Mahu lalui proses kematangan tahun ini sebelum serius mencabar kejuaraan musim depan
PENGELUAR utama motosikal tempatan, Honda mula melangkah ke arena Cub Prix tempatan selepas begitu lama menyepi dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta yang semakin mendapat tempat di hati peminat.
Menerusi perkembangan terkini terutama pengenalan jentera empat lejang bagi semua perlumbaan utama iaitu kelas Wira epg, Novis dan Expert tahun depan, Honda kembali dengan jentera mereka pada perlumbaan pusingan pertama di Kluang dua minggu lalu.
Justeru, epg sempat bertemu bual dengan pengarah permotoran Boon Siew Honda, Tan Hui Jing bagi mengetahui serba sedikit mengenai visi mereka tahun ini yang tampak akan mencabar pengeluar lain terutama Yamaha yang sebelum ini adalah dominasi utama dalam sukan berkenaan di peringkat tempatan.
epg: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai pasukan anda musim ini memandangkan ia adalah kali pertama Honda menyertai kejohanan ini sejak sekian lama?
TAN HUI JING: Setakat ini kami memiliki enam pelumba di bawah naungan pasukan Idemitsu Honda Racing iaitu seorang pelumba Wira epg dan lima buat kelas Novis, setakat ini kami masih belum memiliki pelumba Expert kerana ia menggunakan enjin dua lejang, kami akan mula menyertai kelas Expert selepas pengenalan enjin empat lejang musim depan.
Setakat ini kami sudah membentuk sebuah pasukan yang teratur dengan pelumba diberi pendedahan menerusi sesi ujian di Kg Gajah, Perak dan mereka adalah dikalangan pelumba terpilih berusia 18 hingga 24 tahun.
epg: Mungkin musim ini sekadar mahu menyesuaikan diri antara pelumba dan jentera?
THJ: Boleh dikatakan begitu tetapi kami harap akan dapat menyertai setiap pusingan perlumbaan musim ini dengan catatan terbaik dalam dua kelas berkenaan, mungkin kami hanya sasarkan satu podium kerana kita masih baru dan pelumba perlu sesuaikan diri dalam suasana perlumbaan yang begitu kompetitif ini.
Tahun ini kita masih dalam proses kematangan dan tahun depan kami akan lebih serius mencabar kejuaraan.
epg: Bagaimana pemilihan pelumba dilakukan bagi menganggotai pasukan ini kerana nama-nama mereka agak asing dalam perlumbaan Cub Prix, mungkinkah mereka kurang pengalaman berbanding pelumba-pelumba yang sebelum ini pernah menyertai kejohanan ini?
THJ: Mereka sebenarnya berpengalaman kerana kita ambil daripada perlumbaan bagi pengeluar Honda yang dilangsungkan setiap tahun di Johor, Kelantan dan Langkawi. Dari situ kita pilih mereka dan latih untuk menyertai kejohanan Cub Prix ini.
Kami juga memang serius untuk menyertainya dalam jangka masa panjang dan buat pengetahuan semua, kami sudah menamatkan siri perlumbaan Honda di tiga negeri berkenaan untuk memberi lebih perhatian bagi menyertai kejohanan ini.
Kami juga akan menambah bilangan pelumba mengikut kesesuaian selepas ini.
epg: Ramai yang bertanya kenapa selepas begitu lama, barulah Honda kembali ke kejuaraan ini - adakah kerana strategi pemasaran atau ada sebab-sebab lain?
THJ: Sebenarnya, dulu kami tak boleh menyertai kejuaraan ini kerana kerana jentera kami berlainan, Kejuaraan Cub Prix Malaysia menggunakan jentera dua lejang bagi kelas Novis dan Expert, kami di Honda tidak memiliki jentera dua lejang dalam kelas itu dan itulah sebab utama kami tidak menyertainya. Sekarang kami rasakan ia adalah masa yang tepat untuk kembali.
Tidak dinafikan masih ada ramai peminat Honda dalam Cub Prix kerana kita dapat lihat mereka sering kali datang untuk melihat kemampuan jentera kami, ini juga adalah sebahagian daripada sasaran kami bagi memberi penghargaan kepada peminat dengan menyertai kejohanan ini.
epg: Mungkin dari segi pemasaran, Honda merasakan sudah tiba masanya untuk mencabar Yamaha dari segi keupayaan jentera.
THJ: Tidak begitu kerana falsafah kami di Honda berbeza, kami menitikberatkan pengeluaran jentera yang tahan lama dan ekonomikal, ia sudah dipraktikkan sejak lama dulu dan jentera kami memang diperakui peminat kerana memiliki kualiti tinggi dan ekonomi dari segi penggunaan minyak. Mungkin Yamaha pula lebih memberi tekanan dari segi reka bentuk dan keupayaan. Kerana itu kami berbeza.
epg: Adakah pembabitan Honda hanya setakat perlumbaan Cub Prix tempatan saja atau adakah akan mencuba perlumbaan peringkat Asia pula.
THJ: Kami sebenarnya serius untuk menyertai semua kejuaraan utama musim ini, buat permulaan kami juga akan menyertai Piala Asean di Sepang dalam kelas 125cc yang turut disertai pelumba-pelumba handalan dari rantau ini.
epg: Bagaimana dengan pembangunan pelumba tempatan?
THJ: Kita tidak mengetepikan aspek itu kerana kita memang ada program untuk tujuan itu, kita akan pilih pelumba berbakat untuk dihantar berlatih bersama pasukan Suzuka Racing Team, kita pilih pelumba yang ada potensi untuk membantu pembangunan sukan pemotoran di Malaysia.
Dalam aspek pembangunan ini ia perlu dilakukan secara terancang, dalam Formula Satu contohnya pembangunannya berlaku secara perlahan-lahan. Pelumba perlu belajar bagaimana berlumba dengan baik, mekanik juga perlu belajar ‘setting’ yang sesuai.
epg: Akhir sekali, apakah pandangan saudara mengenai perlumbaan musim ini yang buat pertama kali dilangsungkan selama dua hari berbanding sehari tahun-tahun sebelumnya.
THJ: Bagi saya lebih bagus apabila kejuaraan dilangsungkan selama dua hari kerana ia memberi banyak masa untuk mengadakan latihan, ada sesi kelayakan dan pelumba serta mekanik berpeluang untuk melakukan pemeriksaan jentera. Ia membuatkan pelumba dan pasukan lebih bersedia bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik.
FAKTA
IDEMITSU HONDA
DITUBUHKAN: 2007
PANGKALAN: Pulau Pinang
PENGURUS: Rodney Peh
PELUMBA:
Wira epg - Md Saaduddin Rosle
Novis - Hudzzirshah Shahdan, Nor Hisham Amran, Rashiudin Marwan, Md Nasir Abd Wahid dan Khairul Adli Azhar.
KELAS PERLUMBAAN: Novis dan Wira epg
NOVIS: Langkah Edzuan bawa untung
BERALIH kepada pasukan baru nyata membuahkan hasil buat Md Edzuan Abd Ghani apabila meraih podium pertama di Litar Kluang pada saingan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta sekali gus menyuntik semangat untuk menghadapi saingan lebih mencabar di Sepang minggu ini.
Edzuan, 23, musim lalu mewakili pasukan UTM tetapi dipancing oleh Morul KMC YY Pang, yang nyata satu peralihan bijak kerana berjaya menduduki tempat pertama pada perlumbaan sulung di Kluang untuk meletakkannya selesa di singgahsana utama kategori novis.

Bagi Edzuan, perlumbaan baik menggunakan jentera Yamaha, memberikan peluang dan harapan untuk merangkul gelaran keseluruhan novis musim ini sekali pun saingan masih jauh dan penuh mencabar.
“Saya gembira dengan permulaan baik di Kluang dan saya berharap dapat mengulangi kejayaan sama apabila bersaing di Sepang minggu ini,” kata anak muda yang berasal dari Beseri, Perlis itu. “Ia litar mencabar dan pasti pelumba lain mahu juga mahu mendapat kedudukan podium.
“Tetapi saya tidak gentar malah saya seronok untuk mendapat saingan sengit daripada pelumba lain yang boleh menjadikan perlumbaan lebih menarik.
“Sebenarnya Sepang menjanjikan perlumbaan pantas yang memerlukan daya ketahanan tinggi selain daripada kawalan jentera ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Berbanding dengan Kluang yang agak pendek dan selekoh tajam,” katanya.
Kemenangan perlumbaan pertama di Kluang, memberikan Edzuan impian untuk muncul juara keseluruhan selepas hanya menduduki tempat keenam keseluruhan musim lalu ketika beraksi untuk pasukan UTM Racing dengan menggunakan motosikal Momos.
Tetapi tahun ini dia beralih kepada jentera Yamaha yang lebih pantas serta stabil ketika mengambil selekoh untuk memberikannya lebih keyakinan dalam perlumbaan.

“Kedua-dua jentera (Momos dan Yahama) mempunyai keistimewaan sendiri,” kata Edzuan. “Dan saya berhasil menggunakannya sebaik mungkin.
“Jelas sekali perubahan pasukan musim ini turut mengubah nasib saya dengan kemenangan dalam perlumbaan sulung dan saya mengharapkan nasib baik ini akan berterusan untuk perlumbaan berikutnya untuk meneruskan impian saya merangkul kejuaraan musim ini.
DATA
Md Edzuan Abd Ghani
Asal: Beseri, Perlis
Lahir: 1984
Umur: 23
Tahun Mula Berlumba: 2004
Pasukan: Motul KMC YY Pang
Motosikal: Yamaha
Kategori: Novis
Pencapaian:
2006 - Ke-6 Keseluruhan (Novis)
2005 - Ke-8 Keseluruhan (Novis)
2004 - ke-15 Keseluruhan (WIRA epg)
Kedudukan Kategori Novis Selepas Satu Pusingan
1 Md Edzuan Abd Ghani (Motul KMC YY Pang) Yamaha 25 mata
2 Md Affendi Rosli (Harian Metro SCK) Yamaha 20
3 Ally Idzliaikmal Ilias (Petronas Sprinta Ah Hong) Yamaha 16
4 Md Hafiz Sharudin (KHI Helmets Racing) Yamaha 13
5 Md Afiq Azhar (Petronas Sprinta Ah Hong) Yamaha 11
6 Md Faiz Nawawi (Shell Advance Maju) Yamaha 10
7 Md Ali Imran Dawood (Motul KMC YY Pang) Yamaha 9
8 Mahadthir Raduan (Petronas Sprinta Raceline) Yamaha 8
9 Ridwan Bakri (Harian Metro SCK) Yamaha 7
10 Md Hafieenaz Md Ali (SKF Enduro) Yamaha 6
11 Sharil Salleh (KHI Helmets Racing) Yamaha 5
12 Md Khairul Niza (Persendirian) Yamaha 4
13 Md Nasir Abd Wahab (Idemitsu Honda Racing) Honda 3
14 Azizul Khairil (Persendirian) Momos 2