'Kumpulan Maut' pasti menggegar



Itali, Perancis, Belanda tidak boleh pandang rendah keupayaan Romania

SEPERTI kebiasaan dalam undian kejohanan utama, akan ada beberapa pasukan kuat disatukan dalam satu kumpulan yang sering dipanggil sebagai ‘Kumpulan Maut’.

Euro 2008 tiada perbezaan ketika penyandang juara dunia, Itali, naib juara Perancis, Belanda dan Romania, akan bertarung sesama sendiri merebut sekadar dua tempat ke suku akhir.

Bermula dengan pasukan bukan pilihan, dan pasukan Romania bimbingan Victor Piturca hadir di Austria dan Switzerland tanpa sebarang harapan untuk membuat impak melihat kepada lawan mereka pada pusingan pertama, tetapi mereka tetap mampu melakar kejutan.

Diketuai pemain Inter Milan, Cristian Chivu dengan pemain Fiorentina, Adrian Mutu mengemudi serangan selain Dorin Goian di benteng pertahanan, Romania memiliki skuad mantap dengan kebanyakan anggota skuad itu beraksi di liga negara sendiri.

Romania juga menamatkan kempen kelayakan di depan Belanda jadi ia mampu memberikan kelebihan psikologi ke atas satu daripada pencabar mereka dalam Kumpulan C.

Skuad Belanda kendalian Marco van Basten dijangka bertindak baik ketika mereka dilihat mampu menyamai kejayaan pasukan itu di Jerman 20 tahun lalu yang dikemudi jurulatih mereka sekarang dan Ruud Gullit dengan serangan berbisa pada Euro 88.

Dengan penjaga gol veteran, Edwin van der Sar, kini memiliki 122 cap antarabangsa, mengetuai pasukan itu, kepantasan pemain sayap Ryan Babel dari Liverpool dan Arjen Robben (Real Madrid) serta penyerang prolifik seperti Ruud van Nistelrooy, Klaas-Jan Huntelaar dan Robin van Persie (Arsenal), Belanda mampu mengancam setiap kubu lawan.

Juara Euro 2000, Perancis juga mahu menyamai pencapaian itu tahun ini ketika anak buah Raymond Domenech hadir penuh dengan kelebihan psikologi ke atas Itali selepas meraih empat mata daripada skuad Azzurri itu pada pusingan kelayakan.

Ketika penjaring gol terbanyak, Thierry Henry mengepalai serangan di samping Nicolas Anelka dan Djibril Cisse, Perancis memiliki banyak pilihan di bahagian depan.

Pemain penuh helah Franck Ribery mampu mencipta peluang, ketika Perancis mempunyai pengalaman luas pemain tengah Patrick Vieira dan pertahanan Lilian Thuram, yang hampir mengumpul 250 cap di antara mereka.

Itali memenangi pusingan kelayakan yang juga disertai Perancis dan mengalahkan mereka pada final Piala Dunia 2006 dan tidak dapat diragukan faktor itu dapat membantu pada Kejohanan Eropah.

Roberto Donadoni pasti tertekan untuk menambah mahkota kejuaraan Euro 2008 kepada gelaran juara dunia yang diraih di bawah kendalian bekas jurulatih, Marcello Lippi di Jerman dua tahun lalu. Dan beliau diperkuatkan dengan skuad yang sering kelihatan bagus ketika diperlukan.

Majoriti skuad itu memperagakan aksi di Itali dengan 17 daripada 21 pemain skuad yang menentang Sepanyol pada perlawanan persahabatan Mac lalu beraksi dalam Serie A.

Penjaga gol Gianluigi Buffon sekali lagi diperlukan di antara dua tiang gol, manakala ketua pasukan Fabio Cannavaro di pertahanan, pemain tengah Daniele de Rossi dan penyerang Luca Toni membentuk barisan utama Azzurri.

Kumpulan C amat sukar untuk dijangkakan dan ia bergantung kepada Perancis memulakan aksi pembukaan menentang Romania di Zurich. Jika mereka bermula dengan buruk, jangkakan laluan lebih sukar tetapi pasukan Domenech mungkin mampu melepasinya dan menang tipis.

Itali memulakan kempen mereka menentang Belanda dan ia pastinya satu pertembungan menarik dan sengit tetapi jika pasukan Donadoni tidak mampu menang, mereka perlu pastikan tidak kalah dan sekurang-kurangnya meraih satu mata.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768