Pulihkan kembali maruah negara



Piala Thomas, Sukan Olimpik sama pentingnya buat pemain negara mengejar kegemilangan

EMPAT tahun lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berdepan masalah yang sama seperti tahun ini iaitu sama ada mahu menumpukan kepada pingat emas individu Sukan Olimpik atau memburu kejuaraan berpasukan Piala Thomas.

Pada pusingan akhir Piala Thomas-Uber di Jakarta ketika itu, skuad negara tumbang 3-1 pada peringkat suku akhir di tangan tuan rumah sekali gus meneruskan rentetan kekecewaan sesudah kali terakhir memenangi kejuaraan berprestij itu pada 1992 di Kuala Lumpur.

Beberapa bulan kemudian, skuad badminton negara pulang tangan kosong sambil gagal bertindak cemerlang pada temasya Sukan Olimpik Athens sekali gus menerima kritikan pedas sesudah menghampakan impian rakyat Malaysia.

Kali ini, ceritanya hampir sama dengan gelanggang pusingan akhir Piala Thomas-Uber kembali ke Indonesia tetapi BAM lebih berhati-hati di sebalik hakikat betapa mereka lebih tertekan untuk meraih pingat pada temasya Olimpik.

Hanya selepas ‘campur tangan’ Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob barulah keutamaan terhadap usaha merampas kembali Piala Thomas diperkatakan sesudah menyedari wang rakyat dilaburkan kepada sesuatu yang ‘tidak mahu dimenangi’.

Di atas kertas, usaha Malaysia untuk menamatkan kemarau 16 tahun memang sukar tambahan pula melihatkan kepada aksi longlai barisan pemain negara pada Kejohanan Persekutuan Badminton Asia (ABC) di Johor Bahru bulan lalu.

Lee Chong Wei yang selama ini menjadi harapan dan taruhan BAM juga gagal menyerlah apatah lagi pasangan beregu terumbang-ambing, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang pernah menjadi beregu nombor satu dunia.

Jika dulu, semangat juang sepasukan skuad negara pada pusingan akhir Piala Thomas menghadirkan gerun lawan, kini ia seolah-olah semakin menghilang dan lawan mudah memperkotak-katikkan pasukan negara.

Janganlah hendaknya peristiwa 2004 berulang apabila skuad negara hanya mampu berputih mata gagal melakukan satu impak berkesan pada kejohanan utama - Piala Thomas dan Sukan Olimpik.

Selaku pilihan ketiga kejohanan, Malaysia seharusnya mampu melayakkan diri sekurang-kurangnya ke separuh akhir. Begitu juga skuad Piala Uber yang diletakkan sebagai pilihan keempat.

Apa yang menarik, kita pernah melakukannya beberapa kali dan muncul antara kuasa disegani dalam kempen Piala Thomas. Jadi tidak seharusnya kita perlu menunggu bertahun-tahun lamanya untuk kembali menjadi juara Piala Thomas.

Dengan skuad sedia ada dan prestasi terbaik semasa perlawanan, Malaysia sebenarnya mampu menundukkan mana-mana negara termasuk juara bertahan yang kelihatan begitu utuh, China.

Namun, hakikatnya sudah beberapa kali pemain negara gagal untuk menyerlah pada kejohanan utama sebaliknya muncul juara pada kejohanan-kejohanan individu yang tidak begitu memberikan tekanan.

Kita tunggu dan lihat apa yang mampu dilakukan anak buah Yap Kim Hock dan Misbun Sidek di Jakarta nanti.


SENARAI PILIHAN

Piala Thomas


1 China
2 Indonesia
3 MALAYSIA
4 Denmark
5 Korea Selatan
6 Jepun
7 Kanada
8 Jerman
9 Thailand
10 England
11 New Zealand
12 Nigeria

Piala Uber

1 China
2 Jepun
3 Korea Selatan
4 MALAYSIA
5 Indonesia
6 Jerman
7 Denmark
8 Hong Kong
9 Belanda
10 New Zealand
11 Amerika Syarikat
12 Afrika Selatan

SENARAI KUMPULAN

Piala Thomas


A - China, Kanada, Nigeria
B - MALAYSIA, Korea Selatan, England
C - Denmark, Jepun, New Zealand
D - Indonesia, Jerman, Thailand

Piala Uber

A - China, Jerman, Amerika Syarikat
B - Korea Selatan, Hong Kong, Afrika Selatan
C - MALAYSIA, Denmark, New Zealand
D - Jepun, Indonesia, Belanda

SENARAI PEMAIN

Piala Thomas

CHINA

Lin Dan, Bao Chunlai, Chen Jin, Cai Yun, Fu Haifeng, Xie Zhongbo, Guo Zhendong, He Hanbin, Shen Ye

MALAYSIA
Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim, Mohamad Arif Abdul Latif, Choong Tan Fook, Lee Wan Wah, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Mohd Zakry Abdul Latif, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari

DENMARK
Kenneth Jonassen, Peter Gade, Joachim Persson, Jan O Jorgensen, Jonas Rasmussen, Lars Paaske, Jens Eriksen, Martin Lundgaard Hansen, Carsten Mogensen, Mathias Boe

INDONESIA
Sony Dwi Kuncoro, Taufik Hidayat, Simon Santoso, Tommy Sugiarto, Markis Kido, Hendra Setiawan, Joko Riyadi, Hendra Arpida Gunawan, Candra Wijaya, Nova Widianto

KANADA
Andrew Dabeka, Bobby Milroy, Stephan Wojcikiewicz, David Snider, Mike Beres, William Milroy, Toby Ng, Alvin Lau

KOREA SELATAN
Park Sung-hwan, Lee Hyun-il, Shon Seung-mo, Hong Ji-hoon, Lee Jae-jin, Jung Jae-sung, Hwang Ji-man, Lee Yong-dae

JEPUN
Shoji Sato, Sho Sasaki, Kenichi Tago, Hiroyuki Endo, Keita Masuda, Tadashi Ohtsuka, Shuichi Sakamoto, Shintaro Ikeda, Keishi Kawaguchi, Naoki Kawamae

JERMAN
Marc Zwiebler, Roman Spitko, Dieter Domke, Sven Eric Kastens, Marcel Reuter, Michael Fuchs, Ingo Kindervater, Kristof Hopp, Tim Dettmann, Johannes Schoettler

NIGERIA
Greg Orobosa Okuonghea, Akeem Ogunseye, Ibrahim Adamu, Jimkan Bulus, Olauluwa Faghemi, Paul Faghemi

ENGLAND
Andrew Smith, Rajiv Ouseph, Nathan Rice, Ben Beckman, Dean George, Christopher Adcock, Robert Adcock, Christopher Langridge, Robin Middleton, Andrew Ellis

NEW ZEALAND
John Moddy, Joe Wu, Kevin Dennerly, Craig Cooper, Henry Tam, Nathan Hannam

THAILAND
Boonsak Ponsana, Poompat Sapkulchananart, Tanongsak Saensomboonsuk, Pakkawat Vilailak, Sudket Prapakamol, Nuttaphon Narkthong, Songphon Anugritayawon, Tesana Panvisavasm Nitipong Saengsila

Piala Uber

CHINA

Xie Xingfang, Lu Lan, Zhu Lin, Jiang Yanjiao, Yang Wei, Zhang Jiewen, Wei Yili, Zhang Yawen, Gao Ling, Zhao Tingting

KOREA SELATAN
Jun Jae-youn, Hwang Hye-youn, Lee Yun-hwa, Jang Soo-young, Lee Kyung-won, Lee Hyo-jung, Kim Min-jung, Ha Jung-eun

MALAYSIA
Wong Mew Choo, Julia Wong Pei Xian, Lydia Cheah Li Ya, Tee Jing Yi, Wong Pei Tty, Chin Eei Hui, Lim Pek Siah, Ng Hui Lin, Chong Sook Chin, Woon Khe Wei

JEPUN
Eriko Hirose, Kaori Mori, Yu Hirayama, Kaori Imabeppu, Kumiko Ogura, Reiko Shiota, Satoko Suetsuna, Miyuki Maeda, Tomomi Matsuda, Mami Naito

JERMAN
Xu Huaiwen, Julianne Schenk, Janet Koehler, Carola Bott, Karin Schaase, Nicole Grether, Carina Mette, Birgit Overzier, Michaela Peiffer, Kathrin Piotrowski

HONG KONG
Wang Chen, Yip Pui Yin, Mong Kwan Yi, Ng Ka Shun, Tse Ying Suet, Chan Hung Yung, Fungying, Chan Tsz Ka, Chau Hoi Wah, Koon Wai Chee

DENMARK
Tine Rasmussen, Camuilla Sorensen, Nanna Brosolat Jensen, Mie Schjott Kristensen, Marie Ropke, Lena Frier Kristiansen, Kamilla Rytter Juhl, Helle Nielsen, Christinna Pedersen, Line Kruse

INDONESIA
Maria Kristin, Adriyanti Firdasari, Pia Zebadiah, Fransiska Ratnasari, Lilyana Natsir, Vita Marissa, Greysia Polii, Jo Novita, Rani Mundiasti, Endang Nursugianti

AMERIKA SYARIKAT
Lee Eva, Todt Lauren, Chen Kuei Ya, Wang Rena, Phongasavithas Panita, Mangkalakiri Mesinee, Phongasavithas Vimla

AFRIKA SELATAN
Michelle Edwards, Stacey Doubell, Jade Morgan, Chantal Botts, Kerry-Lee Harrington, Annari Viljoen

NEW ZEALAND
Rachel Hindley, Michelle Chan, Jessica Jonggowisastro, Danielle Barry, Emma Rodgers, Renee Flavell, Donna Cranston

BELANDA
Yao Jie, Judith Meulendijks, Rachel Van Cutsen, Karina De Wit, Patty Stolzenbach, Ginny Severien, Wong Yik Man, Eefje Muskens, Vaessen Iise, Paulien Van Dooremalen



Tidak mudah diperkotak-katikkan

MUKADIMAH

GEMILANG dan prestij Piala Thomas - gelaran berpasukan paling diidamkan dalam sukan badminton dunia - terus diburu skuad negara yang membuka cabaran di Istora Senayan, Jakarta, bermula Ahad ini.

Wartawan epg, Ahmad Khawari Isa, berkesempatan untuk menemubual Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh, mengenai peluang negara menamatkan penantian gelaran yang kini sudah menjangkau 16 tahun.

epg: Daripada segi semangat berpasukan, Datuk lihat adakah perubahan selepas hadir menyaksikan sendiri kem bina semangat pemain-pemain, baru-baru ini?

DATUK NADZMI SALLEH (NS):
Daripada kem motivasi dan bina semangat ini, saya lihat ada sesuatu yang berlaku kepada pemain, dengan perkembangan positif dapat disaksikan. Terutamanya daripada segi kerjasama sepasukan. Ia diakui sendiri perunding dan jurulatih negara.

epg: Adakah ia bermakna harapan terhadap mereka mampu dipertingkatkan?

NS:
Memang kita akan sentiasa cuba melangkah sejauh mungkin. Tetapi cabaran dalam Piala Thomas bukan mudah, lawan lain juga datang untuk menang. Setiap lawan ada strategi sendiri, selain menggunakan pusingan akhir ini sebagai persiapan terbaik menghadapi Sukan Olimpik. Jadi, ia memaksa kita lebih berjaga-jaga.

epg: Bagaimana pula dengan elemen rasuah? Adakah Datuk bimbang ia akan mengganggu pemain negara pada kempen Piala Thomas kali ini?

NS:
Kita akan pantau. Malah BAM sentiasa mengawasinya. Bagi saya, jika ia mahu dilakukan, bukan semestinya di Jakarta kerana ia boleh dilakukan lebih awal lagi. Memang susah untuk tangkap pemain, kerana selalunya tiada bukti.

Tetapi saya yakin dengan barisan pemain negara. BAM sendiri menekankan langkah pencegahan, dengan pemantauan dan nasihat kepada pemain. Kita ada dengar macam-macam, tetapi saya mahu percaya dengan pemain saya.

epg: Kembali kepada persiapan skuad negara. Datuk percaya ini pasukan terbaik kita sejak sekian lama?

NS:
Pasukan ini ada tiga kategori - pemain veteran, yang tinggal tiga empat tahun lagi serta pemain muda. Kita ada semua. Bagi pemain veteran, ini kemunculan terakhir, jadi pastikan mereka menamatkannya dengan nada gemilang.

Buat pemain berpengalaman yang ada tiga empat tahun lagi, ini harus dijadikan satu lagi mercu tanda dalam kerjaya mereka. Pemain muda pula tidak harus takut untuk mempamer kehebatan apabila diberi peluang beraksi nanti.

epg: Adakah situasi ini membuahkan keyakinan untuk Datuk?

NS:
Bagi saya, faktor keyakinan pemain juga penting. Ia terbina hasil daripada latihan dan persiapan rapi. Apa yang penting ialah keinginan individu pemain.

BAM sentiasa berusaha memberikan segala-galanya daripada segi persiapan. Malah jika dibanding negara lain seperti Indonesia, apa yang disiapkan untuk pemain negara jauh lebih baik.

Kita juga dapat sokongan dan bantuan pihak lain seperti Majlis Sukan Negara (MSN). Semua ini tidak akan berhasil jika pemain tidak mahukannya.

epg: Maksud Datuk, sistem sokongan saja tidak mencukupi?

NS:
Kita lihat contoh Nicol David dalam sukan skuasy. Jika semata-mata kerana sistem, sudah tentu kita akan dapat saksikan lebih ramai Nicol David daripada sistem itu. Ia sebenarnya terletak kepada individu. Itu faktor yang paling penting.

epg: Wajarkah dianggap Datuk memiliki perasaan yang selesa dengan harapan kita kali ini?

NS:
Apa yang perlu diakui ialah saingan kini begitu kompetitif, dengan munculnya negara seperti Korea Selatan. Malah dalam badminton, negara Asia memang kompetitif.

Banyak usaha disalurkan oleh beberapa negara kerana secara realistik, inilah sukan di mana negara Asia mampu memenangi pingat pada peringkat Olimpik. Kerana itu, meningkatnya tahap saingan yang menjadikan laluan lebih sukar untuk kita.

epg: Tetapi kita pernah menguasainya sebelum ini.

NS:
Memang kita sedar, harapan umum ialah untuk pasukan ini memenangi Piala Thomas kerana sebelum ini, kita pernah melakukannya. Tetapi umum juga perlu sedar bahawa suasana saingan kini sudah berubah berbanding sebelumnya.

Tetapi saya mahu tegaskan bahawa peluang memang ada. Pasukan kita tidak akan mudah diperkotak-katikkan. Apabila menentang lawan handal, segala-galanya hanya dapat ditentukan menerusi prestasi pada hari perlawanan nanti.

SENARAI JUARA PIALA THOMAS

1948-49 - MALAYA
1951-52 - MALAYA
1954-55 - MALAYA
1957-58 - Indonesia
1960-61 - Indonesia
1963-64 - Indonesia
1966-67 - MALAYSIA
1969-70 - Indonesia
1972-73 - Indonesia
1975-76 - Indonesia
1978-79 - Indonesia
1981-82 - China
1984 - Indonesia
1986 - China
1988 - China
1990 - China
1992 - MALAYSIA
1994 - Indonesia
1996 - Indonesia
1998 - Indonesia
2000 - Indonesia
2002 - Indonesia
2004 - China
2006 - China


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768