BARISAN Harimau Malaysia perlu tampil dengan aksi luar biasa jika mahu mara lebih jauh
MAMPUKAH maruah bola sepak negara yang tercalar dikembalikan semula ke tempat sepatutnya?
Jawapannya ada di kalangan 23 pemain yang dipilih pengendali Norizan Bakar untuk menggalas cabaran pada pusingan akhir Piala Asia di tanah air sendiri bermula Selasa depan.
Pertemuan menentang China pada 10 Julai di Stadium Nasional, Bukit Jalil dilihat sebagai permulaan kepada hala tuju bola sepak negara, yang dikritik hebat sejak akhir-akhir ini sehingga ke sidang Parlimen.
Sekiranya anak buah Norizan mampu mempamerkan aksi terbaik dengan hanya kesilapan minimum, tidak salah jika dikatakan lawan bakal berdepan tugas getir sekalipun reputasi China begitu gah sebagai penyandang naib juara tiga tahun lalu di Beijing.
Di atas kertas, Malaysia memang sukar untuk menundukkan lawan yang lebih berpengalaman dan pernah layak ke separuh akhir Piala Asia sebanyak enam kali dan sekali beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia - Korea/Jepun 2002.
China juga tampil dengan empat pemain yang beraksi di liga Eropah - Shao Jiayi (Energie Cottbus, Jerman), Sun Jihai (Manchester City, England), Li Tie (Sheffield United, England) dan Dong Fangzhuo (Manchester United, England).
Dua lagi pencabar Malaysia dalam Kumpulan C juga bukan calang-calang pasukan - Uzbekistan dan Iran.

Uzbekistan pernah memenangi pingat emas Sukan Asia (1994, Hiroshima) dan mereka menampilkan penyerang disegani di Eropah, Maksim Shatskikh yang menyarung jersi kelab Ukraine, Dynamo Kyiv.
Begitu juga Iran - yang tiga kali beraksi pada Piala Dunia (1978, 1998 dan 2006), juara Piala Asia tiga kali (1968, 1972, 1976) serta juara Sukan Asia tiga kali (1974, 1990 dan 1998).
Tujuh pemainnya beraksi dalam liga Eropah dan ia seharusnya membangkitkan kegerunan lawan yang bakal ditemui.
Namun, jika itu yang menjadi bualan dan perdebatan, Norizan lebih suka tidak mempedulikannya kerana baginya apa yang penting adalah perlawanan yang bakal dihadapi bukannya perlawanan yang sudah berlalu dan menjadi sebahagian lipatan dalam sejarah.
Sekiranya diperhatikan menerusi sudut sejarah, Malaysia pernah dua kali melayakkan diri secara merit ke pusingan akhir Piala Asia - 1976 di Tehran dan 1980 di Bandaraya Kuwait.
Ada keyakinan di kalangan pemain betapa mereka boleh melepasi halangan China dan Uzbekistan sekali gus menempah tiket ke suku akhir dengan Iran dianggap lawan paling sukar untuk ditumbangkan dalam kumpulan itu.
Namun segala-galanya terpulang kepada anak didik Norizan yang memerlukan lebih daripada kesungguhan dan kegigihan 100 peratus jika mahu menundukkan lawan sekali gus meyakinkan semula peminat yang mula menjauhkan diri.
Ayuh pasukan negara, kembalilah berkuasa, tampilkan aksi memukau dan persembahan yang mampu dipuji jika tidak mahu dikeji.
MALAYSIA
Ranking dunia terkini: 149

Ranking AFC: 26
Ranking terbaik: 75 (Ogos 1993)
Ranking terburuk: 157 (Januari 2007)
Rekod dalam Piala Asia
Pusingan akhir - 1976, 1980
Tidak layak - 1956, 1960, 1964, 1968, 1972, 1984, 1988, 1992, 1996, 2000, 2004
Tidak sertai - 1964
Rekod Piala Tiger/Kejohanan Asean
1996 - Naib juara
1998 - Peringkat kumpulan
2000 - Tempat ketiga
2002 - Tempat keempat
2004 - Tempat ketiga
2007 - Separuh akhir
SKUAD
Pengurus: Datuk Anifah Aman
Ketua jurulatih: Norizan Bakar
Penonong jurulatih: Nasir Yusof
Jurulatih penjaga gol: Lim Chuan Chin.
Ketua pasukan: Kaironnisam Sahabudin Hussain
Penjaga gol: Azizon Kadir (Negeri Sembilan), Suffian Abdul Rahman (Telekom Melaka)
Pertahanan: Kaironnisam Sahabudin Hussain (UPB-MyTeam), Hamzani Omar (Johor-Pasir Gudang), Nazrulerwan Makmor (PKNS), Fauzie Nan (Perlis), K Nanthakumar (Perak), V Thirumurugan (Kedah), Rosdi Talib (Pahang), Aidil Zafuan Abdul Radzak (Negeri Sembilan).
Tengah: Hardi Jaafar (Telekom Melaka), Norhafiz Zamani Misbah (Pahang), Ivan Yusoff (Kuala Lumpur), Fadzli Saari (Selangor), Shahrulnizam Mustapa (Perak), Eddy Helmi Manan (Johor FC), Nor Farhan Muhamad (Terengganu), Ahmad Fauzi Shaari (Kedah), Shukor Adan (Selangor).
Penyerang: Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Selangor), Safee Sali (Selangor), Indra Putra Mahayuddin (Pahang), Hairuddin Omar (Pahang).
Norizan berdepan saat kebenaran
MUKADIMAH
PASUKAN bola sepak negara akan mengambil bahagian buat kali ketiga pada pusingan akhir Piala Asia 2007 bermula Sabtu ini tetapi kali ini sebagai tuan rumah bersama tiga lagi negara Asia Tenggara - Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Malaysia berdepan tugas getir diundi di samping naib juara kejohanan terdahulu, China, juara tiga kali Iran dan Uzbekistan dalam saingan Kumpulan C di Kuala Lumpur bermula Selasa depan.
Wartawan epg, Hamdan Saaid berkesempatan menemuramah ketua jurulatih negara, Norizan Bakar (NB), mengenai harapan dan sasarannya terutama dalam usaha mengembalikan semula maruah bola sepak negara yang tercemar berikutan prestasi agak hambar sejak kebelakangan ini.
epg: Pasukan bimbingan anda sudah berlatih sejak awal Januari dengan menyertai Kejohanan Bola Sepak Asean (Januari), tiga perlawanan persahabatan di Australia (April) dan tiga perlawanan pemanas badan di tempat sendiri baru-baru ini. Dari segi mental dan fizikal, apakah pasukan ini sudah bersedia untuk menghadapi Piala Asia?
NB: Apabila kita tahu kita akan mengambil bahagian, dan kita sudah tahu pasukan mana yang terbabit dalam kumpulan kita, jadi kita perlulah bersedia. Pada mulanya saya difahamkan apabila kita hendak menyediakan pasukan ini, semua pemain boleh (hadir menjalani latihan).
Tetapi apabila ada keputusan itu (membenarkan pemain kebangsaan beraksi untuk pasukan masing-masing pada Piala FA) dan dengan adanya kuasa-kuasa macam ini saya tidak mahu menjadikan ianya sebagai alasanlah. Saya mahu teruskan kerja saya tetapi bila ada perlawanan, empat hari pemain terlepas (berlatih bersama skuad kebangsaan) terutama sekali pada hari-hari terakhir persiapan kita.
Memang kita tahu kecederaan boleh berlaku di mana-mana tetapi apabila kita bermain perlawanan kompetitif dalam masa dua hari, dia (pemain) akan lebih terdedah dengan kecederaan.
epg: Selepas tiga perlawanan pemanas badan menentang Kemboja, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Jamaica, adakah anda sudah mendapat ilham mengenai kombinasi terbaik yang boleh diturunkan dalam perlawanan sebenar nanti?
NB: Sepatutnya saya sudah menemui kombinasi terbaik tetapi pada 16 Jun ketika kita bertemu Kemboja, saya tidak boleh menurunkan pemain-pemain yang baru balik daripada perlawanan Piala FA, 21 Jun kita main lagi (UAE), 23 Jun mereka main lagi (separuh akhir kedua Piala FA). Jadi perkara ini orang nampak saya turunkan pemain yang berbeza dalam setiap perlawanan tetapi inilah hakikatnya. Pemain perlu dipulihkan dan ada yang mengalami kecederaan. Namun tatkala kejohanan sebenar semakin hampir, saya rasa saya sudah mendapat barisan dan kombinasi terbaik.
epg: Apakah sasaran peribadi anda buat pasukan ini?
NB: Dari segi peribadi... secara realitinya kita akan berdepan dengan pasukan yang kita rasa terbaik di benua Asia, kita layak pun sebagai tuan rumah. Apa yang penting di sini kita perlu memberikan tentangan sebaik-baiknya dan ini tidak mustahil mampu kita lakukan.
epg: Bolehkah anda memberi analisis mengenai kekuatan pasukan China, Uzbekistan dan Iran di peringkat kumpulan nanti?
NB: Sekarang ini saya lebih memberi tumpuan terhadap pasukan kita sahaja.
epg: Apakah anda rasa kecederaan dialami Akmal (Rizal Ahmad Rakhli) mampu menjadi faktor terhadap pasukan?
NB: Dulu pun ada pemain yang kita bentuk pasukan daripada individu-individu yang berkualiti. Rasanya kalau kita kehilangan individu berkualiti mungkin boleh menjejaskan sedikit (persembahan keseluruhan).
Namun bola sepak ini sebenarnya lebih kepada secara berpasukan. Ada kejohanan yang kita main tanpa pemain tertentu. Jadi yang mustahak sekarang ini kita tidak boleh bergantung kepada terlalu ramai individu tetapi jika kita kehilangan pemain berkualiti, bermakna akan ada kesan dari segi itu.
epg: Apa harapan anda dari segi sokongan penyokong setia pasukan negara pada Piala Asia nanti?
NB: Baru-baru ini sudah ditubuhkan Kelab Penyokong Pasukan Bola Sepak Kebangsaan (NSFC) dan kita harap daripada itu penyokong di belakang kitalah. Sebab yang penting sebagai pemain dan manusia kita tidak boleh lari daripada masuk ke padang dan kita main nak menang, nak main sungguh-sungguh. Tiada sesiapa yang bertanding untuk kalah. Jadi kita perlu sokong dari belakang.
epg: Setakat ini sudah hampir dua tahun sebagai jurulatih pasukan negara, apakah perlawanan yang paling terbaik dan menjadi memori yang mungkin sukar anda lupakan?
NB: Perlawanan pada Pestabola Merdeka menentang Thailand (tahun lalu) apabila Malaysia menang 2-1 dan pertemuan dengan Singapura pada separuh akhir Kejohanan Asean awal tahun ini. Kita nampak kesungguhan dipamerkan pemain untuk memburu kemenangan.
epg: epg mengucapkan selamat berjaya buat pasukan anda pada Piala Asia. Buktikan semangat Malaysia Boleh mampu diteruskan.
NB: Terima kasih dengan sokongan anda.
PROFIL
NORIZAN BAKAR
Tarikh lahir: 27 Januari 1961
Asal: Kampung Datuk Kayaman, Perlis
Nama panggilan: Cikgu Jan
Karier sebagai pemain: Pemain tengah menyerang (Perlis - 1978-1989)
Pencapaian sebagai pemain: Kejuaraan Liga Semi-Pro Divisyen Dua 1989
Karier jurulatih: Penolong jurulatih Perlis 1997-98, Penolong jurulatih kebangsaan (Abdul Rahman Ibrahim 1999-2000, Allan Harris 2001-2003); Jurulatih Perlis 2003, Jurulatih Pulau Pinang 2005, Jurulatih skuad kebangsaan (sejak September 2005)
Pencapaian sebagai jurulatih: Naib juara Piala FA 2003, juara Piala Malaysia 2004, pingat gangsa temasya Sukan Sea Manila 2005, Separuh akhir Kejohanan Asean 2007
Kejohanan disertai sebagai jurulatih kebangsaan: Piala Agribank 2005 (Hanoi), Sukan Sea 2005 (Manila), Pestabola Merdeka 2006 (Shah Alam), Sukan Asia 2006 (Doha), Kejohanan Asean 2007 (Bangkok)
Sijil kejurulatihan: Lesen khas antarabangsa FA Jerman (2000), Lesen profesional AFC (Belanda, England, Jepun - 2001)