Greece, Sepanyol ada ramuan juara



Sweden pertaruh kehebatan Ibrahimovic, Russia mampu lakar kejutan

TIGA pasukan yang diundi bersama juara bertahan Greece dalam Kumpulan D tidak sekali-kali akan mengulangi kesilapan lalu apabila memandang ringan terhadap cabaran daripada pasukan yang sebelumnya dianggap kerdil itu.

Greece melakar kejutan terbesar apabila menjuarai kejohanan terbesar benua itu selepas menumbangkan gergasi tuan rumah Portugal dalam kedua-dua pertembungan iaitu dalam perlawanan pembukaan dan juga final kejohanan.

Pada Euro 2008, juara bertahan itu sekali lagi akan berdepan Sepanyol dan Russia dalam satu kumpulan, selain Sweden.

“Saya yakin semua lawan kami sudah meneliti kekuatan dan kelemahan kami,” kata pemain tengah Greece, Giorgos Karagounis. “Bagaimanapun... kami masih mempunyai pasukan yang kuat ketika ini.”

Selain terus mengekalkan jurulatih Otto Rehhagel meskipun pasukan itu gagal layak dalam kempen Piala Dunia 2006, Greece masih mengekalkan khidmat pertahanan, Traianos Dellas sambil Angelos Charisteas mengemudi jentera serangan dan dibantu muka baru Fanis Gekas.

Sepanyol pula yang hanya memenangi gelaran utama antarabangsa di gelanggang sendiri sewaktu Euro 1964, dianggap pasukan pilihan pada kejuaraan di Austria dan Switzerland kali ini, terutama melihatkan cara Fernando Torres menjaringkan gol sewaktu beraksi bersama Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris.


Bagaimanapun, ia belum dapat meyakinkan jurulatih Sepanyol, Luis Aragones bahawa pasukannya menjadi sasaran untuk ditewaskan kali ini.

“Kami bukan pasukan pilihan,” kata Aragones berulang kali. “Tiada siapa yang boleh memperdayakan Sepanyol dengan gelaran itu kerana dalam kejuaraan sebesar ini, kami sering berputih mata.”

Russia pula sejak Soviet Union berpecah, turut kelihatan tidak ke mana dalam kancah persaingan Eropah, namun jurulatihnya yang berasal dari Belanda sudah menunjukkan rekod agak baik dalam saingan besar.

Guus Hiddink, yang bersetuju untuk mengambil alih tugas melatih Russia sebelum dia memimpin Australia ke pusingan kedua Piala Dunia 2006, pernah mengemudi Belanda ke separuh akhir Piala Dunia 1998 dan melatih Korea Selatan untuk menjadi empat pasukan terbaik pada Piala Dunia 2002.

Bagaimanapun, Russia, terpaksa bermain dalam dua perlawanan awalnya tanpa ayam tambatan, Andrei Arshavin apabila bintang Zenit St Petersburg itu terpaksa berada di bangku simpanan untuk dua perlawanan kerana dibuang padang sewaktu perlawanan terakhir Russia menewaskan Andorra 1-0 ketika saingan kelayakan.

“Ia petanda yang tidak baik untuk Russia kerana Arshavin adalah salah seorang pemain paling berbakat di Russia,” kata jurulatih Zenit, Dick Advocaat, yang memimpin pasukannya menjuarai Piala UEFA, awal bulan ini.

Zlatan Ibrahimovic pula akan menjadi tonggak utama Sweden dalam kejuaraan ini meskipun baru sembuh daripada kecederaan lutut kiri apabila kelibatnya bersama Inter Milan dengan dua gol dalam perlawanan terakhir liga Itali membantu pasukan itu muncul juara liga buat musim ketiga berturut-turut.

“Dia menjadi satu fenomena,” kata pemain tengah Inter, Dejan Stankovic ketika diminta mengulas mengenai ‘Ibra Cadabra’.

Meskipun jurulatih Sweden, Lars Lagerback gembira dapat bergantung terhadap bakat Ibrahimovic, beliau tetap menekankan kekuatan dan keseimbangan hasil kerjasama sepasukan.

“Ia bukan cuti sekolah pada hari Ahad. Setiap orang tidak menggemari mereka yang lain dalam kumpulan, ia bukan apa yang saya maksudkan,” kata Lagerback, yang memasuki tahun kelima berturut-turut bersama Sweden dalam kejuaraan utama.

“Akan tetapi ia adalah kerja. Kami hampir tidak punya masalah sebagai satu kumpulan.”

Ibrahimovic akan mendapat peluang pertamanya untuk menyinar dalam kejuaraan tahun ini pada 10 Jun apabila Sweden menentang Greece. Russia dan Sepanyol turut bermain pada hari yang sama.

Pada 14 Jun pula, Sepanyol akan berdepan dengan Sweden manakala Russia - satu-satunya pasukan yang mampu menewaskan Greece pada Euro 2004 - akan berdepan dengan juara bertahan itu. Perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu dijadualkan pada 18 Jun apabila Greece turun menentang Sepanyol dan Russia berdepan Sweden.

Bercanggah dengan penilaian yang dibuat Aragones mengenai pasukannya, pembantu jurulatih Sweden, Roland Anndersson percaya, Sepanyol memiliki segala ramuan dan peluang terbaik untuk layak ke suku akhir daripada kumpulan itu.

“Kemudian kita mempunyai perlawanan yang agak seimbang: Greece - sebuah pasukan yang juga kuat - pasti akan turut berjaya,” kata Andersson.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768