Jerman, Croatia jadi pilihan



Tuan rumah bersama Austria, Poland yakin buat kejutan dalam Kumpulan B

SEJAK tewas di pentas separuh akhir Piala Dunia di halaman sendiri dua tahun lalu, tumpuan Jerman terus terarah ke Euro 2008 sebagai medan menebus kehampaan.

Jurulatih Joachim Loew yang menggantikan Jurgen Klinsmann, mula membina teras di dalam skuad kebangsaannya daripada sekumpulan 15 pemain berpengalaman di Piala Dunia dan membuat persiapan lebih awal untuk mengejar kejuaraan kali keempat di pentas benua Eropah itu.

Diundi dalam Kumpulan B yang turut membabitkan satu lagi calon ke suku akhir, Croatia, bersama-sama penganjur Austria dan Poland, Loew mengakui, ketegangan mula menebal di dalam dirinya tetapi dia tidak sabar untuk berdepan cabaran apabila tirai saingan kumpulan bermula.

“Ketegangan mula terasa tetapi saya tidak sabar menunggunya. Kami sudah bersedia. Sudah tiba masanya kejohanan ini dimulakan,” kata Loew.

Loew mempunyai penjaga gol veteran, Jens Lehmann dan pemain tengah Michael Ballack serta dua pemain Torsten Frings dan bek tengah Christoph Metzelder yang baru pulih daripada kecederaan.

Di kem Croatia, jurulatih Slaven Bilic yang meratapi kehilangan Eduardo Da Silva, masih mempunyai barisan penuh berbakat seperti Luka Modric, Niko Kranjcar, Ivica Olic dan Ivan Rakitic dalam skuad yang hanya menyenaraikan enam pertahanan.

Kemenangan terbaru dalam siri pemanas badan ke atas Moldova memberi peluang buat Bilic merombak semula kepada strategi kegemarannya - menyerang - dan mereka dijangka membuat impak besar apabila turun berdepan tuan rumah Austria di Stadium Ernst-Happel di Vienna pada 8 Jun.

Begitupun, tanpa kemenangan antarabangsa membanggakan, Austria - pasukan yang menduduki senarai ranking 101 dan terbawah daripada 16 pasukan yang beraksi di Euro 2008 - dijangka sukar menggunakan kelebihan selaku tuan rumah sekalipun jurulatih Josef Hickersberger memasang matlamat ke suku akhir.

Pertahanan tengah Martin Hiden dan penyerang Ivica Vastic adalah pemain veteran daripada skuad Piala Dunia 1998 di Perancis yang akan memperkuatkan barisan itu tetapi kunci kemenangan pastinya terletak di kaki perancang, Andreas Ivanschitz.

Kepulangan semula penjaga gol Juergen Macho yang beraksi bersama-sama AEK Athens turut menghangatkan persaingan merebut posisi dengan Helge Payer (Rapid Vienna) dan Alexander Manninger (Siena).

Minggu lalu, Austria mengadakan perlawanan tidak rasmi secara tertutup dengan Cuba dan berhasil mencipta kemenangan 4-1 dalam perlawanan tiga tempoh masa, tetapi lebih penting Hickersberger berpeluang mengawasi tahap fokus anak buahnya.

“Kami bermain selama 105 minit dan ia adalah ujian yang bagus untuk kami. Pemain kekal fokus sepanjang permainan dan saya dapat menggunakan semua pemain yang cergas. Kami mencipta banyak peluang dan menjaringkan empat gol, itu cukup penting,” katanya.

Begitupun, Austria tidak dapat lari daripada fakta bahawa skuad kebangsaan negara itu gagal mencipta sebarang kemenangan dalam sembilan perlawanan antarabangsanya sepanjang 2007, sehingga mencetuskan cemuhan dan sindiran penyokong sendiri.

Poland pula yang tampil dalam kemunculan kali pertama di pentas benua itu tetapi tanpa pencapaian membanggakan sejak kebelakangan ini, hadir dengan bekalan status semifinalis Piala Dunia 1974 dan 1982.

Namun di dalam jurulatih berpengalaman luas dari Belanda, Leo Beenhakker yang pernah mengemudi Ajax menjulang kejuaraan liga dan melatih Feyennrd, Real Madrid serta Trinidad & Tobago dalam kemunculan sulung di Piala Dunia dua tahun lalu, Poland mengundang sedikit rasa hormat daripada tiga lawan Kumpulan B itu.

Membuka tirai saingan menentang Jerman yang tidak pernah dapat ditewaskan dalam 15 pertemuan sebelum ini, Beenhakker yang mempunyai gabungan pemain berpengalaman dan muda, masih mampu berasa positif.

“Bertemu Jerman adalah satu perlawanan sukar untuk mencari keputusan yang baik tetapi saya boleh beri jaminan Jerman akan berdepan saat sukar dengan kami, jadi saya tidak bimbang.

“Kami akan turun dengan fikiran terbuka dan berusaha segala-galanya untuk mendapat keputusan yang positif, tanpa sebarang kerumitan di kepala kami. Kami akan bermain seperti biasa dengan gaya normal kami - main untuk menang - dan kita lihatlah apa berlaku selepas itu,” katanya.

Saingan di dalam kumpulan mungkin akan berlanjutan di luar padang kerana dengan sejarah hitam lampau di antara Jerman dan Poland serta kecenderungan berbentuk perkauman penyokong Croatia, setiap perlawanan dalam Kumpulan B mempunyai daya tarikan tersendiri.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768