Saingan Itali, Perancis, Jerman



Skuad Donadoni mahu samai pencapaian Perancis pada 2000

ITALI, Perancis dan Jerman akan tampil pada Euro 2008 dengan penuh keazaman bagi memastikan tiada ulangan kepada cerita dongeng Greece yang merangkul trofi itu empat tahun lalu.

Dua tahun selepas Itali mengalahkan Perancis pada final Piala Dunia 2006 dengan Jerman menjadi tuan rumah, tiga negara terbaik Eropah itu menjangkakan untuk kembali bersaing seperti biasa pada kejohanan yang dianjurkan bersama Switzerland dan Austria.

Dengan England dan penyokong mereka yang kurang popular itu tidak akan hadir pada kejohanan dari 7-29 Jun ini, negara lain yang memang memiliki harapan cerah mencipta kejuaraan adalah Sepanyol dan Portugal.

Bersama impian, calon utama berdepan undian berbeza.

Apa yang mahu dielakkan adalah Kumpulan C dan pastinya simpati buat Romania yang sedang meningkat naik. Mereka kembali pada kejohanan utama selepas empat kali mencuba - hanya mendapati diri mereka dikelilingi Itali, Perancis dan Belanda.

Kini di bawah kendalian Roberto Donadoni, Itali kelihatan mampu menyamai pencapaian Perancis lapan tahun lalu dengan menambah koleksi kejuaraan Eropah selepas kejuaraan dunia yang dikuasai dua tahun sebelumnya.

Hakikat betapa Itali sekadar muncul naib juara selepas tunduk di tangan Perancis pada Euro 2000, disingkirkan menerusi gol emas David Trezeguet pada masa tambahan, pasti menambah keghairahan itu.

Tanpa sebarang laporan berat sebelah sejak akhir-akhir ini, di samping petanda awal berbaik-baik dengan media kebangsaan, Itali memang akan menagih peluang mereka.

Keberkesanan barisan serangan yang dikemudi Luca Toni, penjaring gol terbanyak Bundesliga sekali gus membantu kejuaraan Bayern Munich awal bulan ini, kehebatan pemain tengah Andrea Pirlo dan kekebalan penjaga gol Gianluigi Buffon mampu menjadikan mereka pasukan disegani.

Perancis bergelut pada pusingan kelayakan, terutamanya apabila kalah kepada Scotland di gelanggang sendiri dan lawan, dan juga akan tampil tanpa perancang utama, Zinedine Zidane buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad.

Namun, masih belum ada kekurangan daripada segi kualiti dalam skuad itu yang memiliki pemain sayap Franck Ribery, yang menyerlah pada Piala Dunia 2006 dan seorang lagi pencetus utama kejayaan Bayern.

Karim Benzema, bintang meningkat naik berusia 20 tahun, akan hadir pada kejohanan utama pertama buatnya, manakala pemain veteran, Thierry Henry pastinya mahu melupakan musim pertama penuh ranjau di Barcelona dengan aksi cemerlang di Austria-Switzerland.


Jerman, pencabar utama dalam apa juga kejohanan, adalah negara pertama melayakkan diri ke pusingan akhir dengan kempen penuh gemilang di bawah pengganti Juergen Klinsmann, Joachim Loew.

Selepas musim pertama yang kurang menarik di Chelsea, ketua pasukan Jerman, Michael Ballack menamatkan kempen terbaru dengan cemerlang, mempamerkan kepimpinan sebenar di bahagian tengah dan pencarian gol yang menjadikannya berjaya di Bayern Munich.

Bagaimanapun, dia mungkin tidak perlu begitu bersusah-payah untuk layak ke suku akhir daripada Kumpulan B.

Austria hanya menang sekali dalam 14 perlawanan persahabatan terakhir mereka, Croatia terlepas aksi pemain yang cedera Eduardo Da Silva, penyerang yang menjaringkan 10 gol pada pusingan kelayakan, dan Jerman hanya perlu mengawal Euzebiusz Smolarek, dengan sembilan gol dalam 10 perlawanan kelayakan, untuk menyekat Poland.

Portugal dengan kehadiran Cristiano Ronaldo seharusnya turut ke suku akhir daripada Kumpulan A dengan sama ada Republik Czech atau Turki satu lagi calon. Switzerland, yang kalah kesemua empat perlawanan persahabatan mereka kecuali yang terakhir, mungkin sukar untuk mencapai tahap itu.

Pakej kejutan dalam kejohanan ini mungkin mampu muncul daripada Kumpulan D yang termasuk juara bertahan Greece, Sepanyol dan Sweden.

Zenit St Petersburg memenangi Piala UEFA dengan bergaya dan mereka membekalkan ramai pemain ke dalam pasukan kebangsaan yang menyingkirkan England satu tempat ke Euro 2008. Jadi hati-hati dengan Russia.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768