Kenangan abadi ‘SuperMokh’
Allayarham Mokhtar tiada galang ganti, hanya memori indah jadi penyeri dan pengubat rindu
TANGGAL 11 Julai 1991 pasti diingati setiap peminat bola sepak tempatan, ia adalah tarikh negara kehilangan seorang pemain bola sepak terbaik yang pernah dilahirkan, iaitu Allahyarham Mokhtar Dahari atau lebih terkenal dengan nama “SuperMokh”.
Kini sudah 16 tahun pemergian Mokhtar akibat penyakit Mascular Dystrophy (MD), namun pepatah bahawa patah tumbuh hilang berganti yang sering digunakan tidak dapat disamakan dengan Mokhtar - sehingga ke hari ini tiada penyerang tempatan yang setanding dengan kelibat beliau dapat dihasilkan.
Mokhtar dilahirkan pada 13 November 1953 di Setapak, Kuala Lumpur dan bakat awalnya tersemai sejak di bangku sekolah lagi, di Sekolah Menengah Victoria (VI) potensi awalnya dalam bola sepak mula dikesan dan mendapat perhatian sehingga mewakili skuad Piala Burnley Selangor pada tahun 1971.
Selepas meninggalkan alam persekolahan, Mokhtar mula mewakili Selangor dalam saingan Piala Malaysia ketika berusia 19 tahun pada tahun 1972 hingga tahun 1986.
Dalam tempoh itu, Mokhtar membantu Selangor memenangi 10 kejuaraan Piala Malaysia, dan dua kali membantu pasukan negeri kelahirannya muncul naib juara pada tahun 1980 dan 1983.
Kali pertama kelibat Mokhtar dapat disaksikan pada perlawanan akhir Piala Malaysia ialah pada tahun 1972, Selangor menewaskan Perak 3-0 dan Mokhtar turut menjaringkan satu gol pada perlawanan itu.
Mokhtar mula mewakili negara pada tahun 1972 hingga 1985, dalam tempoh itu Mokhtar keluar daripada persaraan sebanyak tiga kali demi menyahut seruan membantu skuad negara.
Pestabola Merdeka adalah kejohanan yang banyak melonjakkan nama Mokhtar di peringkat antarabangsa, penampilan pertamanya di kejohanan itu ialah pada tahun 1973, skuad negara muncul juara menewaskan Maghribi 3-1 dan Mokhtar turut menjaringkan satu gol.
Penyerang legenda negara itu turut beraksi cemerlang pada perlawanan persahabatan bertemu Arsenal, pada tahun 1975 apabila menjaringkan dua gol menewaskan kelab gergasi Inggeris itu 2-0.
Ketika berusia 23 tahun, Mokhtar diiktiraf sebagai penyerang terbaik Asia oleh majalah World Soccer dan turut dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1976.
Pada tahun 1978, Mokhtar berjaya menjaringkan gol penyamaan ketika Malaysia seri 1-1 dengan England B yang dilatih Sir Bobby Robson ketika itu, aksi Mokhtar dan skuad negara ketika itu turut mendapat pujian Robson.
Ketika kariernya sudah sampai ke penghujung, Mokhtar masih menampilkan ciri-ciri pemain hebat walaupun kudratnya tidak segagah dulu. Kali terakhir Mokhtar dipanggil mewakili negara ialah pada Pusingan Kelayakan Piala Dunia 1985 di Seoul, Korea Selatan namun skuad negara tewas 0-2..
Kali terakhir Mokhtar mewakili Selangor ialah pada tahun 1986 ketika berusia 33 tahun, namun faktor usia tidak menghalangnya membantu Selangor menjulang Piala Malaysia buat kali ke-26 dan juga diumum pemain terbaik perlawanan akhir.
Namun, Mokhtar menarik balik persaraannya di peringkat negeri dan mewakili Selangor semusim lagi pada tahun 1987 selaku jurulatih merangkap pemain.
Ketika menjadi jurulatih dan selepas pertama kali didedahkan beliau mengidap penyakit MND itu, tidak menghalang Mokhtar untuk terus menabur khidmatnya. Malah, ketika berkerusi roda, beliau masih bersama anak buahnya di padang dan stadium memberi tunjuk ajar.
Namun, ajal dan maut, Allah yang menentukan dan pada jam 8.25 pagi, Khamis, 11 Julai 1991, Mokhtar meninggalkan peminat buat selama-lamanya pada usia 38 tahun.
Data
Mokhtar Dahari
Jolokan: SuperMokh
Tarikh Lahir: 13 Nov 1953
Tempat Lahir: Setapak
Isteri: Tengku Zarina Tengku Ibrahim
Bapa: Dahari Abeng
Ibu: Maimon Sadikin
Anak: Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina
Karier
Kelab: Kelab Sultan Sulaiman (KSS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco, Kwong Yik Bank
Mula Wakili Selangor: Piala Burnley 1971
Piala Malaysia: Wakili Selangor 1972
Mula Wakili Negara: Pestabola Merdeka 1972
Kali Terakhir Wakili Negara: Pra-Piala Dunia menentang Korea Selatan di Seoul 1985
Jumlah Perlawanan untuk negara: 167
Gol Piala Malaysia: 177
Gol Antarabangsa: 125
Jaringan Terbaik: Gol penyamaan menentang England B pada 1978
Pencapaian: Membantu Selangor memenangi Piala Malaysia 10 kali. Menang pingat gangsa Sukan Asia 1974 di Teheran
Anugerah: Olahragawan Kebangsaan 1976
Insan penyayang: Tengku Zarina
'Mokhtar ayah yang baik, tidak marah anak secara fizikal tetapi lebih menggunakan psikologi'
AKSI Allahyarham Mokhtar Dahari di tengah padang jelas menggerunkan mana-mana pertahanan lawan yang terpaksa berdepan dengan ketangkasannya dalam padang, namun di luar padang dia adalah seorang ayah dan suami yang penyayang.
Bagi balu Mokhtar, Tengku Zarina Tengku Ibrahim, Mokhtar adalah seorang ayah yang penyayang yang jelas berbeza dengan aksi agresifnya ketika menggempur pertahanan lawan dalam padang.
“Arwah ialah seorang ayah yang penyayang, dan saya yang sebenarnya lebih tegas dengan anak-anak kami.
“Dia adalah seorang ayah yang baik, yang tidak pernah memarahi anak-anak secara fizikal tetapi lebih menggunakan psikologi apabila memarahi anak-anak kami, ” kata Tengku Zarina.
Ketika bersara sebagai pemain pada tahun 1987, Mokhtar sudah mula menunjukkan potensinya sebagai jurulatih yang berpotensi malah, dia juga pernah ditawarkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) menjadi jurulatih skuad Harimau Malaysia pada tahun 1988.
“Dia adalah seorang pemain yang disegani ketika zamannya, tetapi dia juga seorang jurulatih yang dihormati pemain-pemainnya ketika dia melatih kelab Talesco.
“Arwah juga memang mahu membina kerjaya sebagai seorang jurulatih selepas menamatkan karier sebagai pemain, namun apabila FAM menawarkannya tempat sebagai jurulatih skuad Harimau Malaysia pada 1988, dia terpaksa menolak kerana sudah mula mengalami masalah kesihatan, ” kata Tengku Zarina.
Anak sulung Mokhtar, Mohd Redza mempunyai bakat bola sepak seperti ayahnya malah pernah mewakili skuad Piala Presiden Selangor dan juga pernah beraksi bersama Selangor dalam Liga M pada tahun 2004. Namun selepas digugurkan dari skuad Selangor pada tahun 2004, Redza hanya bermain dalam saingan Liga FAM.
Bagi Redza, dia tidak berasa kesal kerana dia sudah mempunyai ijazah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang pengurusan perniagaan dan baginya, dia membuat keputusan tepat untuk melanjutkan pelajarannya dulu.
“Saya bersyukur kerana mempunyai segulung ijazah, bagi saya keputusan untuk melanjutkan pelajaran dulu adalah keputusan tepat kerana sekurang-kurangnya saya mempunyai sesuatu untuk disandarkan jika tidak berjaya dalam bola sepak, ” kata Redza.
Redza turut mengakui dia menerima hakikat rezekinya sebagai pemain Liga M tidak panjang, tetapi di awal kariernya ramai rakan-rakan dan jurulatih memberi sokongan kepadanya dulu.
“Ketika beraksi dalam skuad Piala Presiden, saya bermain dengan beberapa pemain yang kini beraksi di Liga M seperti Nazrulerwan Makmor, Nidzam Jamil, Faizal Rashid dan juga P Gunalan.
“Mereka banyak memberi sokongan kepada saya dulu, tetapi kadang-kadang nasib seorang pemain itu tidak menentu dan mungkin rezeki saya tidak begitu panjang dalam Liga M, ” kata Redza.
Redza kini berkhidmat sebagai eksekutif pengurus acara di MSNS Holding, sebuah anak syarikat milik Majlis Sukan Negeri Selangor dan sudah berkhidmat di sana sejak dua setengah tahun lalu.
Biodata
Mohd Redza Mokhtar
Lahir: 10 September 1981
Tempat lahir: Petaling Jaya
Pendidikan: Ijazah Pentadbiran Perniagaan (bidang pengkhususan dalam pemasaran) di Universiti Putra Malaysia (UPM)
Pekerjaan: Eksekutif Pengurus Acara di MSNS Holdings
Sekolah: Sekolah Menengah St John (1994 hingga 1998)
Pencapaian Bola Sepak:
1995-skuad bawah 14 Kuala Lumpur
1999 hingga 2003- skuad Piala Presiden Selangor
2004-Skuad Liga M Selangor
2005- Mewakili kelab Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam Piala FAM
2006- Mewakili SUKSES dalam Piala FAM
2007- Mewakili SUKSES dalam Piala FAM dan kemudian dipinjamkan ke Proton
Tengku Zarina Tengku Ibrahim
Lahir: 3 Disember 1955
Tempat Lahir: Kota Bahru, Kelantan
Asal: Kota Bahru, Kelantan
Pekerjaan: Bahagian Hubungan Koporat Perbadanan Nasional Berhad (PNB)
Anak: Nor Azera, 24, Nur Arina, 19
Artikel lain:
- Serampang tiga mata
- Peluang emas cerah
- Hajat besar Krumm di Sepang
- Saingan Itali, Perancis, Jerman
- Portugal mampu kuasai
- Jerman, Croatia jadi pilihan
- 'Kumpulan Maut' pasti menggegar
- Greece, Sepanyol ada ramuan juara
- Nasib malang di Jakarta
- Pulihkan kembali maruah negara
- Kejuaraan Grand Prix Asia-FIM Petronas 2008 lebih sengit
- Kuasa EPL
- Ismail Sabri amal keterbukaan, mudah didekati
- Bowling Terbuka Malaysia 2008 kembali tenang
- Dilema Hafiz terjawab
- Aksi hebat bertaraf dunia
- Pentas mulakan perjuangan
- Ayuh Bersama Kita Gemilngkan LTdL 2008
- Milan, Boca tamatkan era kelab Brazil
- Ujian sebenar nanti Sarjit
- Pertembungan Muhaimin, Emir makin memuncak
- 'Orang lama' majukan Cub Prix
- Cobra 10s uji kelab dunia
- Hilang fokus punca gagal
- Mengendong segunung harapan
- Siapa mampu roboh Tembok China
- Lin Dan buru jejak Yang Yang
- Dua dekad penuh hampa
- Era kegemilangan bola sepak Malaysia
- Pulang ke pangkal jalan
- Di mana silapnya kita...
- Cadangan pemulihan bola sepak Malaysia
- Amirul bagai mati hidup semula
- Menggalas cabaran getir
- Super GT laju, menggoda
- McClaren pertaruhkan Beckham
- Sukan papan luncur air universal
- ‘Orang lama’ belum mahu mengalah
- Ferguson jurulatih terbilang
- Honda kembali ke kancah Cub Prix
- Petronas martabatkan Cub Prix musim baru
- Heidfeld, Kubica sedia gegar
- Mencari penawar bisa
- Malaysia mampu bangkit
- Pertabalan Raja Beregu
- Saya bukan Raja Midas: Rexy
- Kuda lasak di jelapang padi
- Kedah jadi perintis penganjuran di Terengganu, Johor
- Edisi kedua SWK tampil pembaharuan
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|