Pulang ke pangkal jalan


Kembali ke status amatur mungkin dapat menyelamatkan bola sepak Malaysia

KATA orang, kita harus belajar daripada pengalaman. Kerana merenung kembali ke belakang adalah pengajaran terbaik supaya kita tidak mengulangi kesilapan lalu ketika mahu melangkah lebih yakin ke hadapan.

Lantas, saranan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad, supaya bola sepak negara berpatah ke status amatur - biarpun dianggap idea mengarut oleh pelbagai pihak - adalah ingatan betapa tiada gunanya terus melangkah jika destinasi yang dituju, bukan lagi matlamat yang mampu menjelmakan keputusan memuaskan.

"Ketika bola sepak negara mengorak langkah penting pada 1989, ianya dibuat dengan sasaran supaya liga tempatan mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada pemain dan jurulatih selain membuka dimensi baru kepada pembabitan penaja-penaja.

"Ia juga demi memastikan kita mampu menghasilkan skuad kebangsaan yang mantap, dibarisi pemain dengan sikap dan kemampuan memuaskan," katanya yang berperanan penting selaku setiausaha kepada kumpulan khas pegawai diberi tanggungjawab merealitikan pengenalan Liga Profesional pada 1989 lalu.

Ketika ini, Mazlan menuding kepada bukti kehambaran prestasi skuad negara serta pengendalian pasukan diganggu pelbagai masalah kewangan dan pentadbiran, selaku bukti betapa sasaran ditetapkan sebelum ini, ternyata gagal mencapai matlamatnya.

Semestinya, Persatuan Bola SEpak Malaysia (FAM) tidak wajar takut untuk mengakui kegagalan itu. Pengakuan betapa kita gagal adalah langkah mula untuk memastikan aturan langkah seterusnya, mampu lebih berjaya. Mazlan jelas percaya kepadanya, dan FAM sepatutnya lebih bijak untuk turut menurutinya.

Pendapat Mazlan turut seiring dengan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi yang menyifatkan FAM cuba melaksanakan semua tugas secara serentak hingga hilang fokus kepada tugas utama yang perlu dilakukannya.

Bagi Kok Chi, harus menggariskan dengan jelas apakah peranan mereka, tanggung jawab persatuan negeri, kelab dan sekolah-sekolah. Jika peranan ini diperjelaskan maka adalah mudah untuk mereka menjalankan program untuk menyelamatkan bola sepak negara.

“Ketika ini tugas atau skop FAM terlalu besar daripada menguruskan skuad bola sepak kebangsaan, liga, membantu pasukan negeri dan juga menjaga akademi bola sepak yang sepatutnya dilakukan pihak lain,” kata Kok Chi.

“Apabila skop atau bidang tugas ini terlalu besar, mereka akan kehilangan tumpuan kepada apa sebenarnya peranan dan tanggung jawab badan induk itu.

“FAM harus menggariskan dengan tepat peranan mereka dan tanggung pihak lain seperti persatuan negeri dan sekolah-sekolah dan mungkin perlu untuk melihat kepada struktur pada masa lalu yang membawa kepada kejayaan untuk pasukan kebangsaan,” katanya.

Hakikatnya untuk melakukan perubahan bukannya mudah tetapi melakukan tugas yang besar. Tetapi jika FAM dapat menerima hakikat betapa mereka gagal dalam membangunkan bola sepak negara adalah langkah pertama kepada pembaharuan yang dituntut.

Kadang kala teguran dan kritikan amat pedih tetapi demi masa depan bola sepak Malaysia, FAM perlu berusaha untuk meneliti cadangan yang diberikan dan tidak memandang sinis.

FAKTA
Persatuan Bola Sepak Malaysia


Diasaskan: 1933
Presiden Pertama: Sir Andree Caldecott
Sejarah:
1926: Penubuhan Persatuan Bola Sepak Tanah Melayu (MFA)
1933: MFA dihidupkan kembali dan ditukar kepada FAM
1940: FAM berpindah ke Tanah Melayu
1954: Ahli gabungan AFC
1956: Ahli gabungan FIFA
Presiden FAM selepas perang: J King
H Byson
Dr C Rawson
1951: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
1974: Tun Abdul Razak Hussein
1976: Tan Sri Seri Setia Raja Hamzah Haji Abu Samah
1984: Sultan Ahmad Shah


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768