Pertembungan Muhaimin, Emir makin memuncak


TIDAK seperti kelas Expert yang sudah menemui juaranya seawal pusingan kelapan dan kelas Novis yang seakan sudah pasti siapakah sang juara, kelas Wira epg masih menantikan pemenangnya sehingga ke pusingan terakhir di Kangar, hujung minggu ini.

Selepas aksi awal musim didominasi pelumba Motul KMC YY Pang, Md Emir Firdaus Hasan yang tampak gagah selaku pelumba antara paling berpengalaman tahun ini, muncul pelumba muda, Abd Muhaimin Roslan membantutkan usaha Emir mencatat kemenangan.

Lebih dari itu, pelumba Shell Advance Maju Motor itu kini mendahului carta pungutan mata keseluruhan selepas memintas Emir di pusingan kesembilan di Sepang, dua minggu lalu seterusnya berada di depan dengan empat mata, kelebihan kecil yang perlu dipertahankan sebelum aksi di Kangar.

Hanya 25 mata lagi ditawarkan dalam kelas berkenaan sebagai juara dan kedua pelumba itu menyedari, jika seorang daripada mereka berada di belakang, bermakna mereka boleh menutup musim ini dengan penuh duka ketika kejuaraan sudah semakin hampir berada di depan mata.

Bagi Muhaimin, dia gembira kini selepas jenteranya semakin mantap dan menyamai pelumba-pelumba lain kelas berkenaan seperti yang dibuktikan di Sepang, dua minggu lalu tetapi dia masih waspada kerana semuanya tidak boleh dijangka dalam perlumbaan seperti Cub Prix.

“Saya akan cuba habis-habisan, saya nekad untuk mencipta kejayaan di Kangar,” kata Muhaimin yang kecewa gagal tampil di final tahun lalu di Kangar kerana masalah motosikal.

Muhaimin turut menolak tanggapan bahawa dia adalah pelumba pilihan dalam kelas berkenaan berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan dia kini mengungguli saingan selepas lapan perlumbaan cuba mengatasi Emir.

“Jika diikutkan Emir pasti diletakkan pilihan kerana dia berlumba di tempat sendiri. Saya tahu saya perlu menamatkan perlumbaan di depannya. Seperti di Sepang, saya sendiri tidak tahu siapakah yang mampu menang, sejak mula hingga ke pusingan kelapan kami sentiasa bersaing.

“Saya jangka perkara sama akan berlaku di Kangar, cuma kali ini mungkin Shahril (Izzuwan) susah sedikit kerana trek lebih sempit, Emir lebih bagus di litar banyak selekoh seperti itu,” kata pelumba berasal dari Klang, Selangor itu.

Perlumbaan di Sepang pula disifatkan Emir bukanlah perlumbaan terbaik pernah dilaluinya kerana dia merasakan dia tidak berlumba seperti yang biasa dilakukannya sehingga dia banyak melakukan kesilapan, sesuatu yang harus dielakkannya hujung minggu ini.

“Di Sepang, itu bukanlah diri saya yang sebenarnya, seperti orang lain yang bawa motosikal, memang kelam kabut,” katanya sambil menjelaskan tekanan menyebabkan dia tidak dapat beraksi seperti kebiasaannya.


MUHAIMIN (96) boleh merampas kedudukan di Kangar.

Tambahnya, catatan masa yang dilakukan pada sesi ujian masa lebih tiga saat pantas berbanding final menceritakan betapa dia tertekan berdepan saingan dari segala penjuru untuk menuju ke garisan penamat perlumbaan kedua terakhir dalam sirkit musim ini.

Bagaimanapun, pelumba berasal dari Kangar itu berazam untuk tidak mengulangi kesilapannya itu dan mahu berlumba dengan lebih tenang di depan penyokong tempat sendiri yang sentiasa memberikan sokongan buatnya sejak terbabit dalam perlumbaan dua tahun lalu.

“Sasaran saya hanya Muhaimin, saya juga tahu dia ada kelemahan dan saya akan gunakannya sebaik mungkin. Di Kangar sentiasa ada banyak tekanan seperti berlaku tahun lalu. Mungkin dulu saya kurang pengalaman kerana kali pertama berlumba di sana tetapi tidak kali ini,” katanya.

Emir gagal dalam usahanya meraih kemenangan di Kangar, dia yang ketika itu mendahului dengan selesa terpaksa berpuas hati di tempat kelima apabila gagal mengawal motosikalnya dan terjatuh lantas memberikan kemenangan kepada Md Ridwan Bakri.

Musim ini juga adalah yang terakhir buat Emir kerana dia sudah menandatangani kontrak baru bersama pasukannya untuk berlumba dalam kelas Novis tahun depan dan pastinya kemenangan adalah hadiah terbaik buatnya musim ini selepas hanya berkedudukan kedua keseluruhan musim lalu.



FAKTA
KEDUDUKAN

1 Abd Muhaimin Roslan (Shell Advance Maju) - 155 mata
2 Md Emir Firdaus Hasan (Motul KMC YY Pang) - 151 mata
3 Shahril Izzuwan Md Noor (Mingguan Sukan UZ DPP Racing) - 128 mata
4 Md Farid Ahmad (Mingguan Sukan UZ DPP Racing) - 100 mata
5 Md Adli Salihin (persendirian) - 86 mata

DATA
MD EMIR FIRDAUS HASAN
UMUR: 18 tahun
ASAL: Perlis
MULA BERLUMBA: 2005
PASUKAN: Motul KMC YY Pang
KELAS PERLUMBAAN: Wira epg
MOTOSIKAL: Yamaha
PENCAPAIAN:
2005 - ke-27 keseluruhan Wira epg
2006 - kedua keseluruhan Wira epg
PRESTASI 2007:
Kedua di Litar Kluang
Juara di Litar Sepang
Juara di Kuantan
Juara di Kota Bharu
Tidak menamatkan perlumbaan di Litar Kuching
Kedua di Litar Sabah
Kedua di Litar Taiping
Tidak menamatkan perlumbaan di Batu Kawan
Ketiga di Litar Sepang

FAKTA
ABDUL MUHAIMIN ROSLAN
UMUR: 16 tahun
ASAL: Klang, Selangor
MULA BERLUMBA: 2005
PASUKAN: Shell Advance Maju
KELAS: Wira epg
JENTERA: Yamaha
PENCAPAIAN:
2006 - kelima keseluruhan Wira epg
PRESTASI 2007:
Tidak menamatkan perlumbaan di Litar Kluang
Ketiga di Litar Sepang
Kedua di Litar Kuantan
Kedua di Litar Kota Bharu
Ketujuh di Litar Kuching
Juara di Litar Sabah
Juara di Litar Taiping
Kedua di Litar Batu Kawan
Kedua di Litar Sepang


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768