Amirul bagai mati hidup semula



Jaguh angkat berat guna peluang mahu kali kedua untuk pulih nama dan buktikan kemampuan

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah gambaran betapa penggantungan selama dua tahun terhadap badang negara, Amirul Hamizan Ibrahim mendatangkan pelbagai keperitan buatnya bagi kembali semula ke puncak.

Namun selepas mendapat kembali ‘lesen’ bagi menyertai acara kegemarannya itu, Amirul membalas pandangan serong terhadapnya dengan memecah rekod kebangsaan dalam kategori 62 kilogram memberi bayangan bahawa dia masih memiliki kudrat sama seperti ditunjukkannya ketika menjuarai tiga emas pada temasya Komanwel 2002.

Jelas keupayaannya memadam rekod lama miliknya sendiri 147kg apabila mengangkat 150kg bukanlah hadir dengan mudah apatah lagi selepas dua tahun dia terumbang-ambing gara-gara penggunaan dadah sehingga hampir melenyapkan kariernya.

“Tempoh dua tahun itu memang perit, jika tidak kuat semangat pasti akan tewas. Bayangkan setiap kali saya hendak berlatih, ada wujud perasaan dalam hati ‘buat apa saya hendak berlatih, saya bukannya akan menyertai pertandingan’.

“Tapi saya kuatkan hati dan mahu membersihkan nama saya dan tidak mahu karier saya berkubur dengan nama buruk yang tidak mudah dilupakan orang,” katanya.

Kerap kali timbul perasaan terkilan dan menyesal di fikirannya apatah lagi melihat rakan-rakan menyertai pertandingan sedangkan dia hanya berlatih sendirian sambil memikirkan nasibnya di masa depan selepas tamat penggantungan.


“Saya sentiasa mengikuti perkembangan sukan ini terutama pada Sukan Komanwel di Melbourne, ketika itu saya terfikir kenapa saya jadi begini, saya sedih apabila melihat angkatan peserta di sana kerana saya mampu melakukannya lebih baik dalam latihan,” katanya.

Namun badang kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu kini berazam memadam kedukaan lama dan melupakan segala kepayahan dihadapinya dulu bagi mencari sesuatu yang lebih berharga daripada bergelar yang terbaik pada Sukan Komanwel.

Bagi Amirul dia mahu membuktikan atlit Malaysia dan anak Melayu mampu berada setaraf dengan atlit ternama dunia yang lain malah boleh berada di rangking tertinggi jika disertai usaha gigih dan semangat tidak mahu mengalah.

Bagaimanapun kesilapan lalu terus menjadi ingatan buatnya dan ketika ia dia seakan ‘fobia’ untuk menerima segala makanan atau apa-apa bahan ketika bertanding kerana bimbang pisang akan berbuah buat kali kedua.

“Saya sangat bimbang jika tersalah makan, saya amat berhati-hati sekarang, biarlah perut lapar dan dahaga sekalipun tetapi saya perlu mengambil berat semua perkara itu. Saya sedar jika saya sekali lagi didapati mengambil bahan terlarang, saya akan digantung seumur hidup,” katanya.

Selepas melalui semua kesukaran, sasaran Amirul kini terarah kepada usaha mendapatkan tiket ke Sukan Olimpik dan laluan buatnya akan terbuka pada Kejohanan Dunia di Thailand, Oktober ini.

“Walaupun saya sudah mencipta rekod kebangsaan tetapi saya masih tidak berpuas hati, catatan itu masih jauh dan negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sedang meningkat dengan mendadak dalam acara ini, kerana itu saya perlu berusaha dengan lebih kuat,” katanya.

DATA

AMIRUL HAMIZAN IBRAHIM
UMUR: 26 tahun (3 Disember 1981)
ASAL: Kuala Rompin, Pahang
TINGGI: 161sm
BERAT: 62kg
ACARA: 62kg
CATATAN TERBAIK:
- 117kg: Snatch
- 150kg: Clean&Jerk
PENCAPAIAN:
Tiga pingat emas Sukan Komanwel Manchester 2002

KRONOLOGI MEMBABITKAN AMIRUL

  • FEBRUARI 2005

    - Sampel A air kencing Amirul dikesan Agensi Anti Doping Dunia (Wada) mengandungi anabolic steroid iaitu sejenis dadah perangsang yang diharamkan penggunaannya dan ujian ke atas sampel B sekadar mengesahkan wujudnya kandungan bahan itu sewaktu menyertai satu kejohanan tempatan.

  • JUN 2005

    - Amirul disahkan menggunakan bahan terlarang namun statusnya masih samar berikutan tiada pengumuman rasmi Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM)

    - Majlis Sukan Negara (MSN) mengeluarkan Amirul daripada senarai atlit program khas Gemilang 2006 selepas ujian air kencingnya didapati positif dan dia juga tidak lagi menikmati sebarang sokongan latihan di gelanggang latihan di Bukit Jalil dan juga segala bantuan yang diberikan ditarik balik.

  • JULAI 2005

    - Amirul tetap bertegas dia tidak mengambil sebarang dadah rangsangan untuk kepentingan diri dan sebarang ubat-ubatan semuanya diperoleh daripada Institut Sukan Negara (ISN).

  • OGOS 2005

    - Amirul digantung secara rasmi selama dua tahun daripada semua kejohanan tempatan dan antarabangsa selepas siasatan mendapati dia gagal sesi ujian dadah dan penggantungan selama dua tahun dikenakan bermula dari tarikh ujian air kencing pada 7 Februari 2005 dan akan dimaklumkan kepada badan induk antarabangsa angkat berat dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

  • SEPTEMBER 2005

    - Kes kegagalan ujian air kencing membabitkan Amirul dan tiga lagi atlit olahraga dibawa pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan bagi tujuan mendapat maklumat bagaimana atlit berkenaan terbabit dengan dadah larangan.

  • JANUARI 2006

    - Amirul meminta tempoh penggantungannya dapat dikurangkan tetapi tidak kesampaian.

  • FEBRUARI 2007

    - Penggantungan Amirul tamat dan boleh menyertai semula semua kejohanan.


    Atlit perlu arif mengenai doping: Dr Jega

    PENYALAHGUNAAN bahan terlarang dalam sukan, terus menjadi perhatian bukan saja masyarakat dunia tetapi dalam persatuan sukan tempatan ketika kontroversi tiga penembak elit negara yang masih berharap mereka dikenakan hukuman ringan.

    Kes yang sama turut dialami Amirul kira-kira dua tahun lalu dan dia sudah pun menamatkan penggantungan walaupun kadangkala wujud pelbagai kekeliruan berhubung penggunaan bahan terlarang itu seperti yang masih dialami dalam sukan berbasikal ketika ini.


    Tanpa menjejaskan kes yang sedang berjalan, Pengerusi Persatuan Doping dalam Sukan (Masdoc) Datuk Dr M Jegathesan, tampil menasihati semua atlit supaya lebih berwaspada pada masa akan datang terutama membabitkan bahan terlarang.

    “Mereka perlu tahu apakah makanan yang diambil selain memastikan golongan yang berada di sekeliling mereka tidak kira siapa, tidak akan memudaratkan mereka. Malah atlit perlu turut menyedari, ada ketikanya, ubat batuk atau pengambilan ubat tahan sakit biasa secara berlebihan turut boleh dianggap sebagai doping.

    “Ini kerana Perkara Dua dalam Kod Agensi Anti-Doping Antarabangsa (WADA), jelas memperuntukkan bahawa seseorang atlit dipertanggungjawabkan andai bahan terlarang ditemui pada mereka, tidak kira dikesan pada air kencing atau selain daripadanya.

    “Mereka juga boleh dikenakan tindakan jika didapati membawa bahan terlarang itu pada sesuatu kejohanan tanpa penjelasan munasabah, seperti yang disimpan di dalam beg atau pada pakaian,” katanya.

    Dia juga menjelaskan jika bahan terlarang itu ditemui pada seseorang atlit, hukuman maksimum yang bakal dihadapi adalah penggantungan daripada sebarang aktiviti sukan selama dua tahun.

    “Bagaimanapun, artikel 2.1.3 Kod WADA, ada meletakkan kekecualian yang membawa maksud, atlit perlu mengemukakan bukti yang kukuh melampaui keraguan munasabah bahawa ada pihak lain memasukkan bahan terlarang pada badan mereka tanpa disedari,” katanya.

    Dr Jega berkata dalam konteks berkenaan, perlu ada pihak yang bersalah dan atlit perlu bertanggungjawab terhadap diri mereka dan dalam masa sama, pihak yang terbabit dengan atlit juga perlu lebih bertanggungjawab.

    “Dan dalam masa sama, tiada yang boleh mengambil pendirian bahawa setiap kali seseorang atlit diuji positif ada pihak lain yang mendakwa mereka yang melakukannya.

    “Jika ini dibiarkan, masalah seperti ini akan berleluasa dan penguatkuasaan pasti akan menjadi terlalu sukar,” katanya yang terbabit dalam beberapa jawatankuasa anti-doping acara sukan peringkat antarabangsa.

    Dan sebagai langkah menghindari masalah doping ini daripada terus berleluasa, Majlis Sukan Negara (MSN) khususnya dan Kementerian Belia dan Sukan amnya, sejak sekian lama mahu melahirkan atlit bebas dadah.

    “Kita bukan saja mahu melahirkan atlit bertaraf dunia tetapi pada masa sama turut berpengetahuan tinggi serta mempunyai tahap mental dan spiritual tinggi,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embung.

    Katanya, seseorang atlit dapat menghindar diri daripada terjebak menggunakan bahan terlarang yang dikategorikan sebagai dadah bagi membantu meningkatkan prestasi, andai mereka mempunyai tahap pengetahuan tinggi.

    FAKTA
    Proses Anti-Doping Interim

    Latar belakang:


    Aktiviti anti-doping di Malaysia ketika ini dijalankan oleh sebuah jawatankuasa sukarela sementara menunggu pihak berkuasa anti-doping kerajaan dibentuk dan berjalan dengan sempurna.

    Pihak yang terbabit dalam jawatankuasa: Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Kawalan Doping Dalam Sukan (Masdocs), Majlis Sukan Negara, Persatuan Sukan Kebangsaan dan Penganjur Acara.

    Pihak utama: MOM, Masdocs, MOM, membentuk jawatankuasa utama yang dikenali jawatankuasa tiga pihak bagi mengurus proses anti-doping sehingga agensi kerajaan dibentuk dengan unit anti-doping Kementerian Belia dan Sukan bertindak selaku sekretariat.

    Proses:

    1. Arahan untuk melakukan ujian ke atas atlit secara rawak atau jumlah atlit yang bakal diuji boleh dikeluarkan oleh lima pihak terbabit. Pegawai persampelan akan diuruskan sama ada oleh unit KBS atau setiausaha Masdocs.

    2. Pengambilan sampel akan dilakukan selaras dengan piawaian antarabangsa dan seperti yang ditetapkan WADA.

    3. Sampel akan dihantar kepada makmal yang diperakukan oleh WADA. Di Malaysia, makmal itu adalah di Pusat Kawalan Doping, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

    4. Keputusan sampel yang sudah dianalisis akan diserahkan kepada jawatankuasa tiga pihak dan salinannya turut dihantar ke unit Anti-Doping MSN.

    5. Jika sampel positif, mesyuarat akan diadakan oleh jawatankuasa tiga pihak bagi menentukan apakah bentuk pencabulan terhadap peraturan anti-doping selain menentukan sama ada wujud sebarang pelanggaran terhadap prosedur dan kaedah pelaksanaan.

    6. Jika wujud pelanggaran peraturan anti-doping, setiausaha jawatankuasa tiga pihak akan menghantar surat kepada persatuan sukan menjelaskan hasil laporan dan akan meminta persatuan memanggil atlit terbabit, melakukan siasatan dan mungkin mendapatkan sampel B daripada mereka menerusi ujian yang dilakukan di makmal.

    7. Jika sampel B turut didapati positif, persatuan sukan akan dimaklumkan persatuan sukan akan dimaklumkan dan meminta mereka menangani perkara itu mengikut peraturan yang ditetapkan badan induk sukan masing-masing di peringkat antarabangsa atau Kod WADA.

    8. Persatuan sukan perlu memaklumkan kepada jawatankuasa tiga pihak hasil daripada proses yang mereka lakukan dan jika ia tidak memenuhi peraturan yang ditetapkan WADA, persatuan akan dimaklum dan diminta mengambil langkah perlu untuk memperbetulkan semula keadaan itu.

    9. Pada peringkat ini sebarang pencabulan perlu diumumkan oleh persatuan sukan kepada media.

    10. Jika kes positif ini membabitkan atlit kebangsaan atau atlit yang dibiayai oleh MSN, majlis itu perlu menghentikan sebarang bentuk bantuan, pembiayaan sehingga tempoh penggantungan selesai.


  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768