Hilang fokus punca gagal



30 tahun berlalu, episod sama terus hantui pemain negara cuba berdiri megah di pentas dunia

KEMARAU kejayaan sejak 30 tahun lalu terus berpanjangan apabila seorang demi seorang pemain badminton negara gugur dalam perjuangan masing-masing memburu gelaran sulung Kejuaraan Badminton Dunia di Stadium Putra yang berakhir Ahad lalu.

Menjelang kejohanan, pelbagai pihak menyuarakan keyakinan Malaysia mampu menamatkan kemarau itu berikutan prestasi semasa pemain selain persediaan rapi yang sudah dipersiapkan.

Malah, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Nadzmi Salleh menegaskan, persiapan itu adalah yang terbaik pernah disediakan untuk pemain badminton negara bagi menghadapi mana-mana kejohanan.

Dengan menyandarkan pemain perseorangan seperti Lee Chong Wei, Hafiz Hashim dan Roslin Hashim serta Wong Mew Choo selain gandingan Khoo Kien Keat-Tan Beng Heong, Lee Tan Fook-Lee Wan Wah serta pasangan muda Mohd Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakri Latif, namun semua cabaran itu terkubur.

Mungkin ada sinar bagi perseorangan wanita, apabila Mew Choo melangkah ke peringkat suku akhir yang menjadi pencapaian tertinggi wanita negara dalam Kejuaraan Dunia.

Malah, lebih membanggakan, Mew Choo berjaya membenamkan Xie Xingfang, pemain perseorangan wanita China yang juga berusaha untuk mencatat hatrik dalam kejuaraan dunia.

Pasangan veteran negara, Tan Fook-Wan Wah pula sekadar mara ke separuh akhir acara beregu lelaki selepas tewas kepada muka lama dari Jepun, Shuichi Sakamoto-Shintaro Ikeda.

Mengulas mengenai perkembangan ini kebanyakan pegawai dan jurulatih menegaskan, pemain Malaysia sebenarnya tidak mempunyai sebarang kekurangan fizikal, teknikal dan strategi ketika berdepan dengan pemain lain.

“Namun kita melihat mereka sering kehilangan fokus ketika permainan sama ada sewaktu ketinggalan lebih-lebih lagi sewaktu mendahului. Selain itu, perasaan gemuruh atau gugup berdepan dengan lawan lebih ternama selain hiruk pikuk penyokong tempatan turut menjejaskan tumpuan mereka,” kata seorang pegawai BAM.

Kenyataan ini turut diakui Mew Choo yang menyatakan, sewaktu turun menentang pilihan kedua kejohanan dari China itu, dia hanya memfokuskan untuk mempamerkan persembahan menarik.

“Apabila kita turun ke gelanggang dengan perasaan sedemikian, kita dapat bermain dengan baik tidak kira siapa musuh kita. Ketika itu saya hanya ingin memastikan dapat membalas setiap pukulan dan memastikan bulu tangkis masih dalam permainan selain cuba mematikan servis lawan.

“Namun dalam aksi suku akhir, tumpuan saya mula hilang apabila melakukan kesilapan demi kesilapan sedangkan perkara itu sudah ditekankan semasa latihan. Keadaan lebih buruk apabila lawan sudah mendapat mata jauh di depan sehingga menyukarkan kita bangkit melawan,” katanya sesudah tewas kepada pemain China, Zhu Ling di suku akhir.

Hakikat yang sama diluahkan ketua jurulatih BAM, Yap Kim Hock dan jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky.

“Pemain negara tidak benar-benar fokus ketika dalam permainan dan mereka kelihatan kosong ketika menentang lawan. Perkara ini perlu diatasi segera jika mahu melihat pemain kita meraih gelaran dunia,” hamburnya selepas menyaksikan gandingan utama negara, Khoo Kien Keat-Tan Beng Heong tewas dalam saingan pusingan ketiga.

Nasihat Misbun Sidek yang menjadi jurulatih untuk Chong Wei, Hafiz dan Hashim perlu ditelan bukan saja oleh pemain badminton tetapi seluruh atlit negara.

“Apabila turun ke gelanggang, hanya diri mereka yang boleh mencipta segala kejayaan dan terserah kepada mereka untuk mempraktikkan segala tunjuk ajar dan persiapan yang diberikan sebelum ini.

“Semuanya terletak di tangan pemain kerana mereka yang mencorakkan nasibnya dalam kejohanan.

“Mereka juga perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk menang dengan mengadakan latihan tambahan atau persiapan tambahan lain. Bagaimanapun, apa yang pasti jika mereka tewas, jurulatih juga turut gagal,” katanya.

Pencapaian pemain negara

Perseorangan lelaki

Lee Chong Wei - pusingan ketiga (kk Sony Dwi Kuncoro 21-11, 21-9);
Hafiz Hashim - pusingan ketiga (kk Anup Sridhar 21-19, 18-21, 21-15);
Roslin Hashim - pusingan kedua (kk Chen Jin 22-20, 21-11);
Lee Tsuen Seng - pusingan kedua (kk Bao Chunlai 21-14, 18-21, 21-18)

Perseorangan wanita
Wong Mew Choo - suku akhir (kk Zhu Lin 21-17, 13-21, 21-16);
Julia Wong - pusingan kedua (kk Maria Kristin Yulianti 16-21 21-14 21-18);
Lydia Cheah - pusingan pertama (kk Tracey Hallam 21-16, 19-21, 21-11)

Beregu lelaki
Choong Tan Fook-Lee Wan Wah - separuh akhir (kk Markis Kido-Hendra Setiawan 22-20, 28-26);
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong- suku akhir (kk Shuichi Sakamoto-Shintaro Ikeda 21-13, 17-21, 25-23);
Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif -pusingan kedua (kk Guo Zhengdong-Xie Zhongbo 21-14, 21-13);
Tan Bin Shen-Ong Soon Hock- pusingan pertama (kk Tadashi Ohtsuka-Keita Masuda 21-14, 21-8)

Beregu wanita
Wong Pei Tty-Chin Eei Hui - suku akhir (kk Yang Wei-Zhang Jiewen 22-20, 21-12);
Fong Chew Yen-Mooi Hing Yau - pusingan kedua (kk Kumiko Ogura-Reiko Shiota 15-21, 21-13, 21-11);

Beregu campuran
Chan Peng Soon-Haw Chiou Hwee - pusingan ketiga (kk Zheng Bo-Gao Ling 21-14, 21-13);
Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei - pusingan kedua (kk Anthony Clark-Donna Kellogg 21-11, 21-15);
Tan Bin Shen-Ooi yu Hang - pusingan kedua (kk Muhammad Rijal-Greysia Polii 21-11, 21-13)


Diri musuh utama pemain

KEKALAHAN pemain beregu negara utama, Khoo Kien Keat-Tan Beng Heong, Lee Tan Fook-Lee Wan Wah serta pasangan muda Mohd Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakri Latif dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dilihat sebagai suatu yang tidak patut berlaku.

Wartawan epg sempat menemuramah jurulatih beregu negara Rexy Mainaky yang mengulas mengenai faktor utama kekecewaan mereka dalam Kejuaraan Badminton Dunia di Stadium Putra, Ahad lalu.

epg: Bagaimana anda melihat satu demi satu beregu negara tewas.

REXY MAINAKY (RM):
Ya, jika mahu dikatakan kecewa, memang benar. Kami amat kecewa kerana kita gagal mencapai matlamat kita untuk melihat pemain kita beraksi di final kejuaraan dunia malah buat kali pertama selepas 30 tahun, kita menggondol piala itu. Kelihatan kini kita terpaksa menunggu lagi dua tahun untuk sekali lagi mencuba.

epg: Apakah ini bermakna persiapan kita belum mencukupi.

RM:
Sebenarnya, persediaan kita sudah cukup bagus kerana kita sudah mulai menjalankan latihan dan menyediakan program untuk mereka sejak sekian lama. Namun pemain kita kelihatan gagal menterjemahkan semua itu dengan kejayaan.

epg: Apa sebenarnya punca atau kelemahan kita.

RM:
Saya melihat kelemahan yang perlu kita perbaiki atau faktor utama menyebabkan kita tewas bukan disebabkan kita tidak cukup bersedia. Kita tewas kerana individu pemain itu sendiri. Mereka kelihatan kurang keyakinan diri. Faktor ini menyebabkan mereka sering melakukan kesilapan ketika di gelanggang permainan.

Saya melihat mereka sebenarnya tidak mempercayai kemampuan diri mereka sendiri. Mereka sebenarnya adalah pemain yang baik dan mampu muncul juara tetapi faktor ini menjadi penghalang.

epg: Bagaimana dengan faktor lain.

RM:
Kita juga mendapati pemain ini tidak bertanggungjawab. Apabila tewas mereka sering menyalahkan orang lain umpama Fairuzizuan yang berkata mereka tewas kerana tidak dapat memberi perhatian kerana gangguan penonton.

Ini sebenarnya bukan alasan untuk mereka, kerana sebagai pemain mereka seharusnya sudah siap menghadapi apa juga rintangan. Sikap bertanggungjawab ini juga bermakna mereka perlu menghitung semula diri sejurus selepas menang atau tewas.

Namun apa yang berlaku mereka tidak lagi menghiraukan permainan apabila menang dan tidak juga menghitung kesilapan diri selepas tewas. Sejam selepas permainan mereka sudah kembali bergembira tanpa ada rasa bersalah dalam diri.

Pemain perlu ada sikap tanggungjawab ini dan mereka juga perlu jujur. Jujur mengaku kurangnya latihan menjadi punca mereka tewas. Mengaku bahawa mereka kurang cukup bersedia untuk berdepan dengan lawan menjadi sebab kalah.

Bagaimanapun ini tidak berlaku, malah mereka menuding jari ke arah orang lain pula. Saya merasa hairan melihat keadaan pemain seperti ini.

epg: Ini juga bermakna bahawa pemain kita kurang siap dari segi mental dan tiada daya juang.

RM:
Memang, sebagai pemain kita umpama askar di medan perang. Jika kita tidak cukup bersedia, orang lain akan menembak kita dan apabila sudah di medan tempur, siap atau tidak, kita mesti terus berjuang.

Keadaan ini tidak berlaku pada pemain kita. Mereka mudah rasa puas apabila mendahului lawan sedangkan permainan belum lagi selesai. Ini terjadi kepada gandingan Tan Fook-Wan Wah kerana ketika sudah mendahului pemain Jepun, mereka sudah hilang tumpuan kerana berasa diri sudah mampu menang tetapi akhirnya terperangkap.

Apabila lawan memberi tentangan yang sengit mereka sudah menjadi kelam kabut dan hilang semangat melawan. Ini berlaku pada pasangan Khoo dan Tan. Mereka menjadi kelam kabut dan sering melakukan kesilapan apabila melihat pemain Jepun memberikan tentangan.

Sebenarnya pemain Jepun itu, Shuichi Sakamoto-Shintaro Ikeda bukan tandingan pemain kita tetapi atas sebab daya juang mereka yang tinggi, gandingan negara mata hari terbit ini mampu menewaskan kita.

epg: Jadi kesimpulannya pemain kita tidak cukup bersedia dari segi mental.

RM:
Tepat. Ketahanan mental mereka amat rapuh dan ini punca kita tewas. Aspek lain kita kelihatan kukuh tetapi jika pemain tidak kuat mentalnya, mereka pasti dapat diratah oleh sesiapa saja.

epg: Bagaimana kita mahu memperbetulkan keadaan ini. Apakah perlu mereka dihantar menjalani kem bina semangat untuk mempersiapkan diri mereka ini.

RM:
Jika diikutkan rasa geram, itu mungkin penyelesaiannya. Tetapi jika dihantar ke kem bina semangat tetapi mereka masih tetap enggan memperbaiki diri, ia tidak akan berguna.

Jadi saya terpaksa merubah corak latihan.

Mereka tidak lagi diberikan latihan dua kali sehari tetapi kini perlu bangun bermula jam 6 pagi untuk sesi latihan tiga kali sehari. Paginya mereka akan dikerah menjalani latihan fizikal sehingga jam 8.30 pagi sebelum kembali ke gelanggang pada jam 10 hingga jam 2 petang. Jam 4 mereka dikerah lagi menjalani latihan fizikal.

Tujuannya cuma satu, iaitu mahu memperkuatkan mereka, fizikal dan mental. Mungkin ada yang mengeluh kerana terpaksa bangun awal pagi tetapi kelihatan ini yang perlu diberikan kepada mereka.

epg: Harapnya latihan tubi sebegini dapat memberi hasil positif, terutama ketika negara mengharapkan badminton menghadiahkan pingat pada sukan Olimpik.

RM:
Ya begitu yang kita harapkan tetapi apakah itu kemahuan pemain. Jika mereka benar-benar mahu, pasti mereka sedia merubah diri.

epg: Terima kasih Rexy
RM:
Sama-sama

DATA
REXY MAINAKY
NAMA SEBENAR: Rexy Ronald Mainaky
TARIKH LAHIR: 9 Mac 1968
ASAL: Ternate, Indonesia
JAWATAN: Jurulatih beregu negara
MULA BERKHIDMAT DENGAN BAM: 2005
PENCAPAIAN:
Juara Dunia 1995
Juara Seluruh England 1995, 1996
Juara Sukan Olimpik 1996
Juara Sukan Asia 1994, 1998
Juara Kejohanan Badminton Asia 2000
Juara Piala Thomas 1994, 2000

PENCAPAIAN BEREGU UTAMA NEGARA 2007

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong
- Juara Terbuka Malaysia
- Separuh akhir Terbuka Korea Selatan
- Juara Seluruh England
- Juara Terbuka Switzerland
- Naib juara Kejohanan Badminton Asia
- Pusingan pertama Terbuka Singapura
- Separuh akhir Terbuka Indonesia
- Suku Akhir Kejuaraan Dunia

Choong Tan Fook-Lee Wan Wah
- Pusingan pertama Terbuka Malaysia
- Suku akhir Terbuka Korea Selatan
- Suku akhir Seluruh England
- Pusingan pertama Terbuka Switzerland
- Juara Kejohanan Badminton Asia
- Naib Juara Terbuka Singapura
- Suku akhir Terbuka Indonesia
- Separuh akhir Kejuaraan Dunia

Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif
- Separuh akhir Kejohanan Badminton Asia
- Suku akhir Terbuka Singapura
- Naib juara Terbuka Indonesia
- Pusingan kedua Kejuaraan Dunia


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768