Milan, Boca tamatkan era kelab Brazil



BOCA pasti jadi halangan utama Milan.

Kehadiran lima lagi kelab mungkin sekadar pelengkap kejohanan antara enam benua

TIGA kelab Brazil - Corinthians, Sao Paulo dan Internacional - mengungguli tiga edisi pertama Piala Kelab Dunia Fifa.

Namun bagi kejohanan edisi keempat bermula esok di Tokyo, Jepun, tiada wakil dari negara yang penuh dengan tradisi bola sepak itu sebaliknya benua Amerika Selatan diwakili kelab Argentina, Boca Juniors.

Eropah pula menampilkan AC Milan, kelab Serie A Itali yang bergelut musim ini dalam aksi liga tempatan tanpa sebarang kemenangan di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, prestasi anak buah Carlo Ancelotti lebih baik pada Liga Juara-Juara Uefa dan kini sudah menempah tiket ke pusingan kalah mati.

Dua kelab itu dilihat sebagai pilihan utama untuk bertemu pada final di Yokohama, 16 Disember ini ketika pencabar mereka hanya mampu bermegah dengan kejuaraan sebenua.

Juara Asia, Urawa Red Diamonds dari Jepun bagaimanapun memiliki kelebihan bermain di gelanggang sendiri, juara Amerika Tengah dari Mexico, Pachuca, juara Afrika, Etoile du Sahel dari Tunisia dan juara Oceania, Waitakere United serta naib juara Asia, Sepahan dari Iran hanya sekadar pelengkap penyertaan.

KEJAYAAN Liga
Juara-Juara bawa
Milan ke Jepun.


AC Milan, dengan pemenang Ballon D’Or, Kaka dan bekas Pemain Terbaik Dunia Ronaldo serta empat lagi pemain senegara dari Brazil, mampu memecahkan monopoli Brazil dan Amerika Selatan sejak kejohanan itu kali pertama dilangsungkan pada 2000 di Rio de Janeiro.

Dua wakil Eropah sebelum ini, Liverpool pada 2005 dan Barcelona tahun lalu tewas tipis 1-0 masing-masing kepada Sao Paulo dan Internacional ketika juara sulung, Corinthians mengalahkan kelab senegara Vasco da Gama pada final 2000.

Ramai pemain Boca Juniors mungkin tidak begitu dikenali tetapi bakat mereka memang terserlah apabila beraksi pada peringkat antarabangsa.

Tanpa pemain bertaraf bintang, Juan Roman Riquelme yang gagal disenaraikan pada saat-saat akhir sesudah berpindah daripada kelab Sepanyol, Villarreal, Boca mungkin perlu mengharapkan kepada sentuhan penyerang veteran, Martin Palermo.

Begitu juga, Rodrigo Palacio, bintang muda yang mampu menggegar bola sepak dunia, bakal turun mempamerkan aksi berbisanya bagi menafikan impian menggunung AC Milan.

Milan, yang pernah memenangi Piala Antara Benua yang kemudiannya dinamakan sebagai Piala Toyota sebanyak tiga kali pada 1969, 1989 dan 1990, pasti mahu melupakan krisis di gelanggang sendiri dengan pingat kejuaraan di Yokohama.

Ancelotti memang memiliki ramuan untuk merebut kejuaraan, seperti dibuktikannya dengan kejayaan merangkul kejuaraan Eropah kali ketujuh di Athens Mei lalu mengalahkan Liverpool 2-1, tetapi hanya perlu menggunakannya tepat pada ketikanya.

Namun rakan seperjuangannya di Boca, Miguel Angel Russo tidak boleh dipandang enteng sesudah mengemudi pasukan itu menjuarai Piala Libertadores mengatasi kelab Brazil, Gremio 5-0 menerusi agregat.

Di bumi Jepun, bermula esok, pertentangan antara dua kelab penuh tradisi itu bakal disajikan dan mungkinkah trofi kejuaraan akan ke Eropah buat kali pertama kita hanya perlu tunggu dan saksikan.

Di atas kertas, sedikit kelebihan buat AC Milan walaupun Boca Juniors, yang gagal memenangi kejohanan bola sepak liga Argentina minggu lalu, pasti tidak memberi ruang mudah buat lawan menjulang kejuaraan.


KEHADIRAN Kaka pasti meriahkan kejohanan.

Kejohanan baru kurang popular di Eropah

PIALA Kelab Dunia Fifa, terdahulu dikenali sebagai Kejohanan Kelab Dunia Fifa, adalah kejohanan yang dipertandingkan di kalangan juara-juara kelab daripada enam benua sekalipun bermula 2007, juara Oceania perlu beraksi dalam kelayakan play-off menentang juara kelab tuan rumah.

Kejohanan pertama berlangsung di Brazil pada Januari 2000. Ia diperkenalkan Fifa sebagai pengganti kepada kejohanan Piala Antara Benua (turut dikenali sebagai Piala Toyota), yang diadakan saban tahun di Tokyo, Jepun antara juara kelab Eropah dengan Amerika Selatan.

Kejohanan baru tidak popular di Eropah, namun kejohanan edisi kedua dijadualkan di Sepanyol pada 2001, menampilkan 12 pasukan.

Bagaimanapun kejohanan itu dibatalkan kerana beberapa kombinasi faktor, terutamanya keruntuhan rakan pemasaran Fifa, ISL. Mereka kemudian bercadang mengadakan kejohanan itu pada 2003, tetapi ia juga tidak menjadi kenyataan.

Fifa akhirnya bersetuju dengan Piala Toyota untuk menggabungkan kedua-dua pertandingan, dengan pengenalan Kejohanan Kelab Dunia di Jepun antara 11 hingga 18 Disember, 2005.

Jepun menganjurkannya secara tahunan sejak itu, tetapi proses bidaan terbuka hanya bermula dengan edisi 2009. Portugal sudah mengemukakan bidaan bagi Piala Kelab Dunia Fifa 2009 dan 2010.

FAKTA
SENARAI PASUKAN


BOCA JUNIORS (ARG)

Jurulatih: Miguel Angel Russo.

Penjaga gol: 1-Javier Garcia, 12-Mauricio Caranta, 25-Pablo Migliore.

Pertahanan: 2-Matias Silvestre, 3-Claudio Morel (Par), 4-Hugo Ibarra, 6-Matias Cahais, 16-Juan Krupoviesa, 20-Jonatan Maidana, 29-Gabriel Paletta.

Tengah: 5-Sebastian Battaglia, 8-Pablo Ledesma, 11-Leandro Gracian, 15-Alvaro Gonzalez (Uru), 19-Neri Cardozo, 22-Fabian Vargas (Col), 24-Ever Banega, 27-Nicolas Bertolo.

Serangan: 9-Martin Palermo, 14-Rodrigo Palacio, 17-Mauro Boselli, 21-Carlos Bueno (Uru).

ETOILE DU SAHEL (TUN)

Jurulatih: Bertrand Marchand (Perancis).

Penjaga gol: 1-Aymen Mathlouthi, 16-Nadim Thabet, 27-Ahmed Jaouachi.

Pertahanan: 2-Seif Ghezal, 4-Radhouane Falhi, 5-Ammar Jemal, 6-Hatem Bejaoui, 11-Mehdi Meriah, 13-Sabeur Frej, 15-Mahmoud Khemiri, 21-Mejdi Ben Mohamed.

Tengah: 10-Afouene Gharbi, 14-Mohamed Sacko (Gui), 18-Mejdi Traoui, 19-Ali Nafkha, 20-Khaled Melliti, 24-Moussa Narry (Gha), 25-Muri Ogunbiyi (Ben), 26-Bessem Ben Nasr.

Serangan: 3-Sadat Bukari (Gha), 7-Gilson Silva Alves (Cpv), 9-Amine Chermiti, 28-Mehdi Bendhifallah.

AC MILAN (ITA)

Jurulatih: Carlo Ancelotti.

Penjaga gol: 1-Dida (Bra), 16-Zeljko Kalac (Aus), 29-Valerio Fiori.

Pertahanan: 2-Cafu (Bra), 3-Paolo Maldini, 4-Kakha Kaladze (Geo), 13-Alessandro Nesta, 17-Dario Simic (Cro), 18-Marek Jankulovski (Cze), 25-Daniele Bonera, 27-Serginho (Bra), 44-Massimo Oddo.

Tengah: 5-Emerson (Bra), 8-Gennaro Gattuso, 10-Clarence Seedorf (Bel), 20-Yoann Gourcuff (Per), 21-Andrea Pirlo, 23-Massimo Ambrosini, 32-Cristian Brocchi.

Serangan: 9-Filippo Inzaghi, 11-Alberto Gilardino, 22-Kaka (Bra), 99-Ronaldo (Bra).

CLUB PACHUCA (MEX)

Jurulatih: Enrique Meza.

Penjaga gol: 1-Miguel Calero (Col), 12-Alfonso Blanco, 20-Humberto Hernandez, 30-Rodolfo Cota.

Pertahanan: 2-Leobardo Lopez, 3-Julio Manzur (Par), 4-Marco Ivan Perez, 13-Fernando Salazar, 14-Marvin Cabrera, 16-Gerardo Rodriguez, 21-Fausto Pinto, 22-Paul Aguilar.

Tengah: 6-Jaime Correa, 8-Gabriel Caballero, 10-Andres Chitiva (Col), 24-Raul Mono Martinez, 28-Luis Montes.

Serangan: 7-Damian Alvarez (Arg), 9-Rafael Marquez Lugo, 11-Juan Carlos Cacho, 17-Edy Brambila, 18-Luis Rey (Col), 19-Cristian Chaco Gimenez (Arg).

WAITAKERE UNITED (NZL)

Jurulatih: Christopher Milicich.

Penjaga gol: 1-Richard Gillespie, 22-Simon Eaddy, 28-Arran Rowley.

Pertahanan: 2-Jonathan Perry, 3-Shane Pascoe, 4-Matt Cunneen, 5-Danny Hay, 6-Darren Bazeley (Eng), 16-Neil Emblen (Eng), 19-Mikael Munday, 20-Jason Rowley, 21-Graham Pearce, 27-Tom Webb.

Tengah: 7-Jason Hayne, 11-Allan Pearce, 11-Neil Sykes (Eng), 14-Hoani Edwards, 15-Christopher Bale (Wal), 17-Jake Butler, 33-Paul Seaman (Wal).

Serangan: 8-Commins Menapi (Sol), 9-Benjamin Totori (Sol), 13-Daniel Koprivcic.

URAWA RED DIAMONDS (JPN)

Jurulatih: Holger Osieck (Jer).

Penjaga gol: 1-Norihiro Yamagishi, 23-Ryota Tsuzuki, 28-Nobuhiro Kato.

Pertahanan: 2-Keisuke Tsuboi, 4-Marcus Tulio Tanaka, 5-Nene (Bra), 12-Shunsuke Tsutsumi, 19-Hideki Uchidate, 20-Satoshi Horinouchi.

Tengah: 3-Hajime Hosogai, 6-Nobuhisa Yamada, 8-Shinji Ono, 10-Robson Ponte (Bra), 13-Keita Suzuki, 14-Tadaaki Hirakawa, 16-Takahito Soma, 17-Makoto Hasebe, 22-Yuki Abe, 30-Masayuki Okano.

Serangan: 9-Yuichiro Nagai, 11-Tatsuya Tanaka, 18-Junki Koike, 21-Washington (Bra).

SEPAHAN (IRN)

Jurulatih: Luka Bonacic (Cro).

Penjaga gol: 1-Abbas Mohammadi, 15-Amirhossein Sadeghzadeh, 22-Mohammad Savari.

Pertahanan: 3-Reza Talabeh, 5-Hadi Aghily, 8-Mohsen Bengar, 11-Hossein Kazemi (Irq), 17-Jaba Mujiri (Geo).

Tengah: 4-Moharram Navidkia, 6-Jalal Akbari, 7-Farshad Bahadorani, 9-Hadi Jafari, 12-Abdul Wahab Abu Al Hail (Irq), 21-Saeid Bayat, 25-Ebrahim Loveinian, 27-Abolhassan Jafari, 28-Ehsan Hajysafi, 30-Hossein Papi.

Serangan: 13-Mahmoud Karimi, 14-Kabir Bello (Nga), 20-Emad Mohammed (Irq), 23-Seyed Mohamad Salehi, 26-Jalalaldin Ali Mohamadi.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768