EPL dominasi EropahDUA kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan Chelsea bertemu sesama sendiri pada separuh akhir Liga Juara-Juara Uefa musim ini sekali gus menyaksikan sekurang-kurangnya satu tempat buat kelab Inggeris pada final di Moscow 21 Mei depan.
Malah tidak begitu menghairankan sekiranya kedua-dua kelab Inggeris layak beraksi pada final di ibu negara Russia itu ketika pendahulu EPL, Manchester United bertembung dengan seteru utama, Barcelona dari Sepanyol pada satu lagi saingan separuh akhir.

Dalam sejarah Liga Juara-Juara, hanya sekali iaitu pada musim 2002-03 dua kelab dari negara yang sama - AC Milan dan Juventus dari Itali - bertarung pada babak final yang akhirnya dimenangi Milan.
Pada tahun itu juga menyaksikan tiga kelab Itali - termasuk Inter Milan - layak ke separuh akhir selain sebuah kelab dari Sepanyol, Real Madrid.
Senarionya sama dengan musim ini ketika Liverpool (yang menyingkirkan kelab senegara Arsenal), Chelsea dan Manchester United membenam lawan masing-masing dalam usaha merebut kejuaraan paling berprestij kelab-kelab Eropah.
Di atas kertas, Liverpool memiliki kelebihan berbanding Chelsea yang agak cetek pengalaman di peringkat itu tetapi peluang 50-50 dimiliki kedua-dua Barcelona dan Manchester yang pernah muncul juara, masing-masing dengan dua kejuaraan.
Liverpool, naib juara di belakang AC Milan musim lalu apabila tumpas 2-1 pada final di Athens, sudah lima kali mendakap kejuaraan itu manakala Chelsea belum pernah mara ke final sebaliknya mengulangi pencapaian terbaik mereka setakat ini ke separuh akhir.
Liverpool, kali terakhir juara pada musim 2004-05, tidak begitu menyerlah dalam kancah EPL tetapi mereka seolah-olah mendapat suntikan semangat berkobar-kobar apabila beraksi di Eropah terutama ketua pasukannya, Steven Gerrard.
Malah ada yang melabelkannya dilahirkan untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara berikutan prestasi hebatnya ketika mengemudi kelab itu di Eropah berbanding di liga domestik.
“Saya amat suka bermain bola sepak dan suka bermain untuk kelab ini. Masih ada ruang buat saya untuk menambah jaringan gol, banyak lagi impian dan kejuaraan yang mahu diraih di sini dan itulah yang melonjakkan semangat saya,” kata Gerrard, yang minggu lalu tampil dalam perlawanan ke-300 buat Liverpool dalam liga.
Ditambah dengan kehadiran penyerang Sepanyol, Fernando Torres yang sudah membuat impak dalam musim sulungnya di Anfield, pemain tengah Israel, Yossi Benayoun dan pemain sayap Belanda, Ryan Babel, pasukan kendalian Rafael Benitez itu memang sukar digugat di Eropah.
Namun Chelsea yang tersekat tiga kali pada separuh akhir - dua kali di tangan Liverpool pada 2004-05 dan 2006-07 - pastinya tidak mahu kecundang buat kali keempat di bawah jurulatih Avram Grant yang mengambil alih daripada Jose Mourinho awal musim ini.
Cuma prestasi terkini The Blues tidaklah begitu memberangsangkan sekalipun mereka melakar kemenangan bergaya pada separuh akhir menyingkirkan kelab Turki, Fenerbahce menerusi agregat 3-2 selepas kecundang 2-1 pada suku akhir pertama.
Perlawanan yang pasti mendapat tumpuan adalah pertembungan Barcelona (tanpa Ronaldinho yang tercedera) dengan United, kini semakin hampir untuk mempertahankan mahkota kejuaraan EPL dimenangi musim lalu.
United perlu berkunjung ke Nou Camp bagi separuh akhir pertama Rabu depan (awal pagi Khamis waktu Malaysia) tetapi ketika Barcelona turut terkial-kial mencari rentak dalam liga (ketinggalan jauh di belakang Real Madrid) dan tanpa beberapa pemain utama kerana kecederaan, barisan pilihan Alex Ferguson mampu mencatat kejutan di gelanggang lawan seperti ketika pertemuan suku akhir dengan AS Roma.
Satu nama yang pasti terbit apabila memperkatakan perlawanan ini adalah Cristiano Ronaldo, bintang Portugal yang menjadi calon utama pelbagai anugerah, lantaran persembahan hebatnya mengemudi kejayaan dan kemaraan jauh United setakat ini.
Tanpa Ronaldo, United mungkin kelihatan agak pincang tetapi siapapun tidak boleh mempertikaikan keupayaan Samuel Eto’o dan Thierry Henry dalam barisan pimpinan pengendali berbangsa Belanda, Frank Rijkaard.

BALLACK (kanan) bergelut dengan pemain Fenerbahce,
Mehmet Aurelio ketika perlawanan suku akhir
kedua di Stamford Bridge.Kami bermati-matian - BallackKetua pasukan Jerman mahu pastikan Chelsea tidak kempunan muncul juara musim iniMICHAEL Ballack adalah antara pemain bertaraf bintang yang menyertai kelab kaya Chelsea dua musim lalu. Ketua pasukan Jerman itu bagaimanapun tidak banyak beraksi buat kelabnya itu kerana kecederaan dan hanya akhir-akhir ini berjaya menemui sentuhannya sekali gus membantu kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Uefa musim ini.
Ballack ditemuramah mengenai pertemuan separuh akhir dengan Liverpool, pasukan yang pernah mengecewakan Chelsea pada peringkat itu dalam tempoh tiga musim.
Pemain tengah berusia 31 tahun itu menganggap peluang kelab kendalian Avram Grant itu lebih cerah kali ini ketika Chelsea masih bersaing dengan Manchester United bagi kejuaraan EPL yang hanya berbaki empat perlawanan.
Dia pernah gagal pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara ketika menyarung jersi kelab Bayer Leverkusen enam musim lalu.
Soalan (S): Cabaran anda sekarang adalah untuk menamatkan tugas dengan kejuaraan. Apa yang membuatkan anda begitu menanam azam untuk muncul juara kali ini?
Michael Ballack (MB): Saya rasa buat kelab dan buat diri saya sendiri adalah sesuatu yang amat indah jika kami mampu memenangi kejuaraan ini, itulah sebabnya saya berada di sini.
Sudah 10 tahun saya beraksi dalam Liga Juara-Juara dan saya memang berazam untuk memenangi pertandingan ini. Orang hanya akan ingat trofi yang anda menangi, bukannya layak ke suku akhir atau separuh akhir.
S: Anda kecewa bersama Leverkusen pada 2001-02 ketika kelab itu mengintai tiga kejuaraan tetapi akhirnya pulang penuh hampa apabila gagal dalam ketiga-tiganya. Apa yang mendorong kekuatan anda kali ini?
MB: Kami bekerja keras sepanjang musim untuk berada di kedudukan seperti ini dan kemudian kami terpaksa melakukan perkara yang betul. Anda perlu memenangi perlawanan ini untuk memenangi kejuaraan. Tidak ada persoalan lagi. Kenangan 2001-02 boleh dilupakan terus daripada memori.
S: Ini pastinya satu ujian getir buat pengurus Chelsea, Avram Grant. Mengalahkan Liverpool dan mungkin beliau keluar daripada belenggu bayang-bayang Jose Mourinho.
MB: Kami melalui musim yang sukar dengan kecederaan dan Piala Negara-Negara Afrika jadi amat sukar buat kami tetapi hakikatnya kami masih berada dalam posisi yang agak bagus.
Ramai pemain yang mengalami kecederaan kini sudah pulih dan mempunyai sedikit masa untuk berehat, jadi saya merasakan Chelsea akan lebih kuat dalam beberapa minggu akan datang.
Memang diakui sukar untuk anda bekerja selepas Jose Mourinho. Tidak kisah siapa jurulatih seterusnya; ia memang sukar buatnya dan begitu juga buat Avram Grant, tetapi saya menganggap beliau melakukan yang terbaik buat beberapa minggu kebelakangan. Kami meraih keputusan yang dikehendaki.
Saya juga percaya Grant seharusnya diberi kredit kerana berjaya membawa Chelsea ke kedudukan yang positif ini, terutamanya memikirkan rintangan yang perlu dihadapinya. Kecederaan terbaru Petr Cech begitu juga ketiadaaan Didier Drogba, Michael Essien, John Obi Mikel dan Salomon Kalou ketika Piala Negara-Negara Afrika Februari lalu.
S: Pastinya anda begitu lega dapat beraksi semula. Ketika ini musim lalu anda mengalami kecederaan buku lali dan tidak dapat diturunkan pada separuh akhir menentang Liverpool dan hanya kembali Disember lalu. Anda juga berjaya menjaringkan gol menentang Fenerbahce pada suku akhir.
MB: Itulah sebabnya saya berada di sini. Saya melakukannya di Jerman dan juga buat pasukan kebangsaan dan saya mahu melakukannya juga buat Chelsea.
Pada awalnya memang saya akui agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris yang keras dan laju tetapi kini saya yakin penyokong sukakan apa yang saya persembahkan di atas padang.
Saya gembira untuk kembali menjaringkan gol tetapi perkara pokok adalah pasukan ini menang, pasukan mempersembahkan permainan yang bagus dan kami berjaya melakukannya.
Kini kami mempunyai dua lagi perlawanan besar (menentang Liverpool). Ia memang seringkali sengit dan kami menjangkakan ia akan berulang tahun ini, tetapi kami akan bermain di gelanggang sendiri pada perlawanan kedua dan ia memberikan kami keyakinan.
S: Bukan selalu anda mendapat peluang untuk beraksi pada separuh akhir Liga Juara-Juara. Apa harapan anda terhadap pasukan ketika menentang Liverpool nanti yang menjadi seolah-olah perlawanan liga tempatan.
MB: Bagi saya, apa yang penting kami perlu bermain bermati-matian seolah-olah ia satu perlawanan akhir sekalipun kami berdepan dua perlawanan. Liverpool pastinya sengit kerana mereka memiliki tradisi mengagumkan dalam Liga Juara-Juara manakala kami belum pernah menjejak kaki ke final. Saya harap kami mampu beraksi di Moscow pada final bulan depan.