Litar Sepang bakal dihangatkan dengan penyertaan 39 kereta dan 100 gadis litarBAHANG kemeriahan perlumbaan Siri Super GT Antarabangsa 2007 kembali membakar litar Sepang hujung minggu ini menampilkan aksi pantas menghiburkan daripada pelumba yang memburu gelaran.

Siri perlumbaan ini masuk tahun ketujuh sejak dimulakan pada tahun 2000, terbukti mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan itu selain memberikan impak besar kepada Malaysia untuk muncul sebagai hub sukan bermotor.
Selepas tiga pusingan sensasi di Jepun, siri perlumbaan ini berpindah ke Malaysia memberikan medan saingan berbeza berbanding cuaca sejuk dan angin dingin di negara mata hari terbit itu.
Untuk musim 2007, acara di Malaysia adalah siri keempat daripada sembilan pusingan yang bermula pada 22 hingga 24 Jun ini dan kemenangan di Sepang yang menjadi medan acara F1, pasti memberikan kemenangan amat berharga kepada semua pelumba.
“Pusingan di Malaysia sentiasa menjadi suatu yang amat istimewa kepada pemandu dan pasukan. Setiap tahun mereka sentiasa ternanti-nanti saingan di sini kerana ia amat istimewa kepada mereka.
“Kami boleh menjangkakan saingan amat sengit di Sepang. Oleh kerana ia adalah pusingan keempat dan di pertengahan musim saingan, perlumbaan ini dianggap amat penting kepada semua pemandu dan pasukan untuk meraih mata terbaik dalam usaha mereka muncul juara keseluruhan,” kata Pengurus GT Association Rantau Asia Pasifik, Soturo Tsuyama.
Selain aksi perlumbaan pintas memintas yang sentiasa mendebarkan, satu lagi tarikan Super GT adalah kehadiran penyeri litar menampilkan gadis menawan yang lebih dikenali sebagai Ratu GT.
“Seramai 100 gadis litar dari Jepun yang mewakili pasukan dan penaja akan hadir di Sepang selain daripada penyertaan lebih 39 kereta untuk bersaing dalam kelas GT 500 dan GT 300,” kata pegawai media Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhar Ghazali.
Tidak seperti F1, Siri Super GT lebih mesra penonton kerana peminat boleh melawat pit untuk melihat aktiviti di situ selain bertemu dengan krew serta pemandu, sesuatu yang tidak dapat mereka lakukan ketika acara F1.
Selepas siri itu dilangsungkan di Suzuka, Okayama dan Fuji Speedway, pemandu pasukan Zanavi Nismo - Satoshi Motoyama dan Richard Lyons mendahului pungutan mata kelas GT 500 apabila mengumpul 36 mata, empat mata di depan Michael Krumm dan Tsugio Matsuda yang turut menggunakan jentera Nissan Fairlady Z.
Juara bertahan, Juichi Wakisaka dan Andre Lotterer serta jentera mereka Toyota Lexus SC430 kini kelihatan kurang memberangsangkan, apabila sekadar menduduki tempat kelapan keseluruhan dengan 14 mata.
Untuk kelas GT 300, Kazuya Oshima dan Hiroaki Ishiura memimpin senarai pelumba dengan 48 mata hasil keampuhan Toyota MR-S mereka, empat mata mengatasi saingan terdekat, Kazuhi Takahashi dan Hiroki Katoh dari pasukan CArs Tokai Dream28 Racing.
FAKTA
Jadual Perlumbaan
Jumaat: 22 Jun: Sesi latihan bebas
Sabtu: 23 Jun: Sesi kelayakan
Ahad: Hari perlumbaan
Acara sokongan:
Formula V6 Asia, Formula BMW Asia, Cabaran Formula Renault ASia dan Cabaran GT Asia
Kami mahu pikat lebih penonton: Tsuyama
Perlumbaan Super GT atau nama lamanya Japan GT, mula diperkenalkan di litar Malaysia pada 2000. Menjelang perlumbaan hujung minggu ini, Wartawan EPG,
Meor Hisham Zulkifli menemubual Pengurus Wilayah Pasifik GT Association (GTA), Satoru Tsuyama untuk mengetahui harapan dan perancangan masa depan penganjur dalam perlumbaan yang penuh daya tarikan ini.
epg: Selepas edisi ketujuh, bagaimana sambutan terhadap perlumbaan ini.
Satoru Tsuyama (ST): Sambutan yang kita terima setakat ini amat menggalakkan dan ini terbukti dengan Sepang terus menjadi pilihan untuk perlumbaan di luar Jepun. Selain itu, kita mendapati kehadiran penonton meningkat setiap tahun.
Tahun lalu, kita mencatatkan seramai 40,000 penonton dan jumlah itu dianggap tinggi berdasarkan hakikat, perlumbaan berkenaan bertembung dengan Piala Dunia yang menjadi tumpuan semua peminat sukan.
Kejayaan menarik jumlah penonton sebanyak itu, meniup semangat kami untuk meneruskan lagi penganjuran perlumbaan itu di sini dan kita berharap kali ini, lebih 50,000 orang akan membanjiri litar Sepang terutama pada hari perlumbaan sebenar siri keempat Super GT bagi musim ini.
Selain itu, kita melihat bahawa litar Sepang sentiasa menjadi perhatian pelumba Super GT kerana ia memberikan perbezaan pemanduan ketara berbanding acara yang diadakan di Jepun.
Faktor cuaca dan litar yang laju sentiasa memberikan cabaran kepada pelumba dan mereka sentiasa ternanti-nanti cabaran di ini meskipun mengakui Sepang adalah litar yang getir.
epg: Bagaimana dengan usaha menambah jumlah penonton.
ST: Kita sentiasa bekerjasama dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menambah jumlah penonton menyaksikan perlumbaan ini. Selain meningkatkan promosi sama ada menerusi siri promosi seluruh negara dan menerusi media massa, kita juga meningkatkan jumlah acara ketika perlumbaan ini.
Pada tahun ini, buat pertama kali kita mengadakan sudut kanak-kanak dan ia memberi peluang kepada golongan bawah 12 tahun menyertai pelbagai aktiviti daripada lawatan ke pit sehinggakan kepada acara mewarna, pertandingan pakaian seperti pelumba dan ratu litar.
Selain itu, menerusi kerjasama SIC beberapa perlumbaan lain turut diselang-selikan antara perlumbaan Super GT bagi memastikan acara perlumbaan sentiasa padat dan penonton tidak berasa rugi kerana datang hanya untuk melihat perlumbaan yang berlangsung sejam atau dua saja.
Kali ini, SIC turut mengadakan acara sokongan seperti Formula V6 Asia, Formula BMW Asia, Cabaran Formula Renault Asia dan Cabaran GT Asia. Ia diselang selikan dengan acara GT selain beberapa acara lain bagi memastikan penonton berasa puas menyaksikan aksi di litar.
epg: Apakah misi GTA selepas ini.
ST: Kita mahu menjadikan Super GT khususnya dan sukan permotoran amnya berkembang tidak mengira jantina atau peringkat umur. Kebiasaannya sukan ini dianggap sukan lelaki dan tidak ramai golongan wanita datang ke litar untuk menyaksikan perlumbaan.
Bermula dengan tahun ini, kita menyediakan acara untuk kanak-kanak sebagai acara sampingan dan kita akan menambah lagi jumlah aktiviti untuk golongan wanita pada masa depan.
Kita berharap, perlumbaan Super GT ini menjadi sebuah acara tempat anggota keluarga beriadah sambil mengikuti perlumbaan kegemaran mereka. Ia secara tidak langsung meningkatkan minat terhadap sukan ini selain melonjakkan lagi jumlah penonton di litar.
Kita juga berharap lebih banyak pasukan menyertai Super GT dan kita akan terus berusaha menggalak dan menyokong perlumbaan pelumba tempatan.
epg: Bagaimana pula dengan penyertaan pelumba tempatan
ST: Sejak dari mula lagi kita sentiasa menggalakkan pasukan tempatan menyertai acara ini menyaksikan satu atau dua pasukan dan pemandu terbabit dalam perlumbaan tetapi disebabkan pelbagai masalah yang dihadapi mereka tidak dapat meneruskan saingan.
Bagaimanapun, kita akan terus berusaha memastikan ada pelumba tempatan bersaing dalam siri ini dan sedia memberi kerjasama penuh dengan pasukan seperti Petronas Syntium dan Lotus.
Petronas yang sebelum ini menyertai siri endurance Super Taikyu di Jepun menyatakan minat untuk bersaing dalam acara ini begitu juga Lotus tetapi disebabkan aspek kewangan tinggi, mereka menarik diri.
Sebelum ini ada juga pemandu Malaysia seperti Tengku Djan Tengku Mahaleel menyertai saingan tetapi akibat kekurangan penaja, dia tidak dapat meneruskan saingan.
S: Pada pandangan anda, apakah GTA menyumbang terhadap perkembangan sukan permotoran negara.
J: Ya sudah pasti. Ini dapat dibuktikan dengan jumlah penonton yang dilihat semakin meningkat menunjukkan sukan permotoran semakin diminati. Selain itu, menerusi aktiviti kanak-kanak yang kita jalankan, ia dapat mengembangkan sukan ini di peringkat akar umbi.
Pada masa sama, promosi Super GT di Sepang yang turut dimuatkan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia, membantu meningkatkan kehadiran pelancong ke negara ini.
DATA
Nama: Satoru Tsuyama
Usia: 53
Pembabitan awal: Pemilik litar go-kart selama 20 tahun
Sukan Lumba Kereta:
- Pengurus Pasukan Mooncraft (Formula Nippon) - 2002.
- Pengurus Pasukan Yellow Hat ( Formula BMW) - 2003
- Dilantik wakil GTA rantau Pasifik berpangkalan di Malaysia - 2004
Pengalaman khas:
Mengurus pemandu wanita Jepun, Keiko Ihara, dalam Formula BMW - AFOS