Ismail Sabri amal keterbukaan, mudah didekati


Kemudahan untuk semua jadi moto untuk dekati peringkat akar umbi

KEMUDAHAN sukan untuk semua dan menangani isu sukan secara menyeluruh menjadi moto utama Menteri Belia dan Sukan yang baru, Datuk Ismail Sabri Yaakob dalam usaha memartabatkan sukan negara serta menghasilkan atlit bertaraf dunia.

Sebagai Menteri Belia dan Sukan yang ke-16, beliau mempunyai pandangan, visi dan misi tersendiri untuk mengendalikan senario sukan terutama pada tahun penting Sukan Olimpik Beijing 2008, Ogos ini.

Wartawan epg Nor Bakti Alias dan Meor Hisham Zulkifli, menemubual Ismail bagi menyelami hasratnya.


epg: Secara umum, boleh Datuk terangkan apakah yang bakal dilaksanakan:

Ismail Sabri Yaakob (ISY):
Pada peringkat ini, saya masih dalam proses mengumpul maklumat dan mendengar taklimat berkaitan dengan kementerian. Saya sudah mengarahkan pegawai membentangkan segala butiran yang diperlukan dan apa yang perlu dibuat secara umum.

epg: Sama seperti menteri sebelum ini, setiap kali mula memegang jawatan, mereka cuba memberi penekanan kepada belia tetapi akhirnya menjurus kembali kepada sukan. Apa pandangan Datuk?

ISY:
Sebenarnya, apabila kita menyebut mengenai isu belia, ia amat berkait dengan isu sukan. Sukan dan belia tidak boleh dipisahkan kerana dalam sukan, sebahagian besar golongan yang terbabit adalah golongan belia.

Apabila saya menyatakan tumpuan kepada belia, ia tidak bermakna kita tinggalkan atau kurangkan penekanan terhadap sukan kerana ia sudah terangkum kesemuanya. Itulah yang kita nyatakan, kita perlukan kemudahan sukan untuk semua. Bila sesuatu perkara itu membabitkan sukan, ia juga merangkumi belia.

epg: Sejurus pengumuman pelantikan sebagai menteri, apakah perkara pertama yang Datuk lihat perlu ditekankan dalam aspek sukan ini?

ISY:
Banyak perkara dan bercampur-campur. Tetapi sebenarnya asasnya sudah ada. Semuanya sudah mempunyai asas dan sudah dilaksanakan tetapi kita perlu melihat bagaimana ia perlu dilaksanakan dengan berkesan. Kita lihat negara ini memiliki persatuan sukan yang baik, begitu juga dengan penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Kita akan sambung segala program yang sudah diletakkan menteri sebelum ini, Datuk Seri Azalina Othman dan andai punya kelemahan, kita akan perbaiki dan perkemaskan. Jadi kita tidak perlu memberikan fokus yang jauh berbeza dari dulu. Dan selepas ini kita perlu melihat sukan ini dalam perspektif yang lebih besar.

Bila kita bercakap pasal sukan, timbul isu mengenai latihan dan masalah kejurulatihan. Kita akan turut memberi penekanan terhadap aspek ini. Kita lihat skuasy umpamanya. Ia bukan sukan yang popular tetapi mampu menang. Jadi andai kita mahu membawanya sehingga ke peringkat akar umbi, banyak perkara yang perlu kita lakukan.

Maknanya kita perlu melihat kepada segala aspek sokongan seperti jurulatih dan pakar pemakanan. Mungkin dalam isu bola kita sudah ada jurulatih yang mencukupi. Begitu juga dalam olahraga tetapi bagaimana dengan sukan yang lain-lain. Adakah kita mempunyai jurulatih skuasy yang cukup di peringkat akar umbi. Apakah kita punya jurulatih menembak yang cukup, begitu juga dengan sukan memanah, gimnastik dan sebagainya.

Kita perlu kaji dalam semua segi dan dalam masa yang sama, melihat aspek gaji sama ada atlit atau jurulatih. Gaji atlit juga kita lihat ada yang mendapat gaji yang mahal kerana bermain dalam sukan glamour dengan mendapat antara RM5,000 hingga RM10,000.

Tetapi ada juga atlit yang mendapat gaji yang agak rendah tetapi mampu membawa pulang pingat yang mungkin lebih baik berbanding sukan yang glamour. Ini juga perlu diberikan perhatian oleh kementerian.

Kita melihat pemain sepak takraw yang meskipun membawa pulang pingat di Sukan Sea, gaji mereka masih rendah berbanding pemain bola sepak. Banyak lagi contoh sukan yang tidak glamour dan kurang mendapat perhatian.

Jadi kita kena tengok perkara ini lebih menyeluruh. Dalam aspek sains sukan, perubatan sukan dan sebagainya. Semua aspek ini perlu diberikan keutamaan kerana sekarang ini, bagi melahirkan atlit bertaraf dunia, perkara-perkara seperti diet, aspek saintifik ketika latihan dan sebagainya perlu diberikan perhatian.

Aspek ini mungkin sudah ada di ISN, tetapi atlit kita berterabur di seluruh negara. Ada yang tinggal di Pahang, Terengganu dan Kelantan.


epg: Datuk dilantik sewaktu persiapan ke Sukan Olimpik, Beijing Ogos ini semakin rancak. Adakah Datuk berasa tertekan kerana kejayaan di Olimpik sering dianggap menjadi aras pengukur bagi menteri baru?

ISY:
Ini yang saya katakan indeks prestasi (KPI) untuk sukan adalah pingat. Memang kita cuba untuk dapatkan pingat. Apa saja pingat tidak menjadi masalah tetapi ia juga bergantung sama ada atlit kita sudah cukup bersedia atau tidak. Saya cukup bimbang andai timbul masalah terutama membabitkan badminton yang kini dianggap satu-satunya sukan yang boleh meraih pingat.

Jadi kita cuba selesaikan segala masalah, tidak kira masalah dalaman atau yang berkaitan dengannya kerana ia mesti dilakukan kalau kita mahu berjaya. Jadi MSN perlu bekerja lebih kuat untuk dapatkan pingat.

Tekanan? Sudah tentu kerana seluruh rakyat negara ini tertumpu kepada apakah yang mampu kita bawa pulang dari Olimpik. Akan tetapi peluang kita untuk menang memang ada terutama dalam sukan badminton kerana pemain kita bertaraf dunia. Tiada yang mustahil andai kita bersungguh-sungguh.

Selain itu, saya juga sedang mengkaji mengapa prestasi pemain kita terlalu kerap terumbang ambing, tidak konsisten. Selepas menang Badminton Seluruh England, mereka kalah dalam kejohanan yang kecil.

Masalah atlit yang menjadi selebriti sehingga lupa diri juga akan dikaji. Kita juga perlu tingkatkan motivasi kepada pemain. Itu saya katakan andai kita nak selesaikan masalah sukan kita perlu tengok seluruh sudut, kemudahan dan sebagainya.

epg: Datuk menyentuh masalah dalaman dalam persatuan sukan. Boleh Datuk jelaskan bagaimana menangani masalah itu dan meneliti segala permasalahan yang timbul.

ISY:
Saya akan berjumpa dengan semua persatuan satu persatu. Saya juga akan turun ke negeri bagi mendengar segala permasalahan mereka mulai minggu depan sebelum saya boleh membuat keputusan bagaimana untuk membantu menyelesaikan segala kemelut yang dihadapi. Saya mengamalkan dasar pintu terbuka dan mudah didekati bagi memastikan matlamat kita tercapai.

epg: Satu lagi aspek adalah masalah kemudahan sukan. Kekurangan padang di sekolah selain padang sekolah yang tidak dapat digunakan orang awam adalah antara masalah yang sering timbul. Apakah Datuk akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelajaran dalam aspek ini?

ISY:
Banyak berlaku pertindihan dalam aspek pembinaan padang serta infrastruktur sukan. Ia membabitkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Pihak Berkuasa Tempatan. Namun bila isu tidak cukup kemudahan sukan, masyarakat akan menuding ke arah Kementerian Belia dan Sukan sedangkan pada asasnya, pihak berkuasa tempatan yang sepatutnya menyediakannya.

Saya sudah mengarahkan pegawai untuk dapatkan maklum balas daripada peringkat akar umbi terutama aspek kemudahan sukan di luar bandar, sama ada perlu membina yang baru atau membaik pulih kemudahan sedia ada.

Saya juga berpendapat, adalah lebih baik kita kurangkan pembinaan kompleks yang besar andai manfaatnya tidak menyeluruh. Bayangkan, andai kompleks besar kita perlu membelanjakan jutaan ringgit tetapi pada hakikatnya wang itu boleh membina berpuluh-puluh gelanggang serba guna di luar bandar dengan kos yang lebih murah.

Kita boleh dapat 30 atau 40 gelanggang pelbagai guna yang boleh dikongsi pelbagai lapisan masyarakat di peringkat bawahan. Moto kita adalah kemudahan untuk semua. Cuba sediakan kemudahan sukan di peringkat akar umbi.

epg: Adakah Kementerian akan gunakan pengaruh dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan untuk mendapatkan sokongan daripada kementerian lain bagi turut sama membangunkan sukan di negara ini?

ISY:
Kita akan bincangkan perkara itu. Tujuan jawatankuasa ini adalah untuk menyelesaikan masalah pertindihan ini. Saya akan dapatkan segala input berkaitan dengan ini dan akan ketengahkan di peringkat jawatankuasa ini.

Masalah kemudahan termasuk padang dan sebagainya timbul akibat aspek ekonomi lebih diutamakan terutama di bandar raya besar termasuk Kuala Lumpur. Jadi kita perlu punya dasar mengenainya bagi memastikan aspek sukan dan penyediaan prasarana riadah tidak diketepikan dalam mengejar pembangunan.

epg: Malaysia boleh dikatakan maju dan mempunyai segala kemudahan tetapi kita masih gagal melahirkan atlit disebabkan kurangnya semangat kesukanan, kerana ketiadaan atlit bertaraf dunia yang boleh dijadikan ikon. Bagaimana Datuk melihat fenomena ini?

ISY:
Memang itu yang saya cuba tekankan. Bagaimana kita mahu melahirkan pemain bola yang bagus jika padang untuk berlatih masih kurang? Peluang lahirkan atlit berwibawa pasti akan muncul andai kita punyai segala kemudahan dan sokongan ke arah itu seperti aspek kejurulatihan, sains sukan, gaji dan sebagainya.

Kita mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa sukan juga boleh dijadikan satu kerjaya atau industri bagi menjamin masa depan mereka. Kita mahu melihat atlit mempunyai gaji tetap bukan sekadar mampu membawa pulang pingat dan menerima imbuhan daripada MSN.

Semua ini memerlukan kajian yang mendalam, termasuklah isu ganjaran pencen untuk atlit.

epg: Ada orang kata MSN cuba menjadi juara dalam semua bidang sukan tetapi tidak menumpukan kepada sukan yang boleh mendapatkan pingat kepada negara. Apa pandangan Datuk?

ISY:
Kita perlu tumpukan sukan yang kita mampu menang. Kita memerlukan latihan yang bermula daripada peringkat bawah. Menyediakan jurulatih yang mencukupi dan sebagainya. Kita berjaya melahirkan pemain nombor satu dunia dalam skuasy, begitu juga dengan bowling yang melakar ranking dunia. Bagaimanapun, di bandar kecil, tiada kemudahan sukan ini. Jadi kita perlu fokus.

Selain itu, kita perlu tekankan kepada jenis sukan yang tidak membabitkan aspek saingan fizikal untuk meraih pingat seperti gimnastik, memanah, menembak, terjun dan sebagainya. Andai kita fokus, saya percaya mampu membawa pulang pingat.

epg: Adakah Datuk melihat usaha mengimport pemain luar boleh memberi manfaat bagi mempercepatkan lagi usaha kita membangunkan sukan di negara ini?

ISY: Perkara ini memerlukan perbahasan yang panjang. Kita melihat sudah ada trend di dalam dunia yang banyak mengimport pemain asing bagi mewakili negara mereka. Singapura umpamanya dalam beberapa jenis sukan, begitu juga Amerika Syarikat yang banyak membawa masuk pemain tenis.

Dulu, permintaan pemain golf Fiji, Vijay Singh untuk menjadi rakyat negara ini dan mewakili Malaysia pernah ditolak atas alasan patriotik. Ini adalah idea yang menarik tetapi perlu diperincikan lagi pada masa depan.

Bagi saya lambat laun, kita mungkin menerima idea ini dengan lebih menyeluruh selepas adanya atlit China seperti Yuan Yufang dalam sukan olahraga, atlit angkat berat Indonesia, Hidayat Hamidon dan sebagainya.

Kita sebenarnya sudah bergerak ke arah itu.

epg: Terima kasih Datuk

ISY:
Sama-sama

DATA: DATUK ISMAIL SABRI YAAKOB

  • TARIKH LAHIR: 18 Januari 1960

  • ASAL: Bera, Pahang


  • ISTERI: Datin Mohaini Binti Zainal Abdin

  • Anak:
    - Ina Sabrina Ismail Sabri
    - Gadaffi Ismail Sabri
    - Nashriq Ismail Sabri
    - Iqbal Ismail Sabri

  • KELULUSAN: Sarjana Muda Undang-Undang UM.

  • PENGALAMAN DALAM SUKAN:
    - Pengerusi Persatuan Gasing Pahang
    - Pengerusi Olahraga Temerloh
    - Terbabit dalam Persatuan Sepak Takraw Pahang
    - Pengerusi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (2003- 2006)
    - Exco Biro Belia dan Sukan Pemuda Umno


  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768