Nasib malang di Jakarta



Malaysia gagal ambil kesempatan layak ke final Piala Thomas

KE mana hilangnya semangat sepasukan jitu yang pernah dipamerkan skuad badminton negara dalam pertandingan Piala Thomas sebelum ini?

Jika pusingan akhir di Jakarta yang berakhir hujung minggu lalu dijadikan ukuran, semangat itu semakin luntur dan kelihatan hampir tiada lagi.

Sebelum ini, pencabar dari negara lain terutamanya seteru utama China, Indonesia, Korea Selatan dan Denmark begitu menghormati dan berhati-hati apabila menentang Malaysia dalam piala berprestij itu kerana mereka sedar akan bahana menanti jika tidak berwaspada.

Namun, kekalahan perit 3-2 di tangan juara bertahan China pada separuh akhir di Istora Senayan minggu lalu begitu pedih untuk diterima.

Hanya tiga pemain mampu diberikan pujian. Perseorangan utama Lee Chong Wei yang memenangi kesemua empat perlawanannya menerusi dua permainan terus dan beregu yang kali pertama merasai aksi Piala Thomas, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari.

Mereka memainkan peranan dengan memastikan mata buat skuad negara tetapi tidak buat ketua pasukan Wong Choong Hann, beregu emas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan perseorangan ketiga, Muhamad Hafiz Hashim.

Di atas kertas, bukan mustahil untuk mengejutkan China kerana Malaysia pernah melakukannya sebelum ini, kali terakhir pada separuh akhir di Guangzhou, enam tahun lalu.

Memang benar skuad kali ini berjaya melepasi sasaran ke separuh akhir (mereka diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan) tetapi ia tidak memadai kerana hakikatnya kita memiliki aset untuk menundukkan lawan.

Mungkin sudah tiba masanya buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di bawah pimpinan presiden, Datuk Nadzmi Salleh, membuat rombakan drastik bagi menghadapi pusingan akhir di Kuala Lumpur dalam tempoh dua tahun lagi.

Pemain seperti Choong Hann sudah tiba di penghujung kariernya (Choong Hann bertindak cemerlang di Guangzhou) begitu juga Hafiz yang makin hari makin merudum prestasinya.

Beregu veteran, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah juga tidak boleh dipertaruhkan lagi pada 2010 nanti ketika jurulatih Rexy Mainaky perlu mempertajamkan lagi sentuhan Kien Keat-Boon Heong yang kelihatan terlalu mudah dibaca lawan.

Perseorangan muda, Arif Latif, sekalipun tidak berpeluang menikmati aksi di Jakarta, seharusnya diberi pendedahan lebih dalam acara individu sebagai persiapan menghadapi pusingan akhir Piala Thomas 2010 begitu juga pemain lain seperti Tan Chun Seang.

BAM perlu lebih berani dalam membuat rombakan (mungkin selepas temasya Sukan Olimpik Beijing 2008 Ogos nanti) kerana jika mengekalkan pemain sedia ada, lawan pasti tidak bimbang dan mahu memilih untuk bertemu Malaysia.


Pemain juga perlu lebih kerap diberi peluang menjalani latihan memperkuatkan mental (latihan mental ada dibuat di Port Dickson sebelum ke Jakarta) kerana bukan mudah untuk menangani masalah ini jika tidak diatasi dengan segera dan secara konsisten.

Badminton sekali lagi dipertaruhkan untuk membawa pulang pingat daripada temasya Olimpik Beijing.

Jika berjaya dilakukan, ia sekurang-kurangnya mampu mengubat luka kekalahan di Jakarta, tetapi jika sebaliknya, ia pasti mengundang persamaan terhadap pencapaian buruk pada 2004, gagal pada suku akhir Piala Thomas dan pulang tanpa sebarang pingat dari Olimpik Athens.

Lantas, BAM, dengan masa tinggal kurang daripada tiga bulan sebelum Olimpik, perlu bangkit memperkemaskan barisan bagi memastikan impian menggunung rakyat Malaysia tidak sekadar impian palsu.

Skuad Piala Uber agak tidak bernasib baik kerana mereka seharusnya mampu layak ke separuh akhir sesudah diletakkan sebagai pilihan keempat.

Namun kekalahan 3-1 di tangan Korea Selatan pada suku akhir menamatkan cabaran pasukan yang diketuai Wong Mew Choo itu.

Mew Choo bertindak cemerlang terutama pada play-off ke suku akhir menentang Jepun dan suku akhir bertemu Korea Selatan dan menang tiga daripada empat perlawanan (hanya kalah sekali di tangan Tine Rasmussen dari Denmark pada peringkat kumpulan).

Bagaimanapun, ketidakseimbangan pasukan itu agak ketara terutama perubahan membabitkan pemain beregu yang menyaksikan Chin Eei Hui dan pasangan biasanya Wong Pei Tty dipisahkan dalam dua perlawanan terakhir.

Sekurang-kurangnya persembahan mereka memberikan petanda positif betapa skuad wanita negara kini mampu mencabar dengan kelompok utama sesudah kejayaan individu Mew Choo menjuarai Terbuka China tahun lalu, mengalahkan semua jaguh China dalam laluan muncul juara.

Segala-galanya mampu dilakukan jika usaha keras dilakukan BAM dari sekarang dengan perancangan rapi berdepan pelbagai kejohanan, sama ada ia kejohanan besar mahupun kejohanan kecil.




1- PASANGAN Zakry Latif - Fairuzizuan Tazari yang bersemangat jitu jadi aset skuad negara.
2- WONG Choong Hann tiada jawapan kepada Bao Chunlai.
3- WONG Mew Choo layak diberi pujian.
4- SOKONGAN peminat sentiasa mengiringi perjuangan pemain.
5- CHINA terlalu unggul buat semua lawan.


KEPUTUSAN PIALA THOMAS

(Hanya membabitkan pasukan Malaysia)


11 Mei
(Kumpulan B)

MALAYSIA 5-0 ENGLAND


Lee Chong Wei mn Andrew Smith 21-17, 21-15
Choong Tan Fook-Lee Wan Wah mn Robert Addock-Robin Middleton 21-19, 21-16
Wong Choong Hann mn Rajiv Ouseph 22-20, 21-16
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mn Christopher Addock-Christopher Langridge 21-12, 21-12
Muhammad Hafiz Hashim mn Ben Beckman 21-15, 21-14

12 Mei
(Kumpulan B)

MALAYSIA 4-1 KOREA SELATAN


Lee Chong Wei mn Shon Seung-mo 21-14, 21-14
Wong Choong Hann mn Hong Ji-hoon 21-14, 21-10
Choong Tan Fook-Lee Wan Wah kk Jung Jae-sung-Lee Jae-jin 22-20, 10-21, 16-21
Muhammad Hafiz Hashim mn Hwang Ji-man 21-5, 21-11
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mn Lee Yong-dae-Hong Ji-hoon 23-21, 21-19

14 Mei
(Suku Akhir)

MALAYSIA 3-0 JEPUN

Lee Chong Wei mn Shoji Sato 21-10, 21-16
Choong Tan Fook-Koo Kien Keat mn Shintaro Ikeda-Shuichi Sakamoto 21-13, 21-11
Wong Choong Hann mn Kenichi Tago 21-13, 21-18

16 Mei
(Separuh Akhir)

MALAYSIA 2-3 CHINA


Lee Chong Wei mn Lin Dan 21-12, 21-14
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kk Cai Yun-Fu Haifeng 16-21, 17-21
Wong Choong Hann kk Bao Chunlai 18-21, 7-21
Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari mn Xie Zhongbo-Guo Zhendong 21-17, 21-15
Muhammad Hafiz Hashim kk Chen Jin 12-21, 16-21

KEPUTUSAN PIALA UBER

11 Mei
(Kumpulan Y)

MALAYSIA 5-0 NEW ZEALAND


Wong Mew Choo mn Rachel Hindley 21-18, 21-6
Lim Pek Siah-Ng Hui Lin mn Donna Cranston-Emma Rodgers 21-7, 21-16
Julia Wong mn Michelle Chan 21-18, 21-7
Chin Eei Hui-Wong Pei Tty mn Rachel Hindley-Renee Flavell 21-13, 21-14
Lydia Cheah mn Jessica Jonggowisastro 21-11, 21-8

12 Mei
(Kumpulan Y)

MALAYSIA 2-3 DENMARK


Wong Mew Choo kk Tine Rasmussen 21-19, 19-21, 14-21
Chin Eei Hui-Wong Pei Tty mn Kamilla Rytter Juhl-Marie Ropke 22-20, 21-16
Julia Wong kk Nanna Brosolat Jensen 21-13, 19-21, 19-21
Lim Pek Siah-Ng Hui Lin kk Christinna Pedersen-Mie Schjott Kristensen 18-21, 18-21
Lydia Cheah mn Camilla Sorensen 21-11, 21-14

13 Mei
(Play-off ke suku akhir)

MALAYSIA 3-0 JEPUN


Wong Mew Choo mn Eriko Hirose 21-17, 21-18
Lim Pek Siah-Wong Pei Tty mn Satoko Suetsuna-Miyuki Maeda 21-15, 21-18
Julia Wong mn Yu Hirayama 21-15, 10-21, 21-19

14 Mei
(Suku Akhir)

MALAYSIA 1-3 KOREA SELATAN


Wong Mew Choo mn Hwang Hye-youn 21-16, 21-5
Lim Pek Siah-Wong Pei Tty kk Lee Hyo-jung-Kim Min-jung 13-21, 4-21
Julia Wong kk Lee Yun-hwa 14-21, 13-21
Chin Eei Hui-Ng Hui Lin kk Lee Kyung-won-Ha Jung-eun 21-17, 16-21, 12-21


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768