Hajat besar Krumm di Sepang



KRUMM sempat hiburkan peminat ketika pertunjukan
demonstrasi jalanan minggu lalu.

Kemenangan pada 2000, 2004 jadi pencetus semangat pecah kebuntuan kali ini

MUKADIMAH


PERLUMBAAN Super GT kembali lagi ke bumi Malaysia hujung minggu ini dengan Litar Antarabangsa Sepang menjadi pentas mencetuskan minat mendalam terutama buat peminat sukan bermotor tempatan.

Bermula sebagai perlumbaan pertunjukan pada 2000 dan 2001, kini perlumbaan Super GT yang dulu dikenali sebagai Kejohanan Grand Touring Jepun (Japan GT) sudah mendapat tempat di kalangan peminat tempatan sejak ia secara rasmi dicetak dalam kalendar perlumbaan pada musim 2002.

Ia adalah kali pertama dalam sejarah satu pusingan siri perlumbaan itu dipertandingkan di luar Jepun, dengan Malaysia menjadi destinasi pilihan.

Ikuti temubual epg dengan pelumba Jerman, Michael Krumm dari pasukan Nismo Xanavi yang mengintai peluang untuk menjuarai perlumbaan buat kali ketiga selepas 2000 dan 2004.

epg: Apakah anda berpuas hati dengan kedudukan anda dalam carta kejuaraan setakat ini?

Michael Krumm (MK):
Oh, sudah tentu tidak. Kami (dia berganding dengan pemandu Jepun, Masataka Yanagida) tidak bermula dengan baik dan kini hanya berada di posisi keenam dengan 18 mata.

Selepas muncul naib juara pada perlumbaan pembukaan di Suzuka, kami mengalami kemalangan pada pusingan kedua di Litar Antarabangsa Okayama dan gagal meraih sebarang mata pada pusingan ketiga di Fuji Speedway bulan lalu.

epg: Jadi, pastinya anda mahu menjadikan Sepang titik permulaan kebangkitan pasukan anda untuk mengejar kejuaraan yang pernah anda kecapi sebelum ini?

MK:
Benar. Memang saya amat menantikan perlumbaan di Sepang hujung minggu ini dan juga mengharapkan perubahan nasib bagi baki perlumbaan musim ini. Kami akan bermati-matian untuk mencatat kemenangan dan saya merasakan peluang 70 peratus kami mampu melakukannya.


KRUMM menandatangani poster dalam sesi bertemu peminat.

Namun, saya perlu memperbaiki persembahan sendiri, dengan peluang ada di depan mata hujung minggu ini. Kali ini kami harus meraih mata yang banyak jika kami masih mahu kekal berada dalam kelompok pemburu kejuaraan. Jadi kami mensasarkan tiga posisi teratas.

epg: Difahamkan anda amat meminati litar Sepang berbanding beberapa litar Super GT di Jepun?

MK:
Tepat sekali. Secara umumnya, litar Sepang lebih memihak kepada jentera Honda NSX, jadi mereka pastinya kuat. Bagaimanapun, adalah amat sukar untuk meramalkan siapa yang boleh menang kerana perlumbaan Super GT tahun-tahun kebelakangan ini amat sengit.

Secara peribadi, saya memang sukakan Litar Sepang kerana kombinasi selekoh pantas dan perlahan serta litarnya yang lebar memberikan peluang untuk mencuba garisan perlumbaan berbeza.

epg: Apakah memori terbaik anda di Litar Sepang?

MK:
Ketika saya muncul juara perlumbaan sulung di sana pada 2000 dan satu lagi kemenangan pada 2004. Kami juga mengalami beberapa insiden kemalangan dan masalah teknikal yang merencatkan usaha untuk mencatat kejayaan yang lebih.

epg: Cuaca di Malaysia tidak begitu menentu sekarang. Apakah anda harapkan hujan hujung minggu ini?

MK:
Oh, tidak. Saya lebih sukakan perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca panas, terlalu panas dan terlalu kering, saya sukakan panas dan kering.

Sebelum datang ke sini, cuaca di Jepun amat sejuk jadi sukar buat saya untuk berlatih kerap di luar. Saya menghabiskan banyak masa di dalam dan bermain Playstation dengan menggunakan jentera Ferrari di litar Suzuka. Permainan Playstation sekarang amat bagus seperti sebenar dan ia memberikan imej latihan terbaik sebelum perlumbaan. Sayangnya Litar Sepang belum ada dalam perisian lagi.

epg: Anda tidak bercadang untuk mengembangkan karier perlumbaan ke tahap yang lebih tinggi?

MK:
Belum lagi buat masa ini. Saya terlalu seronok berlumba di Jepun dan saya harap dapat meneruskan karier ini buat beberapa tahun lagi. Ia memang menarik dan mengasyikkan.

epg: Terima kasih Michael dan selamat berjaya.

MK:
Saya memang tidak sabar turun beraksi di Sepang. Jumpa di sana. Saya harap ramai peminat tempatan hadir membanjiri litar menyaksikan perlumbaan sengit jentera-jentera terutama dari Jepun.

DATA

MICHAEL KRUMM

TARIKH LAHIR: 19 Mac 1970
TEMPAt LAHIR: Reutlinger, Jerman
TINGGI: 1.83 meter
BERAT: 70 kg
PROFESION: Pelumba kereta
BAHASA PERTUTURAN: Jerman, Inggeris, Jepun, Perancis
WARGANEGARA: Jerman, Sweden
KEDIAMAN: Monte Carlo
KARIER BERLUMBA:
- 1988 - Formula Ford 1600 Jerman (penampilan sulung)
- 1989 - Juara siri Formula Ford Jerman
- 1990 - Juara siri Formula Opel Lotus
- 1993 - Keempat siri F3 Jerman
- 1994 - Juara siri F3 All Japan
- 1997 - Juara Siri JGTC
- 1998 - Kelima perlumbaan 24 jam Le Mans
- 2000 - Kelapan JGTC (menang di Sepang)
- Naib juara siri Formula Nippon
- 2001 - Kelima Siri JGTC
- 2002 - Ketiga perlumbaan 24 jam Le Mans
- 2003 - Juara Siri JGTC
- 2004 - JGTC (menang di Tokachi)
- 2005 - Kelima Siri Super GT (juara berpasukan)
- 2006 - Keempat Siri Super GT
- 2007 - Naib juara Siri Super GT


AKSI perlumbaan Super GT di Litar
Sepang dua tahun lalu.


Honda, Nissan tumpuan utama

DARIPADA cuaca sejuk dan dingin dalam tiga pusingan pertama, Siri Antarabangsa Super GT kembali menemui peminatnya bagi perlumbaan tahunan tropika di tengah-tengah litar yang panas dan membara di Litar Sepang minggu ini dengan pemandu dan pasukan bertanding mempersiapkan diri mereka berdepan perlumbaan paling sukar sepanjang musim.

Ketika pencabarnya masih berada jauh di kampung halaman, juara dua kali di Sepang, Michael Krumm dari Team Nismo sudah berada di Malaysia, membantu bagi acara promosi dan kelihatan tidak sabar untuk menghadapi perlumbaan sebenar bagi mengembalikan semula impiannya bergelar juara.

Dia menamakan pemandu Honda sebagai pilihan bagi perlumbaan di Sepang Ahad ini, namun juara keseluruhan Japan GT (JGCT) dua kali itu pantas menyatakan peluang terbuka buat semua pemandu termasuk dia dan pasangannya Masataka Yanagida untuk memenangi perlumbaan dengan menggunakan jentera Xanavi Nismo Nissan GT-R.

Sepang adalah pusingan keempat daripada keseluruhan sembilan perlumbaan dalam siri itu.

Selepas tiga pusingan, rakan sepasukan Krum dan Yanagida - gandingan Satoshi Motoyama dan Benoit Treluyer dengan kereta bernombor 23 dari Team Xanavi Nismo GT-R mendahului kejuaraan GT500 hasil dua kemenangan berturut-turut dalam dua perlumbaan pertama.


PERLUMBAAN tahun lalu dimenangi pasukan Woodone Advan.

Sekalipun gagal mengutip sebarang mata daripada perlumbaan 500km di Fuji Speedway pada pusingan ketiga, mereka kekal dengan 46 mata, mengungguli dengan kelebihan 11 mata ke atas Yuji Tachikawa dan Richard Lyons - pemenang di Fuji Speedway.

Sebagai pemenang pada pusingan terdahulu, Tachikawa dan Lyons terpaksa membawa bebanan yang lebih dengan kereta lebih berat di Sepang, sekali gus menghadirkan cabaran getir pada pusingan keempat.

Bagaimanapun, Motoyama dan Treluyer membuktikan pada pusingan kedua bahawa kemenangan berturut-turut boleh dicapai sekalipun membawa bebanan yang lebih.

Dalam kelas GT300, gandingan Morio Nitta dan Shinichi Takagi dari Team Autobacs Racing Aguri mendahului kejuaraan dengan 35 mata, tiga mata di depan pemandu Team Cars Tokai Dream28 - Kazuho Takahashi dan Hiroki Katoh.

Sekalipun Krumm menamakan Honda sebagai pilihan di Sepang, jentera Nissan yang memenangi perlumbaan GT500 di Sepang tahun lalu menerusi pasangan Joao Paulo Lima de Oliveira dan Seiji Ara dari Woodone Advan Clarion Z Racing dengan jentera Nissan Fairlady Z. Kelas GT300 class dimenangi Kazuya Oshima dan Hiroaki Ishiura dengan jentera Toyota MRS.

Persoalannya, adakah Krumm benar-benar ikhlas menamakan Honda sebagai pilihan di Sepang hujung minggu ini? Sama-samalah kita tunggu dan lihat keputusannya nanti.

FAKTA

NAMA KEJOHANAN: Autobacs Siri Antarabangsa Super GT Malaysia 2008

TARIKH: 20 hingga 22 Jun, 2008

LITAR: Litar Antarabangsa Sepang

PANJANG LITAR: 5.542 km



PENGIKTIRAFAN RASMI: Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA)

Persatuan Automobil Malaysia (AAM)

PERLUMBAAN SOKONGAN:

- Formula V6 Asia

- Cabaran Formula Renault Asia

- Cabaran Supercar Asia

- Piala Aston Martin


KRUMM ramal Honda sebagai pilihan.



JADUAL PERLUMBAAN:



Jumaat, 20 Jun

0840-0910 Sesi Latihan 1 Cabaran Formula Renault Asia

0920-0950 Sesi Latihan 1 Formula V6 Asia

1000-1030 Sesi Latihan 1 Cabaran Supercar Asia

1040-1110 Sesi Latihan 1 Piala Aston Martin Cup

1130-1300 Latihan Bebas 1 Super GT

1310-1340 Sesi Latihan 2 Cabaran Formula Renault Asia

1345-1415 Sesi Latihan 2 Piala Aston Martin

1420-1450 Sesi Latihan 2 Cabaran Supercar Asia

1455-1525 Sesi Latihan 2 Formula V6 Asia

1530-1600 Kelayakan Cabaran Supercar Asia

1615-1800 Latihan Bebas 2 Super GT



Sabtu, 21 Jun

0800-0830 Kelayakan Formula V6 Asia

0840-0910 Kelayakan Piala Aston Martin

0920-0950 Kelayakan Cabaran Formula Renault Asia

1000-1040 Perlumbaan 1 Cabaran Supercar Asia (10 pusingan)

1100-1200 Kelayakan 1 Super GT

1210-1250 Perlumbaan 1 Piala Aston Martin (12 pusingan)

1400-1440 Perlumbaan 1 Formula V6 Asia (12 pusingan)

1450-1530 Perlumbaan 1 Cabaran Formula Renault Asia (10 pusingan)

1600-1745 Kelayakan 2 Super GT



Ahad, 22 Jun

0950-1030 Perlumbaan 2 Cabaran Formula Renault Asia (10 pusingan)

1100-1130 Super GT Warm Up

1155-1235 Perlumbaan 2 Cabaran Supercar Asia (10 pusingan)

1325-1405 Perlumbaan 2 Piala Aston Martin (10 pusingan)

1415-1500 Perlumbaan 2 Formula V6 Asia (20 pusingan)

1600 Perlumbaan Super GT (54 pusingan)


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768