'Orang lama' majukan Cub Prix



SENTIASA mahukan perubahan untuk tingkatkan
kualiti perlumbaan Cub Prix.

Sam Hogg berpengalaman sejak 1969 bantu cari idea terbaik setiap tahun majukan perlumbaan, ketengahkan pelumba ke tahap tertinggi

MUSIM perlumbaan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta sudah semakin hampir untuk ditamatkan dengan hanya dua lagi perlumbaan di Sepang dan Perlis akan dilangsungkan bagi melengkapkan jumlah 10 pusingan perlumbaan tahun ini.

Seiring dengan itu, epg sempat menemubual Pengarah Urusan Safe Aim Mutual Sdn Bhd yang juga penganjur kejohanan, saudara Sam Hogg yang juga ‘orang lama’ sukan permotoran tanah air untuk mendengar pandangannya mengenai aspek perlumbaan awal Cub Prix yang sudah mencecah usia 13 tahun ketika ini selain perancangan utama mahu dilakukannya pada musim depan.

epg: Mungkin kita boleh mulakan dengan pengalaman saudara melihat perkembangan sukan ini sejak lama dulu, bagaimana sukan ini berkembang?

SAM HOGG (SH):
Saya sudah bermula dengan perlumbaan pada 1969 di Litar Batu 3 Shah Alam, pada ketika itu saya perhatikan pelumba kita hanya berbekalkan bakat tetapi tiada sokongan, betul-betul kerana minat sendiri tidak seperti sekarang yang ada pasukan dan penaja besar.

Dari Batu 3 dan zaman 70-an memperlihatkan mula wujudnya perlumbaan jalanan tetapi ia lebih tertumpu kepada go-kart dan motorcross dan 10 tahun selepas itu ada perlumbaan satu pengeluar yang membabitkan Yamaha, Suzuki dan Honda.

Ia dibuat di litar jalanan seperti di Port Dickson, Langkawi, Terengganu dan juga Pulau Pinang dan dari situlah sukan ini berkembang sehingga kini dan melalui pelbagai fasa.

epg: Bagaimana idea wujud untuk memulakan perlumbaan Cub Prix?

SH:
Pada 1993 ketika itu hanya setakat perbincangan di kedai kopi apabila apabila saya dapat idea untuk memulakan perlumbaan secara terbuka, ketika itu semua perlumbaan dijalankan berasingan dan kita tidak tahu siapa yang bagus.

Marlboro hadir sebagai penaja pada 1994 dan kita sediakan pagar dan peralatan lain untuk perlumbaan dan perlumbaan pertama dilangsungkan di Melaka Raya dan pada tahun itu kita ada enam pusingan yang menerima penyertaan pengeluar seperti Suzuki, Yamaha dan Honda tetapi semua pelumba beraksi menerusi kategori persendirian.


SAM kini mampu berbangga dengan apa
yang sudah dikecapinya.

epg: Bagaimana dengan undang-undang dan peraturannya?

SH:
Apa yang penting ialah penggunaan motosikal yang adil untuk semua selain undang-undang asas Persekutuan Automobil Malaysia (AAM). Kita memberi penekanan kepada tiga faktor iaitu kapasiti enjin, karburator dan berat motosikal. Satu lagi perkara ialah kita tidak membenarkan pengubahsuaian kerangka motosikal.

epg: Bagaimana dengan sambutan pelumba dan kualiti yang dipamerkan?

SH:
Pada ketika itu kita dapat penyertaan antara 50-60 pelumba pada satu-satu pusingan dan dari segi kualiti, saya mahu katakan bagus tidak boleh kerana mereka tiada latihan asas teknikal, ketika itu tiada orang yang membimbing, mereka tiada pasukan dan hanya dapat bantuan motosikal daripada bengkel motosikal. Ramai antara mereka berusia lingkungan 25 tahun, paling muda 22 tahun. Memang pada ketika itu tiada pelumba usia belasan tahun, nak naik basikal pun orang masih takut lagi inikan pula berlumba motosikal.

epg: Apa yang dapat dihasilkan selepas itu terutama untuk mewujudkan pelumba lebih baik di peringkat lebih tinggi?

SH:
Buat pertama kalinya juga selepas itu iaitu pada 1994 kami memilih enam pelumba terbaik daripada pusingan perlumbaan Cub Prix untuk dihantar mempelajari aspek teknikal dengan Sekolah Kejurulatihan Kenny Robert di Sepanyol yang mendapat bantuan Marlboro.

Pada ketika itu lima yang dipilih seperti Alizan Tambi, Yaser Said, Kuan Meng Chin, Chia Tuck Cheong dan Md Hisham Ngadin. Pada 1995, Wazi Abdul Hamid dan M Meganathan pula pula ikut bersama kumpulan berikutnya .

Menerusi program itu kita membayar semua perbelanjaan mereka dan ia begitu mahal kerana kita perlukan RM35,000 utuk seorang peserta bagi latihan selama dua minggu. Kita hanya sempat buat program itu selama dua tahun dan selepas zaman kemelesetan ia terus berkubur.

epg: Bagaimana saudara melihat kemasukan pelumba muda ketika ini berbanding satu ketika dulu?

SH:
Selepas kelas Wira diperkenalkan, ramai pelumba muda mula menyertai perlumbaan ini, sebelum itu tiada pelumba berumur 13 hingga 14 tahun. Ia gambaran yang bagus kerana di negara luar ramai pelumba sudah bersedia seawal usia 13 tahun kerana peraturan lama hanya membolehkan mereka berlumba ketika berusia 15 tahun dalam kejohanan motosikal dunia, apabila sudah sampai waktu mereka terus dapat berlumba dan menyesuaikan diri.

epg: Namun kita masih tiada pelumba kecuali Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang pernah berlumba dalam kejohanan motosikal dunia.

SH:
Memang objektif kami untuk memiliki pelumba dalam GP Dunia. Kita ada kemudahan, kita ada trek yang bagus, semua kita ada. Apa yang kita kurang ialah sumber, tiada siapa yang mahu menjadi pendahulu bagi menjadikan ia kenyataan.

Saya sebenarnya kecewa apabila melihat negara jiran seperti Thailand yang tiada trek tetapi mampu memiliki pelumba dalam kelas 250cc, Indonesia sudah ada pelumba dalam GP Dunia. Kita ada tiket ‘wild card’ tetapi kita bagi orang lain, ia menampakkan elemen yang tidak bagus dan kita tidak menggunakan peluang yang ada.

epg: Saudara sering memperkenalkan idea baru untuk memperkemaskan perlumbaan ini setiap tahun terutama berkaitan aspek keselamatan, mungkin ada sesuatu yang baru untuk musim depan?

SH:
Memang setiap tahun saya mahu memperkenalkan sesuatu yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Saya tahu saya boleh berjimat dan tidak payah membeli beg udara ataupun trak untuk perubatan tetapi bagi saya apa yang penting ialah keselamatan dan nyawa pelumba.

Apa yang saya pelajari ialah, apabila berlaku kemalangan tempoh paling kritikal ialah 10 minit pertama kerana itulah saya mahu memperlengkapkan semuanya supaya mereka akan selamat dan sekurang-kurangnya akan dapat bantuan kecemasan dengan seberapa segera.

Kerana itu tahun ini saya sedang berusaha untuk mendapatkan hospital panel khusus untuk perlumbaan ini kerana pengalaman sebelum ini sedikit mengecewakan kita.

epg: Mungkin bantuan perubatan yang kurang sempurna?

SH:
Ya, pada perlumbaan di Baru Kawan lalu, seorang pelumba Mohd Sharul Basharudin cedera dan dia dihantar ke hospital tetapi pihak hospital tidak dapat memberikan batuan secukupnya dan dia dihantar ke sana-sini untuk diberi rawatan, kerana itu saya terfikir untuk mencari hospital swasta bagi menjadi panel kami kerana kami sedar pada hujung minggu pada kebiasaannya hospital kerajaan kekurangan kakitangan.

Kita juga mahu lebih ramai doktor pakar ditempatkan ketika perlumbaan dan saya dalam perancangan untuk membeli mesin X-Ray untuk ditempatkan di trak perubatan tetapi tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan, kami akan merayu lagi selepas ini.

Selain itu kami juga akan bekerjasama dengan syarikat Intel bagi menyediakan perkhidmatan internet yang membolehkan kami berinteraksi di mana-mana saja selain boleh untuk kegunaan tele-perubatan.

DATA

SAM HOGG
USIA: 62 tahun
ASAL: Muar, Johor
JAWATAN: Pengarah Urusan Safe Aim Mutual Sdn Bhd
MULA TERBABIT SUKAN PERLUMBAAN:
1969 (sebagai marsyal)
1975/76 (pelumba rali)
1994 (menganjurkan Cub Prix)


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768