilihat dari pelbagai sudut, daripada latihan, program pembangunan dan sebagainya.

Tetapi saya tidak menganggap sukan kita mengalami kemerosotan kerana dalam beberapa acara tertentu seperti skuasy, bowling, lawn bowl, badminton dan memanah, kita menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan bergelar jaguh dunia. Ini adalah sesuatu yang membanggakan.

Saya ingin memberi contoh, adalah Amerika Syarikat bergelar jaguh dunia. Mungkin dalam acara olahraga dan renang saja tetapi mereka turut berdepan banyak tentangan sengit daripada negara lain.

epg: Jadi apa pendekatan terbaik yang harus kita ambil?


KOH CHYE (kanan) memberi kata perangsang kepada
atlit renang dan terjun.


HKC:
Mungkin ada baiknya, kita mengatur strategi dengan memberi fokus untuk memenangi pingat dan memberi tumpuan kepada sukan individu dan sukan kategori (mengikut berat badan).

Inilah yang dilakukan Thailand. Ini jugalah yang dilakukan China di Athens apabila memberi tumpuan terhadap acara terjun, menembak, angkat berat, badminton, ping pong.

epg: Pada pandangan anda, di manakah status Malaysia sebagai negara sukan di kalangan negara Asia lain ketika ini?

HKC:
Yang pasti, kita sudah menunjukkan peningkatan dan kita tidaklah tercicir terlalu jauh di belakang negara Asia lain. Cuma seperti yang saya katakan tadi, mungkin kita boleh mengambil pendekatan baru dengan mengalihkan tumpuan kepada acara individu, kategori dan sukan yang menawarkan banyak pingat.

epg: Malaysia masih tertunggu-tunggu pingat emas pertama? Adakah anda percaya ia akan menjadi kenyataan pada temasya Beijing 2008?

HKC:
Berdasarkan kepada prestasi semasa, kita boleh membuat ramalan berdasarkan kepada ranking atlit kita di dunia. Kalau mengikut proses ini, mungkin kita ada peluang menerusi Chong Wei atau dua beregu, Chong Tan Fook-Lee Wan Wah atau Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Tidak mustahil juga menerusi trio memanah recurve atau Azizulhasni dalam berbasikal.

Yang pastinya, atlit kita bukan lagi sekadar pergi ke Olimpik untuk mengambil bahagian, kini mereka pergi untuk bersaing dan merebut pingat emas. Sudah tentulah, saingannya nanti begitu sengit.

epg: Sebagai bekas atlit (hoki) dan pegawai sukan, apakah nasihat yang boleh anda berikan kepada atlit kita ke Beijing?

HKC:
Saya berharap atlit kita ke Beijing akan bersemangat kental dan penuh yakin dalam perjuangan mereka untuk mencapai cita-cita masing-masing.

Mereka adalah duta negara yang menjadi contoh kepada kecemerlangan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Yang penting, mereka harus ada keyakinan diri ketika melangkah ke dalam gelanggang.

epg: Terima kasih Datuk.

HKC:
Sama-sama.

DATA: Datuk Ho Koh Chye
Tarikh Lahir: 5 November 1942
Asal: Seremban, Negeri Sembilan
Status: Berkahwin

Pencapaian karier:

Bekas pemain hoki kebangsaan - Sukan Asia 1962 Jakarta
- Sukan Olimpik 1964 Tokyo
- Sukan Asia 1966 Bangkok
- Sukan Asia 1968 Mexico City

Jawatan disandang:
- Pengarah Persediaan Atlit Antarabangsa MSN (1980-1993)
- Pengarah Eksekutif SportExcel (1993-1995)
- Pakar Perunding Sukan Negeri Johor (1995-1997)
- Panel Penasihat Sukan, Kementerian Pendidikan (2006-2008)


Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768