Bowling Terbuka Malaysia 2008 kembali tenang




Tiada lagi kekecohan berikutan isu kelewatan pembayaran hadiah wang kepada pemenang

KONTROVERSI yang melanda Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) dengan Persekutuan Bowling Asia (ABF) tidak menjejaskan penganjuran Terbuka Antarabangsa Malaysia tahun ini dengan ia bakal dilangsungkan buat kali ke-31 di Pyramid Mega Lanes pada 18-29 Mac ini.

Tahun lalu, ABF menggantung sebarang pengiktirafan kejohanan kepada Malaysia berikutan kegagalan menyelesaikan tuntutan hadiah wang berjumlah RM50,000 kepada pemain Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang berlanjutan sejak Terbuka Antarabangsa Malaysia, Mac tahun sebelumnya.

Namun, keputusan itu berjaya diselesaikan dengan cara baik dengan perbincangan antara kedua-dua pihak menyaksikan ABF menarik balik keputusannya.

Buktinya, kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia pada 18-29 Mac ini dikatakan sudah menerima pengiktirafan ABF sejak tahun lalu.

“MTBC sudah menerima segala dokumen tahun lalu. Terbuka Antarabangsa Malaysia tahun

ini akan dilangsungkan dengan pengiktirafan ABF," kata Setiausaha Kehormat MTBC, Sidney Tung.

Begitu pun, pusingan Jelajah ABF yang lazimnya diadakan sehari selepas Terbuka Antarabangsa Malaysia tidak akan dianjurkan pada 2008 buat tahun kedua berturut-turut.

Sebaliknya, kejohanan Piala Canon yang diperkenalkan pada 2007, mempertaruhkan bintang terbaik dari Asia menentang bintang terbaik daripada benua lain akan kembali mengisi kekosongan itu.

Piala Canon mencuri hati peminat di Malaysia yang begitu tertarik melihat konsep pertembungan sesama pasukan ketika mereka kebiasaannya disajikan dengan permainan bercorak individu.

Malaysia ketika itu begitu hampir untuk meraih hak berbangga menewaskan terbaik dunia namun akhirnya berputih mata tewas 3-2 kepada Pilihan Dunia.

Namun MTBC sebenarnya muncul pemenang terbesar selepas menyaksikan acara pertama seumpama itu menerima sambutan hangat daripada penonton televisyen dan pemerhati bowling di seluruh benua ini.

Pastinya peminat sukan itu di Pyramid Mega Lanes dan ribuan yang menyaksikannya di kaca televisyen terhibur dengan skil tinggi yang dipersembahkan pemain dan lebih daripada itu gelagat menghiburkan mereka, terserlah pada perlawanan penentuan antara Zulmazran Zulkifli dan pemain Australia, Jason Belmonte.

Belmonte, 23, mencetuskan gelak tawa penonton dengan aksi bersahaja setiap kali melakukan strike, antaranya meniarap di lantai selepas menyempurnakannya, berjoget sana sini, serta memarahi pin yang tidak jatuh selepas balingan.

Begitu pun, pemain Australia yang memiliki gaya balingan unik dua tangan itu yang akhirnya gelak besar apabila meraih kemenangan 231-199 untuk memberikan mata penting buat Pilihan Dunia dalam suasana bersahaja tetapi penuh kompetitif.

Terdahulu, Choi Bok-eum dari Korea Selatan memberikan mata kepada Pilihan Dunia menerusi kemenangan ke atas Daniel Lim. Juara wanita Terbuka Antarabangsa Malaysia sehari sebelumnya, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi menyamakan kedudukan 1-1 buat Malaysia apabila menundukkan Amanda Ng dari Singapura.

Giliran Alex Liew melakukan tujuh strike berturutan, lapan keseluruhan pada game itu menewaskan juara lelaki Terbuka Antarabangsa Malaysia, Joung Seong-joo dari Korea Selatan bagi membolehkan Malaysia mendahului 2-1.

Pemain Singapura, Daphne Tan yang akur kepada Zandra pada final Terbuka Malaysia mengetepikan Siti Safiyah Amirah Abd Rahman dalam saingan sengit sebelum Belmonte menghancurkan harapan Malaysia.

Tahukah Anda?

Siti Safiyah Amirah Abd Rahman adalah pemain termuda menjuarai Terbuka Antarabangsa Malaysia pada 2005 apabila menewaskan seorang lagi pemain negara, Sarah Yap, 177-193, 226-204.

Lebih mengagumkan apabila kejayaan Siti Safiyah, 14, turut memadamkan rekod pencapaian ratu bowling negara, Shalin Zulkifli sebagai pemain termuda memenangi kejohanan sama pada 1996. Shalin ketika itu berusia 18 tahun.

Seminggu selepas itu, Siti Safiyah menambah satu lagi rekod iaitu muncul pemain belasan tahun ketiga yang berjaya diserapkan ke dalam skuad bowling negara. Dia kini berjaya menyamai rekod yang dicipta Shalin dan Adrian Ang yang juga berusia 14 tahun pada ketika itu.

JUARA TEMPATAN TERBUKA MALAYSIA

Lelaki


2006 - Alex Liew
2004 - Daniel Lim
2003 - Azidi Ameran
2000 - Kenny Ang
1998 - Ng Yiew Hup
1984 - Y H Foong

Wanita

2007 - Zandra Aziela Ibrahim Hakimi
2005 - Siti Safiyah Amirah Abd Rahman
1996 - Shalin Zulkifli
1990 - Karen Lian
1980 - Shirley Chow
1978 - Shirley Chow


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768